Monday, 9 February 2015

SILAP

 Tiap orang mesti pernah ada buat silap. Mesti ada zaman orang kata ‘jahiliyah’. Tipu lah kalau kata tak pernah buat jahat, tak pernah ngumpat, tak pernah curi, dan sewaktu dengan nya. .

Dunia akhir zaman kan.
Penuh dengan fitnah.
Banyak sangat.

Orang dok diam pun ada je yang tak puas hati. Teknologi makin canggih, silap sikit print screen. Sebar aib sana sini.

Kalau betul orang tu salah.
Kita takde hak nak hukum ikut suka hati. Tuhan kan ada. dan jangan sebab nak ‘buka mata’ orang, sampai kita lupa kat Tuhan dan malaikat kiri kanan mencatit.

SubhanaAllah.
Kita bukan Tuhan.
Yang tak elok tu diam kan dan jadikan teladan. Moga kelak tak jadi kat diri kita dan keluarga kita. Allahumma aamin.

Monday, 27 October 2014

Bahaya Maksiat

MAKSIAT memiliki pengaruh bahaya dan buruk bagi hati serta fizikal manusia.

Antara pengaruh buruk serta bahaya dosa, ia akan memadamkan cahaya ilmu yang dikurniakan Allah dalam hati. Imam Malik pernah mengagumi kecerdasan Imam Syafie yang masih muda, memiliki ketajaman otak dan kesempurnaan pemahaman.

Imam Malik berkata: “Aku melihat Allah meletak cahaya dalam hatimu, kerana itu jangan kamu padamkan dengan kegelapan maksiat.”

Sementara itu, Imam Syafie pernah menceritakan pengalaman peribadinya dalam bait syair; Saya mengadu pada guru Waqi’ mengenai mutu hafalanku yang buruk, maka ia mengarahkan supaya aku meninggalkan maksiat. Ia berkata, “Ketahuilah ilmu adalah kemuliaan dan kemuliaan Allah tidak diberikan kepada ahli maksiat.”

# Rezeki tidak lancar
Dalam Musnad Ahmad, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba diharamkan daripada rezeki kerana maksiat yang ia lakukan.”

Seperti ketakwaan kepada Allah mendatangkan rezeki, sebaliknya maksiat akan mendatangkan kekafiran.

# Keterasingan antara Allah
Seorang yang melakukan maksiat akan menemukan perasaan terasing antara dirinya dan Allah dalam hatinya. Keterasingan ini tidak boleh diganti dan dinilai dengan kenikmatan apa pun. Andainya semua kelazatan di dunia disatukan, maka tetap tidak boleh mengubati perasaan keterasingan itu. Perasaan itu hanya ada pada hati yang hidup, sementara hati mati tidak mempunyai perasaan itu.

Ada seorang lelaki mengadu perasaan keterasingan pada dirinya kepada ahli makrifat lalu dijawab: “Jika kamu menemukan keterasingan dalam dirinya kerana berbuat dosa, segeralah tinggalkan dosa itu dan temui ketenteraman hati dalam berbuat taat. Ketahuilah, tidak ada hati yang rasakan keterasingan kecuali kerana dosa.”

# Keterasingan antara manusia
Perasaan terasing bukan hanya terjadi dengan Allah tetapi juga manusia terutama dengan mereka yang melakukan kebaikan.

# Allah akan menyulitkan urusannya
Orang yang melakukan maksiat akan selalu menemui jalan buntu pada setiap urusannya. Orang yang bertakwa kepada Allah akan menemui kemudahan pada urusannya sebaliknya mereka yang jauh daripada takwa disulitkan urusannya.

# Kegelapan dalam hati
Kegelapan itu nyata dalam hatinya seperti melihat dan berasakan gelapnya malam. Ini kerana ketaatan adalah cahaya sementara maksiat adalah kegelapan. Semakin kuat kegelapan dalam hati maka seseorang itu terus dalam kebingungan. Akibatnya ia terjatuh dalam kesesatan dan hal yang menghancurkan tanpa disedari.

# Maksiat melemahkan kekuatan hati
Maksiat melemahkan hati dan kelemahan fizikal disebabkan lemahnya hati. Semakin kuat hatinya, semakin kuat fizikalnya. Ahli maksiat, meskipun fizikalnya kuat tetapi apabila diperlukan dan dalam keadaan terdesak, kekuatan fizikal mereka tidak berdaya.

Renungkan bagaimana kekuatan fizikal kaum Rom dan Parsi yang mengkhianati mereka ketika memerlukannya hingga dengan mudah orang beriman menakluki kekuatan fizikal dan hati mereka.

