Friday 25 April 2014

Tazkirah jumaat : Hargai Masa

Salam Jumaat dan Selamat Sejahtera
Sedikit tazkirah sedikit sebanyak la jgk (",) tapi boleh memberi manfaat kepada kite semua..InsyaAllah

MENGHARGAI MASA ADALAH SATU TUNTUTAN

Pengurusan Masa
Pengurusan masa adalah penting kerana masa adalah aset yang bernilai dalam hidup manusia. 
Semua perkara bergantung kepada ketentuan masa sama ada memberi keuntungan atau kerugian. Dengan itu pepatah ada mengatakan bahawa 'masa itu emas'.

Kepentingan Masa
Allah Subhanahu Wa Ta'ala berfirman:

 Maksudnya:
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran. [al-‘Ashr 103:1-3]

Dalam ayat di atas, Allah Subhanahu wa Ta'ala menerangkan bahawa manusia sentiasa berada dalam kerugian kecuali mereka yang melakukan empat perkara:

1) Beriman, iaitu memiliki aqidah yang sahih lagi kukuh terhadap Allah dan apa yang disyari‘atkan oleh-Nya.

2)Melaksanakan amal soleh. Ia bukan sekadar solat, puasa dan zikir, tetapi meliputi semua amalan yang soleh di dalam Islam seperti berbuat baik kepada ibu bapa, menghubungkan silaturahim, cemerlang dalam pembelajaran dan profesional dalam kerjaya.

3) Berpesan-pesan kepada kebenaran. Memberi nasihat, tunjuk ajar dan teguran kepada orang lain tentang apa yang benar dan apa yang salah.

4) Berpesan-pesan kepada kesabaran. Memberi nasihat kepada orang lain agar sabar dalam menghadapi musibah serta sabar dalam melaksanakan perintah larangan Allah.

Jangan Suka Bertangguh-tangguh
Budaya "Esok Masih Ada" hendaklah dibuang daripada diri seorang insan yang bergelar  dalam mengejar kecemerlangan diri serta kecemerlangan negara. Bertangguh dalam melaksanakan sebarang tugas adalah tidak digalakkan dan akan merugikan masa seseorang.

Berhubung dengan masa juga pepatah Arab ada menyebut, maksudnya: “Masa itu seperti pedang, jika kamu tidak memotongnya nescaya ia akan memotong kamu.”
Seorang penyair Arab al-Syarif al-Murtadha berkata: “Kita mengagumi setiap hari yang berlalu, sedang hari yang berlalu itu sebenarnya makin menyusutkan umur kita.”

Memanfaatkan Masa Di Dunia
Manusia akan memungut dan menuai hasil di akhirat daripada tanaman yang diusahakan di dunia. Manusia ditanyakan di akhirat kelak terhadap segala amalan yang dilakukan sepanjang tempoh umurnya di dunia.

Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: “Tidak akan melangkah seseorang hamba itu pada Hari Kiamat hingga ditanyakan mengenai apa yang dihabiskan dalam umurnya, apa yang dilakukan menurut ilmunya, ke arah mana hartanya di usahakannya dan dibelanjakan serta apa yang dibuat oleh tubuh badannya terhadap segala ujian dan tanggungjawab.”(Hadis riwayat at-Tirmizi).

Masa Tidak Akan Di Sia-siakan
Malah orang-orang yang beriman tidak akan membiarkan setiap keuntungan berlalu sia-sia dan tidak pula berhajat mengundang apa - apa kerugian. Mana-mana ruang kesempatan yang baik, sudah pasti direbutinya. 
Mereka akan sentiasa berpegang kepada pesanan Rasulullah S.A.W sepertimana maksud hadisnya: " Rebutlah (pergunakanlah) lima waktu sebelum tiba lima waktu yang lain iaitu:
i) Masa hidup sebelum mati
ii) Masa sihat sebelum sakit
iii) Masa lapang sebelum sibuk
iv) Masa muda sebelum tua
v) Masa kaya sebelum fakir."

Pernah Rasulullah S.A.W ditanya: "Manakah suatu manusia yang baik, Maka jawab baginda:
Siapa yang umurnya panjang, serta baik amalnya."

 Suntingan/ Rujukan:   Akhbar-akhbr Tempatan

Kesimpulannya :
Menghargai  masa dalam Islam adalah tanda keimanan. Ketepatan waktu dan kepentingannya dalam pengurusan adalah perkara yang tidak perlu dihuraikan lagi.

Tidak kira dalam apa-apa aspek sekalipun, kita perlu mendahului masa atau paling kurang menepatinya. Tinggal kan tanggapan orang " Janji Melayu "...sile menepati masa.. Jika kite hormat masa orang, orang pun akan hormat masa kite jugak kan...

Manfaatkanlah hidup kita sebaik mungkin kerana sedetik yang berlalu tidak akan berulang.

 Ingatlah, setiap saat di dunia ini akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.

#Copy&Paste

Tuesday 22 April 2014

Kuatkan Hamba-Mu Ya Allah..

Duhai hati..
bersabarlah..
selagi nyawa masih di jasad...
selagi roh belum bertemu Allah...
bekerjalah wahai jasad..
sebelum jasad dikebumikan..

Ya Allah..
Ampunkan dosaKu..
hambaMu yg lemah..dan hina..
terlalu banyak diriku berdosa..
tanpa aku sedar dan sengaja..

mungkin ini adalah ujian Allah..
kerana dengan ujian hambanya menjadi kuat..
aku tak pinta ujian sehebat ini..
kerana seolah-olah aku tahu tahap kemampuan diriku..
tapi aku 'kurang' sedar bahawa Allah lebih mengetahui tentang diriku..
ampunkan aku ya Allah..

aku menangis..menangis..dan menangis..
tiada seorang hambaMu yg mengetahui lara hatiku..
melainkan Engkau ya Allah..
sahabatku ramai..
tapi aku tak bisa meluahkan rasa hati ini ya Allah...
kerana aku terlalu kerdil...
hari ini aku menangis lagi ya Allah...
menangisi nasib diriku yg lemah...
bagaikan tak sudah2 ujianMu datang ya Allah..

aku penat ya Allah..
aku lelah ya Allah..
aku lemah ya Allah..
aku lemas ya Allah..

berdosalah aku kerana seolah2 tidak mampu menampung ujian Mu ya Allah..
ujian Mu yang terlalu kecil bagi rakyat Palestin..
aku belum berjuang dan berjihad..
tapi aku seolah2 sudah 'menyerah kalah'...

aku menangis lagi ya Allah...
Engkau tenangkanlah hatiku ya Allah..
hatiku yang sering runsing memikirkan perihal diri..
yang tidak sudah2 di uji..
kasihilah hambaMu ini ya Allah..
hambaMu yang lemah ya Allah..

kadang2 aku 'berlagak' seperti biasa..
kerana diriku tidak bisa meluah rasa pada manusia bergelar sahabat...
kerana aku sedar mereka hanya boleh..
mendengar..melihat...mensimpati..tanpa merasai...
diriku merasai...diriku mengalami....diriku adalah diriku...

ya Allah...
andai ini ujianMu yang paling hebat..
berikan aku kekuatan utkku hadapinya dengan tenang...
aku tidak ingin mengeluh..
tapi aku ingin meluah rasa hati..
bukan untuk memohon simpati manusia..
tapi memohon simpati...
memohon pertolongan..
dan memohon keampunan Mu ya Allah..
tabahkan hatiku ya Allah..
berikan petunjukMu ya Allah...
kuatkan hatiku ya Allah.....ampunkan dosaku ya Allah...

berilah peluang padaku utk bertaubat sebelum aku bertemu Mu ya Allah..
ya Karim...ya Rahim...ya Khaliq...
ya Rabb..ya Rabb..
ya Rabb..
ya Rabb.

Monday 21 April 2014

Rahsia di sebalik senyuman

1. Para saintis mendapati senyum dan ketawa merupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman di mana dapat merangsang seluruh tubuh dan mampu memberi manfaat berguna kepada sistem saraf otak dan juga hormon-hormon. 

2. Pengkaji dan pengamal barat percaya dengan memulakan hari dengan senyuman bukan sahaja berupayamenceriakan hidup anda tetapi memberi banyak kebaikan kepada kesihatan. Apabila kita tersenyum, badan turut 'tersenyum' dan menganggap kita gembira. Kajian menunjukkan senyuman memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak. 

3. Apabila darah yang 'sudah sejuk' ini sampai ke hipotalamus (bahagian yang mengawal suhu badan dan emosi) ia menghasilkan kesan 'gembira'. Selain itu, apabila kita tersenyum, kita hanya menggunakan 17 otot muka berbanding 43 ketika mengerutkan dahi. 

4. Senyuman bukan sekadar reaksi gerak muka, tetapi turut mempunyai kaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi menjadikan seseorang itu rasa lebih selesa dengan diri sendiri. 

5. Kajian menunjukkan individu yang ketawa 100 kali dalam tempoh 24 jam mendapat manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam 10 minit. Hal ini terjadi kerana apabila kita ketawa, tekanan darah dan kadar dengupan jantung meningkat. Kemudian kedua-dua kadar ini akan turun iaitu lebih rendah daripada paras sebelum anda ketawa. 

6. Anda juga perlu sedar bahawa kanak-kanak lebih banyak ketawa dari orang dewasa. Kanak-kanak berumur antara empat hingga enam tahun ketawa 400 kali sehari berbanding hanya 15 kali sehari di kalangan orang dewasa. Jesteru tidak hairan jika orang dewasa lebih mudah diserang penyakit serta mengalami masalah tekanan dan kemurungan. 

7. Kajian yang dibuat oleh sekumpulan saintis dari Universiti Pusat Perubatan California menjelaskan terdapat dua jenis 'stress' iaitu stress yang baik dan stress yang tidak baik. Senyum dan ketawa dikategorikan sebagai stress yang baik. Stress yang tidak baik akan memberi tekanan kepada sistem ketahanan badan. 

8. Dalam kajian di atas, dua kumpulan orang dewasa telah digunakan sebagai eksperimen. Kumpulan pertama dipertontonkan cerita-cerita lucu manakala kumpulan kedua diletakkan disebuah bilik tanpa berbuat apa-apa. Sampel darah diambil 10 minit sebelum dan selepas kajian dibuat. Dari keputusan sampel darah tersebut, kumpulan pertama didapati peningkatan hormon semakin baik seperti hormon 'endorphins' dan hormon 'neurotransmitters' dan penurunan tahap hormon stress 'cortisol' dan 'adrenaline' . 