# Malas mengerjakan ibadat
Orang yang melakukan maksiat akan malas melaksanakan amal ibadat. Sedangkan setiap bentuk ketaatan kepada Allah nilainya melebihi dunia dan segala isinya.

# Terbiasa berbuat dosa
Maksiat melunturkan persepsi buruk mengenai dosa dalam hati seseorang. Ertinya, dia tidak akan berasa bahawa dosa yang dilakukan adalah perbuatan buruk. Akibatnya, dosa menjadi sebahagian daripada kebiasaan. Keadaan ini membahayakan diri sendiri.

Walaupun dilihat dan dicerca, dia tidak rasakan dirinya terhina. Perasaan seperti itu adalah kesenangan dan kenikmatan daripada pelaku maksiat. Bahkan, ada yang bangga menceritakan maksiat yang dilakukan.

Rasulullah SAW bersabda: “Semua umatku akan dimaafkan oleh Allah kecuali muhajirun (yang terang-terangan berbuat maksiat. Termasuk mujaharah adalah ketika Allah menutupi seseorang berbuat maksiat, tapi pagi harinya ia membuka aibnya sendiri. Ia mengatakan, “Hai teman, semalam aku melakukan ini dan itu.” Dia merobek kehormatannya sendiri ketika Allah menutupnya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Nasihatlah

 Nasihatilah Manusia Walaupun Engkau Seorang Pendosa

Mungkin ada sebahagian orang yang tidak tergerak hatinya untuk menasihati manusia, kerana ia merasa banyak melakukan dosa dan tidak layak untuk mengucapkan ucapan kebaikan kepada sesama manusia.

Pandangan seperti itu adalah keliru dan bahayanya sangat besar, serta akan membuat syaitan gembira. Betapa tidak, kerana jika mesti menunggu sampai seseorang bersih dari dosa baru ia layak menasihati manusia, maka tidak ada seorangpun di muka bumi yang layak memberi nasihat setelah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam tercinta.

Sebagaimana dikatakan seorang penyair:

إذا لم يعظ في الناس من هو مذنب
فمن يعظ العاصين بعد محمد

“Apabila seorang pendosa itu tidak menasihati manusia,
Maka siapakah yang akan menasihati orang-orang yang berdosa setelah Nabi Muhammad kita”.

Sa’id bin Jubair berkata: “Apabila seseorang tidak memerintahkan kepada kebaikan dan tidak pula mencegah dari yang munkar, hingga ia menunggu dirinya bebas dari kesalahan, maka tidak akan ada seorangpun yang memerintahkan kepada kebaikan dan tidak pula mencegah dari yang munkar”.

Imam Malik setelah mendengar perkataan Sa’id bin Jubair berkata: “Benar apa yang dikatakan Sa’id. Siapakah yang tidak memiliki sedikitpun dosa dalam dirinya?”.

Al-Hasan berkata kepada Mutharrif bin ‘Abdillah: “Berilah nasihat kepada sahabat-sahabatmu”. Mutharrif menjawab: “Sesungguhnya aku takut mengatakan apa yang tidak aku kerjakan”.

Al-Hasan berkata lagi: “Semoga Allah merahmati dirimu. Tidak ada seorangpun di antara kita yang melakukan semua yang diperintahkan Allah. Syaitan akan gembira apabila kita berfikir seperti itu sehingga tidak ada seorangpun yang memerintah kepada kebaikan dan tidak pula mencegah dari kemungkaran”.

Berkata Ibnu Hazm: “Apabila orang yang mencegah dari perbuatan keji mesti orang yang tidak memiliki kesalahan, dan orang yang memerintah kepada kebaikan mesti orang yang selalu mengerjakan kebajikan, maka tidak ada seorangpun yang mencegah dari yang mungkar dan tidak ada seorang pun yang mengajak kepada kebaikan setelah Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam.”

(Semua nukilan diatas dapat ditemukan dalam kitab al-Jami’ li Ahkamil Quran: 1/367, al-Qurtubi).

Imam Nawawi berkata:
“Para ulama menyatakan bahawa tidak disyaratkan pada orang yang memerintah kepada kebaikan atau orang yang mencegah dari kemungkaran untuk mencapai kesempurnaan dalam segala hal. Tapi, ia mesti tetap mengajak kepada kebaikan walaupun ia memiliki kekurangan dalam hal yang ia ajak kepadanya, dan ia tetap mencegah kemungkaran walau ia terkadang mengerjakan apa yang ia cegah. Kerana sesungguhnya wajib pada dirinya dua perkara iaitu : mengajak dirinya sendiri ke arah kebaikan dan mencegah dari kemungkaran; dan mengajak orang lain ke arah kepada kebaikan dan mencegah mereka dari yang mungkar. Tidak boleh ia melalaikan salah satu dari dua perkara tersebut”.
(Syarah Sahih Muslim: 2/23, An-Nawawi).