9. Ketika kita ketawa, sel pembunuh tumor dan virus semulajadi dalam badan akan bertambah selaras dengan pertambahan Gamma-inteferon (protein melawan penyakit), sel T (yang penting untuk sistem pertahanan badan) dan sel B (yang menghasilkan antibodi melawan penyakit). 

10. Senyuman juga mampu merendahkan tekanan darah, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan. Banyak kajian terbukti bahawa tekanan emosi seperti kemurungan, kemarahan atau keresahan mempunyai kaitan dengan sakit jantung. 

11. Senyuman yang diakhiri dengan ketawa mengaktifkan kimia badan dan secara tidak langsung merendahkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, strok, atritis dan ulser. Pusat Perubatan Universiti Maryland menjalankan kajian ke atas 300 responden dan mendapati 40 peratus orang yang mengidap penyakit jantung kurang ketawa berbanding orang yang sihat. 

12. Senyuman dan ketawa antara senaman yang baik kerana ia membabitkan diafragma, abdomen, sistem pernafasan, muka, kaki dan otot belakang badan. Ketawa 'mengurut' organ dalam abdomen dan menguatkan otot abdomen, merangsang kedua-dua belah otak dan meningkatkan keupayaan untuk belajar. Ia melegakan ketegangan otot dan tekanan psikologi; membuatkan otak lebih peka serta bersedia menerima maklumat baru. 

13. Ketawa juga dikatakan mampu memperbaiki fungsi usus, sekali gus meningkatkan pencernaan dan penyerapan nutrient dalam badan. Ada juga yang percaya ketawa boleh membakar kalori seperti kita bersenam beberapa minit. 

14. Selain memberi pelbagai kebaikan kepada tubuh, dalam ajaran Islam sendiri mengatakan senyum itu satu sedekah. Senyum mampu menjadi penawar pada penyakit rohani yang kronik. Senyum tidak perlu modal, *****a sekelumit rasa ikhlas yang bisa memaniskan senyuman itu. Senyuman yang dilemparkan mampu menyerikan hari insan lain. Mungkin juga mampu menyejukkan hati yang sedang marah atau mampu juga untuk memulakan sesebuah ikatan. 

15. Pujangga menyebut : 
" SENYUM ITU KELOPAK. KETAWA ITU BUNGA YANG SEMPURNA KEMBANGNYA".

Jadi kengkawan jangan lupa untuk senyum, sekerat atau meleret tak kisah lah jangan senyum sinis dah lah tu tak baik tau dan kalau ketawa tu jangan keterlaluan plak cukup sekedar nya sahaja ok.


--------------------------------------------------------------------------------
Dipetik dari web:media muslim portal

Wednesday 16 April 2014

Hanya Kau Tahu Apa Yg Terbaik Untuk Hamba-Mu

Sendiri aku..
berdiri disini..
di bumi MU ya Allah..
bumi tempat ku menumpang..
sementara menunggu destinasi hakiki ku..

aduh...
berat ku rasa...
untuk hadapi mehnah di bumi MU..
kadang rasa tidak terdaya menahannya..
kadang rasa lelah..
lelah hingga kadang tak terhela..

banyaknya ujian MU dibumi ini ya Allah..
mataku diuji..
telingaku diuji..
tanganku diuji..
kaki ku diuji..
hatiku diuji...
hakikatnya hidupku teruji...

aduh..
apa ini..
aku diuji lagi..
aku lupa nikmatMU..
KAU kirim ujian..
KAU kirim kesusahan..
KAU kirim kesedihan..
tapi aku lupa...
KAU MAHA ADIL..
MAHA MENGASIHANI hamba MU..
KAU tidak pernah lupa kirimkan aku ubat kepada ujian..
KAU tidak pernah lupa kirimkan kesenangan pada kesusahan itu...
KAU tidak pernah lupa kirimkan kebahagiaan pada kesedihan itu...

KAU tak pernah tinggalkan aku..
walau apa pun kondisi aku..
saat aku tidur...
KAU tetap ada bersamaku..
saat aku leka dari mengingati MU..
KAU tetap denganku...
saat aku dikelilingi ramai..
KAU ada bersamaku..
saat aku ditinggal sendiri..
KAU tetap disampingku..

aduh...
begitu mudah ku kata hidup ini melelahkan..
sedangkan KAU sentiasa ada bersamaku..
menemaniku...
mengirimkan kekuatan saat aku lelah..
mengirimkan bahagia saat aku sedih..
mengirimkan penawar saat aku sakit..
mengirimkan penyelesaian saat ku di uji...

wahai diri..
malulah pada PENCIPTA mu..
ujian itu lah resipi kekuatan...
ujian itu melatihmu...
ujian itu membantumu...
biar kau diuji didunia...
jangan kau diuji disana..

oh tidak..
cukuplah aku diuji didunia..
tidak mahu aku diuji disana..
cukuplah aku susah didunia..
tidak mahu aku susah disana..
cukuplah aku sedih didunia..
tidak mahu aku bersedih disana..

Ya ALLAH..
KAU mengetahui apa yang aku tidak tahu..
KAU tahu apa yang terbaik untuk ku..
aku mohon pada MU..
KAU kurniakan lah..
kebaikan pada ku..
dunia dan akhirat..

Tuesday 15 April 2014

JOM, cantikkan wajah dengan wudhu'

SEMUA orang hendak cantik. Demi cantik, sekarang orang sanggup bargadai, asalkan cantik. Tidak cukup dengan bedak dan mekap, sanggup mereka mengubah muka dengan pembedahan plastik, asalkan cantik.

Kadang-kadang walaupun terseksa mereka tidak peduli, kerana yang penting bagi mereka ialah cantik.

Muka kena menawan biar orang memandang, berpaling dan menjeling, yang penting cantik.


Apabila hendak cantik, tentu bahagian mukalah menjadi sasarannya, dengan hidung ditinggikan, mulut ditebalkan, tulang rahang dinaikkan, mata dibuat alis, dilentik malah apa saja sanggup diubah selagi dapat diubah, kerana yang penting cantik.

Kadangkala kesian juga pada mereka yang hendak cantik tetapi tidak juga cantik-cantik. Selepas dicantikkan muka kemudian menjadi tidak cantik juga. Kenapa?

Sebabnya ialah kerana kecantikan bukan sahaja pada muka dan penampilan serta aspek luaran tetapi juga kecantikan dalaman (inner beauty).

Kecantikan dalaman sangat jarang diberi keutamaan seperti muka yang tenang bercahaya berpaksi dari hati. Bercahaya bukan sahaja di dunia tetapi berpanjangan dan berkekalan hingga ke akhirat.


Antara tip muka bercahaya yang membekas kepada kehidupan ialah kesan wuduk. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sesungguhnya umatku kelak akan dipanggil di hari kiamat dalam keadaan putih cemerlang kerana kesan daripada air wuduk." Ini satu jaminan kecantikan yang abadi.

'Inner beauty' yang penulis maksudkan ialah kecantikan hati yang membawa lahirnya peribadi cemerlang seperti nilai integriti seperti ikhlas, jujur, amanah dan sebagainya bermula daripada wuduk.

Air wuduk bukan sahaja membersihkan anggota fizikal tetapi membersihkan kotoran batin seperti dosa dan maksiat yang dilakukan.

Jangan pandang kecil pada yang bernama pengampunan Allah sebab itulah pintu segala kebaikan dan kebajikan.

Cuba lihat ibadat wuduk mendidik bersih hati dan nilai integriti. Wuduk biasanya dilakukan secara sendirian, tidak ada orang melihat seperti juga puasa orang tidak tahu.

Boleh saja kalau yang berwuduk itu hendak menipu seperti tidak basuh kaki atau basuh tidak sempurna kerana orang tidak tahu. Kerana itulah wuduk hanya dilakukan orang yang ikhlas sahaja. Orang ikhlaslah yang berseri wajahnya.

Mereka yang tidak pernah menghiasi muka dengan wuduk sudah tentu tidak terlatih dengan keikhlasan.

Sebenarnya boleh sahaja kalau seseorang itu melakukan solat tanpa wuduk tetapi keikhlasan sahaja yang membuatkan mereka tidak akan menipu. Orang yang jujur akan terpancar pada wajahnya cahaya keikhlasan.

Seseorang yang sentiasa berwuduk sentiasa bersama malaikat. Malaikat sebagaimana yang kita ketahui bersih dan tidak akan berada di tempat kotor.

Apabila bersama malaikat bukan sahaja ia akan mendoakan orang yang berwuduk malah sentiasa mendorong dan membisikkan kebaikan. Lagi banyak bisikan kebaikan, lagi terdorong melakukan kebaikan.

Bukankah kebaikan itu bermula dengan dorongan. Sebab itulah orang berwuduk terpancar kebersihan dan cahaya dari wajahnya.

Selepas kebersihan wajah dengan wuduk, kemudian muka pula berhias dalam batas syarak akan terserlah kecantikan.






p/s: Kalau harap cantik dengan mekap dan krim pencantik tetapi muka jauh daripada wuduk, itu hanya lakonan dan sandiwara itu yang menyebabkan rumah tangga tidak kekal, tidak ada kesetiaan dan integriti.



waALLAHualam..

Monday 7 April 2014

Jodoh: Mencari atau Menunggu?

Ramai yang keliru.

Jika kita lihat pada masyarakat sekeliling kita hari ini, dapat kita simpulkan bahawa ramai yang keliru berkenaan persoalan jodoh. Sejak di bangku sekolah lagi kita dapat melihat remaja-remaja kita ramai yang sudah mula 'mencari' jodoh mereka. Untuk mencari 'kecocokan', mereka mula kenal-mengenal. Surat-surat cinta, sms, dan berbagai cara lagi mereka gunakan untuk memastikan adakah si dia itu 'jodohku'?

Kemudian, gejala ini berlaku dengan semakin rancak apabila pelajar-pelajar mula masuk di universiti-universiti. Ramai yang tidak mahu kelepasan dalam 'berusaha' untuk jodoh mereka. Dengan kemudahan IT yang lebih canggih, sms, chatting, e-mail, dan facebook digunakan untuk mencari pasangan idaman mereka. Kemudiannya, ramai yang terjebak dengan gejala 'couple'. 