Semoga kita termasuk orang-orang yang selalu saling menasihati dalam kebaikan.

Tuesday, 23 September 2014

SABAR DALAM MENEMPUHI DUGAAN DAN TEKANAN

 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

سْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Dunia pekerjaan memang memberikan pengaruh yang cukup terkesan dalam kehidupan. Apa tidaknya, satu pertiga daripada kehidupan seharian diluangkan di tempat kerja.

Tekanan disebabkan pekerjaan merupakan satu masaalah yang ramai dihadapi oleh manusia ianya memberi kesan kepada personaliti dan reaksi tubuh badan dan mental seseorang. Persekitaran pekerjaan memberikan desakan dan tekanan tertentu yang merangsang tindak balas individu secara mental dan fizikal. Ramai manusia mengalami tekanan jiwa dan mental jika tidak diurus dengan sempurna boleh mendatangkan sakit jiwa dan gangguan pemikiran .

Tugas yang terlalu banyak, hubungan dengan rakan sekerja yang tidak baik, ketua yang suka marah-marah dan suasana kerja yang tidak selesa adalah contoh persekitaran kerja yang memberi tekanan negatif. Di tambah pula dengan masalah kesihatan yang dihadapi, masaalah dengan isteri, anak-anak, ibu bapa, saudara-mara, , sahabat-sahabat dalam organisasi dan lain-lain lagi. Tekanan ini seterusnya memberi impak terhadap kesihatan psikologi dan fisiologi seseorang individu sekiranya ia tidak ditadbir dan tidak dikawal dengan metodologi yang tepat.

Banyak implikasi negatif berlaku apabila seseorang tidak dapat mengawal tekanan di tempat kerjanya dan dengan keluarganya. Sifat sabar sudah bertukar menjadi panas baran, murung, gelisah, kelesuan, sentiasa rasa bersalah, ketakutan, dan hilang tumpuan adalah antara kesannya.

Kadang kala, ada dalam kalangan kita yang mencari jalan singkat dan salah dalam mengatasi tekanan seperti ponteng kerja, melakukan masaalah disiplin di tempat kerja, merokok, meminum arak dan sebagainya.

Berlaku juga kes-kes di mana individu yang tertekan di tempat kerja melepaskan tekanan di rumah yang mewujudkan pula masalah rumahtangga seperti pertengkaran dengan pasangan hidup, mendera anak, mendera pembantu rumah dan sebagainya.

Sebagai seorang mukmin, kita perlu sedar bahawa kaedah terbaik menangani tekanan kerja sebegini adalah dengan berpegang erat kepada ajaran dan syariat Islam.

Islam telah menetapkan bahawa seseorang yang menghadapi tekanan dan kesusahan perlulah bersabar, tenang, sentiasa rasional dan yakin dengan ketentuan Allah SWT.

Allah SWT telah memberikan panduan terbaik dalam menangani tekanan sebegini melalui firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 155-156, maksudnya: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Sahabat yang dimuliakan,
Seorang mukmin dengan ketakwaannya kepada Allah SWT., memiliki kebahagiaan yang hakiki dalam hatinya, maka masaalah apapun yang dihadapinya di dunia ini tidak membuatnya mengeluh atau berdukacita, apalagi berputus asa. Hal ini disebabkan kerana keimanannya yang kuat kepada Allah SWT sehingga membuat dia yakin bahawa apapun ketetapan yang Allah SWT. berikan untuk dirinya maka itulah yang terbaik baginya. Dengan keyakinannya ini Allah SWT. akan memberikan balasan kebaikan baginya berupa ketenangan dan ketabahan dalam jiwanya. Inilah yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya,

مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّهِ وَمَنْ يُؤْمِنْ بِاللَّهِ يَهْدِ قَلْبَهُ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ

Maksudnya : “Tidak ada sesuatu musibah pun yang menimpa (seseorang) kecuali denga izin Allah; 'Dan barang siapa yang beriman kepada Allah, nescaya Dia akan memberi petunjuk ke (dalam) hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah At Taghaabun ayat 11)

Ibnu Katsir mengatakan, “Makna ayat ini: seseorang yang ditimpa musibah dan dia meyakini bahawa musibah tersebut merupakan ketentuan dan takdir Allah, sehingga dia bersabar dan mengharapkan (balasan pahala dari Allah), disertai (perasaan) tunduk berserah diri kepada ketentuan Allah tersebut, maka Allah akan memberikan petunjuk ke (dalam) hatinya dan menggantikan musibah dunia yang menimpanya dengan petunjuk dan keyakinan yang benar dalam hatinya, bahkan boleh jadi Dia akan menggantikan apa yang hilang darinya dengan yang lebih baik baginya.”
(Tafsir Ibnu Katsir, 8/137)

Inilah sikap seorang mukmin dalam menghadapi musibah yang menimpanya. Meskipun Allah SWT dengan hikmah-Nya yang Maha sempurna telah menetapkan bahawa musibah itu akan menimpa semua manusia, baik orang yang beriman maupun orang kafir, akan tetapi orang yang beriman memiliki keistimewaan yang tidak dimiliki oleh orang kafir, iaitu ketabahan dan pengharapan pahala dari Allah SWT. dalam mengahadapi musibah tersebut. Tentu sahaja semua ini akan semakin meringankan beratnya musibah tersebut bagi seorang mukmin.

Dalam menjelaskan hikmah yang agung ini, Ibnul Qayyim mengatakan, “Sesungguhnya semua (musibah) yang menimpa orang-orang yang beriman dalam (menjalankan agama) Allah senantiasa disertai dengan sikap redha dan ihtisab (mengharapkan pahala dari-Nya). Orang mukmin pegangan mereka adalah sikap sabar dan ihtisab (mengharapkan pahala dari-Nya). Ini (semua) akan meringankan beratnya beban musibah tersebut. Kerana setiap kali mereka menyaksikan (mengingat) balasan (kebaikan) tersebut, akan terasa ringan bagi mereka menghadapi kesusahan dan musibah tersebut. Adapun orang-orang kafir, maka mereka tidak memiliki sikap redha dan tidak pula ihtisab (mengharapkan pahala dari-Nya). Kalaupun mereka bersabar (menahan diri), maka (tidak lebih) seperti kesabaran hewan-hewan (ketika mengalami kesusahan). Sungguh Allah telah mengingatkan hal ini dalam firman-Nya,

وَلا تَهِنُوا فِي ابْتِغَاءِ الْقَوْمِ إِنْ تَكُونُوا تَأْلَمُونَ فَإِنَّهُمْ يَأْلَمُونَ كَمَا تَأْلَمُونَ وَتَرْجُونَ مِنَ اللَّهِ مَا لا يَرْجُونَ

Maksudnya : “Janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuhmu). Jika kamu menderita kesakitan, maka sesungguhnya merekapun menderita kesakitan (pula), sebagaimana kamu menderitanya, sedang kamu mengharap dari Allah apa yang tidak mereka harapkan.” (Surah An Nisaa’: 104)

Oleh kerana itu, orang-orang mukmin maupun kafir sama-sama menderita kesakitan. Akan tetapi, orang-orang mukmin mempunyai keistimewaan dengan pengharapan pahala dan mendekatkandiri kepada Allah SWT.” (Ighaatsatul Lahfan, hal. 421-422, Mawaaridul Amaan)

Sahabat yang dikasihi,
Sebagaimana ketentuan Allah SWT bahawa setiap apa yang ada di dunia ini berpasangan, seperti mana siang dan malam atau lelaki dan perempuan, begitu jugalah kesenangan dan kesukaran atau rahmat dan dugaan. Kita harus menerima hakikat bahawa kehidupan manusia akan selalu diuji oleh Allah SWT.

Kita perlu meletakkan keyakinan bahawa ujian seperti masaalah ditempat kerja, menghidap penyakit, masaalah rumah tangga, kemerosotan dalam perniagaan, perselisihan faham dengan ahli keluarga dan jiran tetangga adalah bertujuan untuk memantapkan nilai-nilai keimanan, ketakwaan, kesyukuran dan rasa cinta kita kepada-Nya.

Apabila kita yakin, dengan izin Allah SWT, segala permasalahan yang membelenggu diri akan dirungkaikan dan akhirnya kita berjaya menghadapi tekanan dengan tenang dan berjaya.

Ini selaras dengan firman Allah SWT dalam surah al-Fath ayat 4 maksudnya: "(Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman supaya mereka bertambah iman dan yakin beserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka); dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.'

Akhirkata hayatilah firman Allah SWT maksudnya :"Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar." (Surah al-Baqarah ayat 153)

Monday, 25 August 2014

Kisah Si Penggunting Rambut

  Kisah Si Penggunting Rambut
Jumaat lepas, sebuah masjid di Shah Alam menyentuh soal pentingnya aqidah di dalam khutbah Jumaatnya. Khatib ada membawakan sebuah cerita yang menarik dan saya rasa ingin mengongsikan kisah tersebut di blog ini. Berikut adalah kisah tersebut dengan sedikit ubahsuai versi saya:

Pada suatu petang, seorang lelaki datang ke kedai gunting rambut untuk memendekkan rambutnya yang agak panjang dan tidak terurus. Seperti biasa, si penggunting rambut menyambut pelanggannya dengan mesra dan mempersilakannya duduk.