Mereka hangat bercinta. 

Namun, menurut apa yang saya lihat sendiri di hadapan mata ramai yang akhirnya 'clash' ataupun istilah lainnya 'break-up'. Yang berkekalan mungkin ada, namun bilangannya tidak banyak. Bahkan, tidak kurang juga mereka yang telah berkali-kali tukar pasangan, namun tetap jodoh mereka tidak diketemukan. 

Janji-janji setia di waktu kehangatannya cinta, kebanyakannya hanya tinggal kata-kata yang menyakiti jiwa. 

Namun, mengapa semua ini berlaku? 

Usaha telah kita letakkan, namun mengapa masih si dia yang bernama jodoh tidak hadir-hadir dalam hidup kita? Atau apakah selama ini kita silap dalam berusaha? 

Jodoh – suatu ketentuan? 

Sebelum saya heret permasalahan ini dengan lebih mendalam, suka saya sentuh dasar topik ini yakni perihal jodoh. 

Jodoh, adakah ia suatu ketentuan? 

"... Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." - [Surah Ath-Thalaq, 65: 3] 

Benar. Jodoh itu merupakan salah satu ketentuan dari Allah. Malah, bagi orang Islam, meyakini Qadha' dan Qadar yang ditentukanNya merupakan suatu kewajipan. Beriman kepada Qadha' dan Qadar, merupakan salah satu dari rukun iman. Yakni bererti, tidak beriman kepadanya akan membawa kepada iman yang tidak sempurna. 

Sebagaimana dalam sebuah hadis mahsyur berkenaan rukun Iman (saya hanya memetik sebahagian darinya), 

Malaikat jibril yang pada ketika itu menyerupai seorang lelaki berkata, 

"Kemudian beritahukanlah padaku tentang Iman." 
Rasulullah s.a.w. bersabda, 

"Iaitu hendaklah engkau beriman kepada Allah, malaikat-malaikatNya, kitab-kitabNya, rasul-rasulNya, hari penghabisan - kiamat - dan hendaklah engkau beriman pula kepada takdir (Qadha' dan Qadar), yang baik ataupun yang buruk, semuanya dari Allah jua." - [HR. Muslim] 

Maka di sini perlu kita lihat bahawa soal jodoh dan pertemuan ini semuanya berada terletak pada ketentuan Allah. Tiada sesuatupun yang akan berlaku, melainkan dengan izinNya. 

Berbalik pada persoalan awal kita, maka perlukah kita berusaha untuknya? 

Usaha yang sebenarnya.

Sudah menjadi sunnatullah (hukum alam, berdasarkan ketetapan Allah), bahawa dalam mendapatkan apa-apa sahaja di dalam dunia ini, kita perlu kepada sesuatu yang kita panggil 'usaha'. 

Baik. Bagaimana untuk kita berusaha dalam soal jodoh ini? Adakah sejak sekarang, kita seharusnya sudah mula berusaha mencari? 

Saya sependapat dengan Ustaz Hasrizal. 

Dalam persoalan usaha ini, pertamanya, ada baiknya kita ukur kain di badan sendiri dahulu. Jika dalam masa terdekat kita tahu yang kita belum bersedia untuk melangsungkan pernikahan (atas apa-apa sebab sekalipun), maka 'usaha mencari @ menawan' itu masih tidak perlu. Masa terdekat itu kita boleh ambil dalam lingkungan setahun. 

Ya, tidak perlu. Mengapa? 

Kerana apabila kita sudah mula mencari, dalam keadaan diri langsung amat jauh dari persediaan untuk menikah itu sendiri, maka, banyak masalah bakal timbul. Percaya? 

Setelah berkenal-kenalan, dan saling meminati mungkin, sudah menjadi lumrah kedua-dua insan itu pasti mahu mengikat diri mereka dengan 'pasangannya itu', dengan suatu ikatan atau perhubungan. Melalui ikatan itu mereka akan rasa saling memiliki dan punya masa depan bersama. 

Namun, cuba katakan, apakah masih ada ikatan yang sah (halal) yang dapat ada antara dua orang bukan mahram, selain dari ikatan pernikahan? 

Tiada. 

Yang ada mungkin persaudaraan dalam Islam. Dan, itu tidak mengubah apa-apa, kerana ia tidak pula menghalalkan mereka untuk saling berhubungan. Lalu, akhirnya kita dapat melihat ramai di antara mereka yang ber'couple' dan mengadakan janji setia untuk mengikat perhubungan mereka. Dan tempoh masa yang masih panjang (dari masa pernikahan) tadi akan menarik mereka untuk membuat perkara-perkara lain pula. 

Zina hati jangan di cerita. Zina tangan (persentuhan) dan zina-zina lain juga dengan mudah dapat dilakukan apabila diri sudah tidak mampu lagi menahan syahwat. 

"Mata boleh berzina dgn melihat, lidah boleh berzina dengan bercakap, tangan boleh berzina dengan berpegangan. Kaki boleh berzina dengan berjalan ke arah tempat maksiat. Hati pula boleh berzina dgn merindui, mengingati dan membayangi si dia." - [HR Bukhari dan Muslim] 

Malah akhirnya, berdasarkan pemerhatian saya sendiri, tidak ramai di antara mereka yang dapat mempertahankan hubungan mereka. Perpisahan terjadi. 

Itulah hasilnya apabila perhubungan yang diadakan hanya dilandaskan atas suka sama suka, tetapi tidak hadir bersamanya tanggungjawab. Dan kesilapan kita juga, yang kadang meletakkan ketepi kuasa Allah dalam persoalan jodoh. Na'udzubillahimindzalik. 

Dan wahai hati-hati yang suci.. Jikalaupun ikatan yang dibina itu mampu berkekalan sekalipun, namun, apakah yang masih kita mahu berharap padaNya, jika usaha yang diletakkan pun tidak menepati kehendak syarak atau lebih jelasnya, bertentangan dengan kehendak Allah? 

Justeru, di sini suka saya tekankan sekali lagi.

Jika kita tahu bahawa kita belum lagi merancang untuk memasuki gerbang pernikahan dalam tempoh terdekat ini, justeru, tidak perlulah pada usaha 'mencari jodoh'.

Dikhuatiri, usaha itu hanya bakal mengundang perkara buruk kepada rumah tangga kita kelak. 

Jodoh itu dalam ketentuanNya, maka, jika kita mahu berusaha pun, mengapa kita perlu mengambil usaha-usaha yang tidak Dia suka? Bukankah akhirnya, Dia juga yang menentukan segala? 

Jika sudah mampu?

Seperti yang saya katakan bagi mereka yang sudah merancang untuk melakukan pernikahan dalam masa terdekat, tidak salah untuk mereka mula 'berusaha untuk mencari' bakal pasangan mereka. Dan semestinya dalam tempoh ini, batas-batas pergaulan tetap perlu dijaga. 

Sebaik-baiknya, kita ikuti sunnah. Baik di pihak lelaki maupun perempuan. Yakni jika sudah ada yang berkenan, gunakan orang tengah untuk mengenali latar belakang mereka, dan juga memanjangkan hasrat. 

Dan jika merasakan tempoh untuk berkenal-kenalan itu diperlukan, maka ambillah jalan untuk bertunang. Walau tetap, ia tidak menghalalkan apa-apa, namun ia adalah ruang terbaik untuk mereka saling berkenal-kenalan sebelum bernikah. 

Usaha yang perlu digerakkan - Men'jadi' & Mempersiapkan diri. 

Ok. Kalau kita ini agak-agaknya lambat lagi mahu bernikah, maka adakah ini bererti kita tidak perlu berusaha apa-apa? 

Tidak juga sebenarnya. Usaha itu masih tetap ada.. tetapi dalam bentuk lain la. Usaha yang perlu kita letakkan itu adalah lebih kepada 'MENJADI" daripada 'MENCARI'. 

Ya. Kita pasti mahukan mereka yang soleh/ah untuk menjadi pasangan kita. Itu telah menjadi lumrah. Oleh itu, dalam kita mahu mendapatkan yang soleh, kita perlu JADI soleh terlebih dahulu. kan? 

Iya. Kerana sesungguhnya, Allah akan menyediakan pasangan buat kita, sesuai dengan tahap keimanan diri kita juga. 

Sebagaimana firmanNya dalam surah An-Nur, ayat ke-26, 

"Perempuan-perempuan yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji (pula), sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduhkan orang. Mereka memperoleh ampunan dan rezeki yang mulia (surga)." - [Surah An-Nur, 24: 26] 

Makanya, mahukan pasangan yang baik, usahanya, menjadi baik terlebih dahulu. Ini lebih utama. Allah yang menetapkan jodoh kita, maka kita perlu yakin, inilah cara yang sebaik-baiknya. 

Jika kita hanya limitkan definisi usaha kita hanya pada mencari, maka pada saya, kita sudah silap besar. 

Mungkin... pasangan kita itu 'tampak' soleh, tetapi tetap, kita akan dapat pasangan sesuai dengan tahap iman kita juga. Baik akan dapat baik, inshaAllah. Dan begitu juga yang sebaliknya. 

Kalau jalan yang diambil pun kurang bertepatan dengan syarak, maka tak perlulah kita nak mengharapkan sangat yang baik dan sentiasa menjaga diri. Dan pada saya, usaha lain juga, yang tidak kurang utamanya, adalah mempersiapkan diri untuk menghadapi pernikahan. 

Mengapa? Kerana membina masjid hakikatnya bukan takat sehari dua. Tidak cukup. Cuma, jika kita mahukan masjid yang bertahan sehari dua juga mungkinlah. Oleh itu, persediaan dari sudut mental dan ilmu itu amat-amatlah perlu sejak sekarang lagi. 

Sebagai lelaki, kita perlu melatih diri kita agar mampu memimpin, mampu hidup berdikari. Dan sudah tentu kemudiannya mampu menjadi qudwah atau contoh tauladan yang baik buat keluarga. 

Sebagai wanita pula, persiapkanlah diri kalian dengan ilmu. Harapannya, dengan tarbiyyah (didik) dari tangan-tangan kalian, anak-anak itulah yang bakal menjadi pejuang-pejuang Islam suatu hari nanti, inshaAllah. Kalian perlu sedar, bahawa kalianlah pentarbiyyah utama generasi masa hadapan. Masa depan umat, hakikatnya, terletak di tangan-tangan kalian. 