Sedang si penggunting rambut melakukan kerjanya, mulutnya tidak berhenti bercerita. Macam-macam dibualkan menyentuh isu semasa dan kehidupan harian. Tiba-tiba si penggunting rambut itu bertanya suatu soalan yang agak berat.

“Tuhan ni wujud ke?” tanya si penggunting rambut.

Lelaki tersebut terkejut dengan soalan tersebut. Belum pun sempat nak menjawab, si penggunting rambut menyambung percakapannya.

“Kalau Tuhan wujud kenapa dunia ni huru-hara, manusia saling berperang dan benci sesama manusia? Tuan tengoklah berita, di sana berperang di sini berperang. Asyik bergaduh sahaja di mana-mana…” adu si penggunting rambut.

“Lihat di negara kita, sana sini buang bayi. Kes bunuh pun selalu keluar di akhbar. Masalah sosial lagi. Rasuah lagi. Teruklah!” sambungnya lagi menyatakan kekesalan.

“Tuhan tu ada.” Jawab si lelaki itu singkat. Risau melihat semangat si penggunting rambut itu dengan gunting tajam di tangannya.

“Kalau betul Tuhan ada, kenapa DIA tak selesaikan semua masalah tu? Dan buat semuanya jadi aman sahaja? Kan senang!” ujar si penggunting rambut yang umurnya 40-an itu.

Selepas beberapa minit berlalu, sesi guntingan rambut pun selesai. Selesai membayar, si lelaki mengajak si tukang gunting melihat ke luar tingkap.

“Encik lihat tak lelaki-lelaki remaja di sana? Dan pakcik tua di seberang jalan tu yang sedang duduk tu?” tanya lelaki itu.

“Ya, saya nampak. Kenapa?” si penggunting rambut bertanya kembali.

“Lelaki remaja tu rambutnya panjang, nampak tak senonoh kan? Dan pakcik tua tu pula misainya tak terurus nampaknya. Setuju tak?” Lelaki itu meminta pandangan.

“Ya, betul. Saya setuju.” si penggunting rambut mengiyakan sambil mengangguk.

“Mereka jadi macam tu sebab tukang gunting rambut tiada kah?” tiba-tiba lelaki itu mengajukan soalan ‘istimewa’ kepada si penggunting rambut.

“Eh, tak. Bukan sebab tu. Ni saya ada ni.” Si penggunting rambut menafikan.

“Habis tu kenapa lelaki-lelaki remaja itu berambut panjang dan pakcik tua itu tidak tersusun misainya?” lelaki tersebut bertanya kembali.

“Tu sebab mereka tak datang jumpa saya. Kalau mereka datang jumpa saya tentu saya akan potong rambut remaja lelaki tu bagi elok. Dan pakcik tua tu pula saya akan trim misainya bagi kemas.” jawab si penggunting rambut.

“Ya, itulah jawapan kepada persoalan encik semasa encik memotong rambut saya tadi. Tuhan itu ada. Tidaklah bermakna berlakunya peperangan, pertelingkahan, jenayah, gejala sosial, rasuah di kalangan manusia itu adalah kerana Tuhan tidak ada. Masalah ini semua timbul kerana mereka semua tidak mahu ‘berjumpa’ dengan Tuhan.” kata lelaki itu.

Si penggunting rambut mendengar dengan teliti sambil mengerutkan dahinya. Berfikir agaknya.

“Mereka yang abaikan suruhan dan perintah Tuhan. Tuhan malah telah memberikan pedoman melalui RasulNYA dan juga melalui kitabNYA iaitu al-Quran. Malangnya, manusia memilih cara mereka sendiri. Mereka menjauhkan diri dari ALLAH. Jika manusia mendekatkan diri dengan ALLAH, tentulah keadaan manusia lebih baik dan sejahtera. Lebih kurang macam sayalah sekarang ni. Lebih handsome dari lelaki-lelaki remaja dan pakcik tua tu sebab saya jumpa encik untuk dirapikan rambut saya, hehe…”

“Betul jugak. Kenapa Tuan tak jelaskan pada saya semasa potong rambut tadi” Si penggunting rambut mengangguk setuju sambil bertanya.

“Oh bukan apa. Saya risau dengan gunting di tangan encik tu. Dibuatnya encik marah nanti, tak pasal-pasal saya kena nanti…hehe. Tapi, alhamdulillah encik tak marah, malah dapat menerima penjelasan saya” Jelas lelaki tersebut sambil ketawa kecil. Si penggunting rambut itu turut tertawa juga.