Dan tanggungjawab sebesar itu, seharusnya disertai dengan persiapan yang tidak kurang besarnya juga. Latihan-latihan dan persiapan diri ini... mampukah dilakukan hanya sehari dua, atau cukupkah hanya sebulan sebelum pernikahan? 

Sudah tentu tidak. Maka ayuh, kita mula mempersiapkan diri kita mulai hari ini juga. 

Jika redha Allah yang dicari. 

Justeru, suka saya katakan, jika petunjuk Allah yang kita cari, jika redha Allah yang kita mahukan dalam rumah tangga kita nanti, maka berusahalah... dengan usaha yang sesuai dengan apa yang Allah izinkan. 

Jika kita sibuk menggauli perempuan sana, perempuan sini, lelaki sana, lelaki sini, sedangkan, jodoh kita masih belum kita ketahui siapa, maka, pada pendapat peribadi saya, kita juga seakan-akan sudah berkhianat kepada bakal jodoh kita nanti. Benarkah? Ya, kerana kemesraan dan sebagainya itu, bukankah hanya layak untuk pasangan halal kita sahaja? Dan di pihak kita pun, kalau boleh, sudah tentu kita juga mahukan mereka yang soleh dan masih terperlihara juga bukan? 

Kerana.. sudah menjadi lumrah manusia, akan lebih tertarik pada sesuatu yang terpelihara dan terjaga. 

Dan sudah tentu, apa yang menjadi lebih besar lagi, adalah kerana kita seakan-akan menidakkan kuasa Allah ta'ala. Na'udzubillahimindzalik. Terkadang, kita lebih 'beriman' (percaya) kepada usaha kita, berbanding iman (kepercayaan) kita terhadap Qadha' dan Qadar yang ditentukan Allah. 

Ya. Manusia itu digalakkan berusaha. Namun, usaha-usaha yang mengundang murkaNya, apakah itu akan dikiraNya sebagai usaha yang baik dalam isu jodoh ini? Jika kita mahukan pasangan yang tidak soleh, mungkin.. ia masih dapat dikira sebagai usaha. 

Namun, bukan itu yang kita mahukan bukan? 

Di sini, kita perlu yakin bahawa hakikatnya, setiap apa-apa yang berlaku itu, berada dalam kekuasaanNya. 

Gejala zina, buang anak dan sebagainya pada hari ini, atas kefahaman dan kepercayaan yang silap dalam hal ini juga. 

Justeru, ayuh kita kembali meletakkan Al-Qur'an dan sunnah sebagai teras dalam hidup masyarakat kita. 

Yakinlah, jalan yang Allah tentukan ini, bukan untuk menidakkan fitrah kita. Tidak. Sebaliknya, Allah mahu memeliharanya. Ianya, demi kebaikan kita juga. 

Wahai hati-hati yang suci. . . 

Katakanlah, 

'Jika petunjukNya telah sampai, masihkah aku mahu menidakkannya?' 

" ... Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu." -[Surah Ath-Thalaq, 65: 2-3]

*Artikel ini saya copy paste dari website iluvislam.com. Semoga menjadi panduan bersama. InsyaAllah.

Thursday 3 April 2014

 Beza Putus Asa Dan Pasrah

Kadangkala kita sering tersalah faham dalam membezakan antara putus asa dan pasrah. Ini kerana implementasinya hampir sama yang bermaksud berhenti atau menyerahkan apa saja yang bakal terjadi pada suratan takdir.

Disini terdapat perbezaan situasi antara pasrah dan putus asa.

Contohnya, doktor ingin melakukan pembedahan kepada seorang  mengidap kanser yang kritikal, namun ahli keluarganya menolak. Mereka menolak bukan kerana kesempitan wang , tetapi mereka sudah pasrah pada ketentuan Ilahi.

Akhirnya pesakit  itu meninggal.

Pada situasi lain pula, seorang doktor berunding dengan seorang pemuda yang ayahnya diserang strok, meskipun keadaan ayahnya sudah kritikal, namun si anak tetap berusaha mengubati ayahnya walau berapa sahaja kosnya, sembuh atau tidak dia pasrah pada Ilahi.

Seperti yang pertama, Pesakit ini juga meninggal.

Dari dua situasi diatas,  soal kesembuhan keluarga ini sudah pasrah kepada Allah SWT, dan akhirnya mereka kehilangan orang tersayang  untuk selamanya.

Tetapi ada perbezaan diantara dua situasi diatas.

Bezanya terletak pada usaha yang maksimum. Ikhtiar yang bersungguh – sungguh sebagai memenuhi sunah kauniyah yang digariskan olehNYA.

Oleh itu usahalah yang akan menjadi penentu, mana yang layak disebut pasrah  dan yang mana yang disebut putus asa.

Sebelum ikhtiar yang maksimum, semestinya kita menutup serapat – rapatnya kata pasrah.

Mari kita renungkan firmanNYA:”Oleh itu sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya,hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya (Surah Al-Kahfi,ayat 110)

Beza Putus Asa Dan Pasrah

Barang siapa yang ingin tercapai hasrat yang mulia, maka beramallah, bergeraklah dan melangkahlah.