Antara pengajaran penting:

Tuhan itu ada. DIA, yakni ALLAH adalah Tuhan Maha Esa. DIA lah tempat semua memohon pertolongan dan bergantung harap. ALLAH tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dan DIA tidak sama dengan mana-mana satu pun.

Patuhlah kepada perintah ALLAH dan jauhilah larangan ALLAH. Kerana padanya terdapat kesejahteraan dan kebaikan yang menyeluruh. “Aslim, taslam”. Ambillah ISLAM secara keseluruhannya, nescaya semua manusia dan makhluq yang menghuni bersama manusia akan selamat.

Peringatan:

Ini hanyalah perumpamaan untuk dibuka fikiran sahaja. Kisah sebegini baik untuk disampaikan untuk mengajak manusia berfikir dan merenung. Namun, perumpamaan ini tidaklah tepat dengan ALLAH. Kerana ALLAH itu adalah Tuhan yang tiada suatu pun yang sama denganNYA.

Semoga ada manfaat padanya, insyaALLAH.

Thursday, 21 August 2014

MEMINTA MAAF

Minta Maaf: Seuntai Kata Cukup Bermakna

Minta Maaf | Kata ‘maaf’ sering meniti di bibir setiap insan, ada yang mengatakan“maafkan aku”, “I’m sorry, please forgive me” dan pelbagai versi lagi dalam bahasa lain, akan tetapi makna yang ingin disampaikan masih membawa maksud yang sama. Kebiasaannya, perkataan maaf yang diungkapkan, menjadi lumrah setiap kali kita melakukan kesalahan.

Siapa kata diri ini tidak pernah wujud walau sekelumit kesalahan pun dalam hidupnya. Hatta, apabila kita terlanggar orang lain ketika berlari mengejar bas, kita akan mengucapkannya, “maafkan saya kak, saya tak nampak tadi”, Namun persoalannya, adakah kata maaf itu terkesan di hati kita dan pernahkah kita menyelami hakikat kemaafan yang sebenar dalam kehidupan ini?

Kemaafan Dalam Islam

Islam merupakan agama yang syumul. Allah s.w.t telah mengurniakan manusia dengan akal untuk kita berfikir dalam apa jua hal yang kita lakukan di muka bumi ini dan dengan akal, kita dapat melaksanakan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Namun begitu, kita hanya  makhluk ciptaan Allah s.w.t dan dalam proses kita menempuh kehidupan sebagai seorang manusia, kita tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan.

Adakalanya, kita sedar, bahawa diri ini telah melakukan kesilapan dan sengaja melakukan dosa. Kekhilafan diri, memungkinkan diri kita untuk mengungkapkan, “kita kan manusia, biasa lah..memaafkan itu kan, lebih baik.” Ya, memang benar sebagai manusia kita mempunyai tanggungjawab. Ya, memang benar juga sebagai manusia kita melakukan kesilapan, lalu kata maaf menjadi madah menyulam bicara memohon kemaafan. Begitu pentingnya kemaafan dalam kehidupan kita. Islam menjelaskan, terdapat dua aspek kemaafan. Pertama, kemaafan dari Allah s.w.t dan yang kedua kemaafan dari manusia. Kita perlukan kedua-duanya, kerana kita melakukan silap terhadap Allah s.w.t, begitu jua dalam hubungan kita sesama manusia.

Allah s.w.t Maha Pengampun

Astaghfirullahal‘azim, suatu lafaz yang lazim dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah s.w.t. Lafaz di bibir mengucapkan dan hati tidak henti membisikkan kalimah ini setiap kali memohon keampunan dari Rabb al-‘Azim. Keampunan datang dari rahmat Allah s.w.t. dan sedarlah bahawa, Allah s.w.t tidak pernah melupakan hamba-Nya yang sentiasa mengingatinya. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dialah yang Maha Pengampun dan lagi Maha Pengasih” (Surah al-Burj 85:14).

Betapa luasnya kemaafan Allah s.w.t kepada hamba-Nya yang sentiasa mengharapkan ampunan dari-Nya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Dari Anas r.a dia berkata: saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman:

“ Wahai anak Adam, sesungguhnya Engkau berdoa kepada-Ku dan memohon kepada-Ku, maka akan aku ampuni engkau, Aku tidak peduli (berapapun banyaknya dan besarnya dosamu). Wahai anak Adam seandainya dosa-dosamu (sebanyak) awan di langit kemudian engkau minta ampun kepada-Ku nescaya akan aku ampuni engkau. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang kepada-Ku dengan kesalahan sepenuh bumi kemudian engkau menemuiku dengan tidak menyekutukan-Ku sedikitpun, maka akan Aku temui engkau dengan sepenuh itu pula ampunan.” (Hadith, Riwayat Tirmidhi).

Cermin diri, lihat sejauh mana usaha dan doa yang telah kita lakukan untuk meraih ampunan dari yang Maha Esa. Teladanilah, umat Islam yang terdahulu. Menyingkap kisah Imam Malik, ketika sedang dalam majlis ilmu dengan pelajarnya, tiba-tiba beliau berhenti seketika dan menangis, kemudian menyambung kembali semula pengajarannya. Pelajarnya berasa hairan dengan tindakan guru mereka itu, lalu bertanya pada beliau di akhir majlis ilmu,

“Mengapa engkau menangis sebentar tadi dan kemudian engkau kembali mengajar seperti biasa?”  Imam Malik menjawab, “ Sesungguhnya, aku terputus sebentar hubungan dengan Allah s.w.t ketika sedang mengajar, kerana itulah aku menangis,” Lihatlah Imam Malik, hanya kerana terputus sebentar hubungan dengan Allah, telah membuatkannya menangis. Bagaimana pula dengan kita? Hari-hari dalam kehidupan kita dipalit dengan dosa dan rasa bersalah, jarang sekali kita menangis dan menadah tangan memohon keampunan dari Allah s.w.t .

Memohon maaf dan memaafkan

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang ada kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya disana tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan keatasnya” (Riwayat Bukhari).

Jika kita melakukan kesilapan terhadap orang lain, segeralah memohon kemaafan dari mereka, kerana sesungguhnya perbuatan yang menyakiti hati orang lain, boleh menyebabkan ‘pintu hitam’ terbuka dalam perhubungan kita sesama manusia.Lagi pula, kita tidak tahu bila ajal akan menjelma menjemput kita kelak. Begitu juga sebaliknya, kadang bukan mudah untuk memberikan kemaafan, ada juga yang mengatakan tidak akan memaafkan sampai bila-bila dan ada juga yang memberi maaf tapi masih berdendam. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

Dan segeralah kamu (mengerjakan amalan-amalan yang baik untuk mendapat) keampunan dari tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang- orang yang bertaqwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Surah Ali Imran 3:133-134).

Intinya, sesetengah perkara yang berlaku dalam hidup, ada kalanya perlu untuk kita hadapi. Proses kehidupan tidak menjanjikan kita ‘immune’ terhadap ‘virus-virus’ masalah, namun setiap detik yang kita lalui sangat bermakna dalam kehidupan. Hal ini boleh kita analogikan dengan kemaafan, walaupun susah kita rasakan, maafkanlah dan mohonlah maaf sesama manusia, kerana ia cukup bermakna. Jangan mengharapkan supaya memaafkan kita, kita telah mencuba. Namun letakkanlah kepercayaan dan keyakinan kita pada Allah s.w.t. Jangan pernah putus asa terhadap keampunan Allah s.w.t, Insya’Allah.

Siti Fatimah binti Datu Ali Nafiah

Pelajar Tahun 2 (Universiti Kebangsaan Malaysia)

Tuesday, 19 August 2014

TABIR CAHAYA DAN KEGELAPAN


Allah berfirman:
“Sesiapa yang buta di dunia buta juga di akhirat”. (Surah Bani Israil, ayat 72).

Bukan buta mata yang di kepala tetapi buta mata yang di hati yang menghalang seseorang daripada melihat cahaya hari akhirat. Firman Allah:
“Bukan matanya yang buta tetapi hatinya yang di dalam dada”. (Surah Hajj, ayat 46).

Hati menjadi buta disebabkan oleh kelalaian, yang membuat seseorang lupa kepada Allah dan lupa kepada kewajipan mereka, tujuan mereka, ikrar mereka dengan Allah, ketika mereka masih berada di dalam dunia. Sebab utama kelalaian adalah kejahilam terhadap hakikat (kebenaran) undang-undang dan peraturan Tuhan. Apa yang menyebabkan seseorang itu berterusan di dalam kejahilam ialah kegelapan yang menyeluruh menutupi seseorang dari luar dan sepenuhnya menguasai batinnya. Sebahagian daripada nilai-nilai itu yang mendatangkan kegelapan ialah sifat-sifat angkuh, sombong, megah, dengki, bakhil, dendam, bohong, mengumpat, fitnah dan lain-lain sifat keji. Sifat-sifat yang keji itulah yang merendahkan ciptaan Tuhan yang sangat baik sehingga jatuh kepada tahap yang paling rendah.