Kesalahfahaman dalam membezakan dan menentukan kedua – duanya akan membuat seseorang itu menyerah kemudian menamakannya sebagai pasrah.

Sebenarnya dia masih mampu berlari tetapi memilih berhenti, masih mampu berenang ke tepi tetapi berdiam diri akhirnya tenggelam.

Padahal hidup adalah perjuangan, kerana senario hidup adalah ujian bagi manusia.

Sebagaimana firmanNYA :”Dia lah yang telah mentakdirkan mati dan hidup(kamu)-untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu;siapakah diantara kamu yang terbaik amalannya,dan ia maha kuasa(membalas amal kamu),lagi maha pengampun (Surah Al-Mulk ayat 2).

Putus asa. Mengapa dinamakan putus?

Mungkin kerana asa pengharapan, tujuan dan cita-cita diibaratkan sebagai rantai penggerak dalam jiwa.

Ia harus kukuh, kuat dan semakin kuat. Harapan dan cita-cita adalah nafas kehidupan.

Bukankah sesudah mendaki kita akan menurun? Bukankah dengan airmata juga tercapai sukacita?

Cita-citalah yang membangkitkan semangat orang yang mendaki, kerana disebalik pendakian akan ada penurunan, menjadikan perjalanan lebih mudah.

Kalau tidak kerana cita-cita hilanglah nafsu bekerja, berhenti gerak dunia, padam pelita orang-orang bijak bistari.

Cita – cita adalah pokok pangkal kemajuan, kerana makhluk yang bernama manusia sahaja yang layak mendapat kemajuan, makhluk lain tidak.

Cita-citalah yang menghilangkan rasa sakit, melupakan kepedihan dan kesulitan. Sebab cita – cita itu sendiri adalah ‘dynamo’ hidup. Jangan diabaikan cita-cita yang tumbuh, pupuklah ia. 

Para petani yang tekun disawah, dibawah cahaya matahari sehingga hitam kulitnya, semua adalah lantaran cita-cita. Cita-citalah tiang kemajuan, tonggak gerak bumi dan menimbulkan nafsu bergerak.

Kita bergerak kerana ‘percikan-percikan’ api pengharapan yang membakar niat dan tekad. Semakin besar kecintaan kita pada harapan dan cita-cita semakin besar pula percikan api dan tenaga yang dihasilkan.

Bertambah kuat pula keberanian,tekad dan semangat menghadapi segala risiko dan tentangan. Semakin gigih pula otak kita bekerja mencari cara, berinovasi dan mengatur strategi agar berjaya mendapatkannya.

Dapatlah kita gantungkan azam atau himmah yang tinggi.

Himmah yang tinggi berbeza dengan angan-angan yang tinggi, kerana angan-angan yang tinggi hanya menyebabkan seseorang pemuda  mengelamun, dia tidur di siang hari pada waktu orang lain bekerja keras, dan berangan – angan hendak membeli kereta mewah dan sebagainya.

Akhirnya kerana terlampau berangan – angan tinggi tanpa kerja keras akhirnya pemuda itu jatuh.

Cita-cita membawa kebesaran dan kemuliaan sedangkan angan-angan merosak dan membawa kepada  kejurang kehinaan.

Oleh itu tetaplah berharap, kerana seorang muslim tidak akan pernah berhenti mengharap. Dalam setiap amal ibadahnya, dia selalu mengharapkan kasih sayang dan rahmat Tuhannya.

Dalam setiap gerak kehidupannya, dia selalu menanamkan tujuan dan cita-cita untuk kebaikannya dan kehidupan. Dan jika harapan pernah terputus, maka sambunglah kembali.

Kadangkala, lantaran putus asa yang mendalam, sesetengah orang jemu dengan kehidupan, bak pepatah “hidup segan mati tak mahu”. Seorang mukmin tidak akan mudah berputus asa, walaupun pintu disekelilingnya seakan – akan tertutup.

Rasulullah SAW bersabda:

”Janganlah salah seorang  dari kamu meminta mati kerana kesulitan hidup yang menimpanya.Jika perlu ucapkanlah doa seperti berikut ‘Ya Allah panjangkanlah umurku sekiranya hidup ini lebih baik bagiku,dan matikanlah aku sekiranya mati itu lebih baik bagiku”(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Marilah membangunkan harapan dengan tauladan seperti Sayyidah Hajar yang tetap berlari mencari air, meskipun dalam pandangan hanya ada fatamorgana dan padang pasir sahaja.

Dan seperti Nabi SAW, yang tidak membiarkan malaikat menjatuhkan gunung, walaupun penduduk Thaif menolak dakwahnya dengan kasar, malah baginda tetap menaruh harapan pada anak dan cucu mereka.

Dengan memperbaiki amalan dan usaha serta diiringi doa, bererti kita telah mencuba kearah kebaikan agar tercapai harapan dan cita-cita. Harapan umpama aliran darah yang terus mengalir sepanjang Hayat kita. Janganlah kita berputus asa dari Rahmat Allah SWT…

Subhannallah Walhamdilillah waLailahailallah Allahuakbar.