Untuk membebaskan seseorang daripada kejahatan itu dia perlu menyucikan dan menyinarkan cermin hatinya. Penyucian ini dilakukan dengan mendapatkan pengetahuan, dengan beramal menurut pengetahuan itu, dengan usaha dan keberanian, melawan ego diri, menghapuskan yang banyak pada diri, mencapai keesaan. Perjuangan ini berterusan sehingga hati menjadi hidup dengan cahaya keesaan – dan dengan cahaya keesaan itu mata bagi hati yang suci akan melihat hakikat sifat-sifat Allah di sekeliling dan pada dirinya.

Hanya selepas itu baharu kamu ingat akan kediaman kamu yang sebenar yang darinya kamu datang. Kemudian kamu akan ada rasa kerinduan dan keinginan untuk kembali kepada rumah kediaman yang sebenar, dengan pertolongan Yang Maha Mengasihani roh suci pada diri kamu akan menyatu dengan-Nya.

Bila sifat-sifat kegelapan terangkat cahaya mengambil alih tempatnya dan orang yang memiliki mata rohani akan melihat. Dia mengenali apa yang dia lihat dengan cahaya nama-nama sifat Ilahiah. Kemudian dirinya dibanjiri oleh cahaya dan bertukar menjadi cahaya. Cahaya ini masih lagi hijab menutupi cahaya suci Zat, tetapi masanya akan sampai bila ini juga akan terangkat, yang tinggal hanya cahaya suci Zat itu sendiri.

Hati mempunyai dua mata, satu yang sempat dan satu lagi yang luas. Dengan mata yang sempat seseorang boleh melihat kenyataan sifat-sifat dan nama-nama Allah. Penglihatan ini berterusan sepanjang perkembangan kerohaniannya. Mata yang luas melihat hanya kepada apa yang dijadikan kelihatan oleh cahaya keesaan dan yang esa. Hanya bila seseorang sampai kepada daerah kehampiran dengan Allah dia akan melihat, di dalam alam penghabisan bagi kenyataan Zat Allah, Yang Esa dan Mutlak.

Bagi mencapai makam-makam ini ketika masih di dalam dunia, di dalam kehidupan ini kamu mestilah membersihkan diri kamu daripada sifat-sifat keduniaan, yang ego dan keegoan. Jarak yang kamu mengembara di dalam kenaikan kamu ke arah makam-makam tersebut bergantung kepada sejauh mana kamu mengasingkan diri daripada hawa nafsu yang rendah dan ego diri kamu.

Pencapaian kamu kepada matlamat yang kamu inginkan bukanlah seperti barang kebendaan sampai ke tempat kebendaan. Ia juga bukan ilmu yang membawa seseorang kepada sesuatu yang menjadi diketahui (daripada tidak tahu), juga bukan pertimbangan yang memperolehi apa yang difikirkan, bukan juga khayalan yang menyatu dengan apa yang dikhayalkan. Matlamat yang kamu ingin capai ialah kesedaran tentang ketiadaan (kekosongan) kamu daripada segala sesuatu kecuali Zat Allah. Pencapaian ini adalah perubahan suasana yang terjadi, bukan perubahan pada sesuatu yang nyata. Di sana tiada jarak, tiada dekat atau jauh, tiada kesampaian, tiada ukuran, tiada arah, tiada ruang.

Dia Maha Besar, segala puji untuk-Nya. Dia Maha Pengampun. Dia menjadi nyata dalam apa yang Dia sembunyikan daripada kamu. Dia menyatakan Diri-Nya sebagaimana Dia melabuhkan tirai di antara Dia dengan kamu. Pengenalan tentang Diri-Nya tersembunyi di dalam ketidakupayaan mengenali-Nya.

Jika ada di antara kamu yang sampai kepada cahaya yang diterangkan dalam buku ini ketika kamu masih lagi berada di dalam dunia, buatlah muhasabah (hisab) terhadap diri kamu, buku catatan kamu tentang amalan kamu. Hanya di bawah cahaya kamu boleh melihat apa yang kamu sudah buat dan sedang buat; buat kiraan kamu, seimbangkannya. Kamu akan membaca buku catatan kamu di hadapan Tuhan kamu pada hari pembalasan. Itu adalah muktamad. Kamu tidak ada peluang mengimbanginya di sana. Jika kamu lakukan di sini ketika kamu masih ada masa, kamu akan termasuk ke dalam golongan yang diselamatkan. Jika tidak azab dan seksa menjadi bahagian kamu di akhirat. Hidup ini akan berakhir. Di sana ada azab di dalam kubur, ada hari pembalasan, ada neraka yang menimbang sehingga kepada dosa yang paling kecil dan kebaikan yang paling kecil. Kemudian ada jambatan yang lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada mata pedang, penghujungnya ialah taman, sementara di bawahnya ialah neraka yang penuh dengan kecelakaan, penderitaan, semuanya adalah berkekalan apabila kehidupan yang singkat ini berakhir.