Sunday 17 May 2015

Memaniskan Permasalahan

Ketika kita ditimpa sebuah kesusahan, bererti Allah mahu kita lebih dewasa dalam menghadapi hidup ini. Ketika kita ditimpa musibah, bererti Allah ingin agar kita mendekat kepadanya.

Ketika kita ditimpa kesusahan, bererti Allah telah menyediakan untuk kita kemudahan.

Kerana sesungguhnya disebalik permasalahan ada proses pendewasaan, disebalik musibah ada hikmah, disebalik kesusahan ada kemudahan.

“Maka sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.”( QS. al-Insyirah: 5-6)

Ketika permasalahan datang menghampiri

Jangan mengeluh dihadapan sang pencipta, jangan memberontak akan keputusannya apalagi dengan mengatakan bahawa Allah tidak adil.

Namun, mintalah agar kita diberi kesabaran serta ketabahan dalam menghadapinya, diberikan penyelesaian  yang terbaik bagi kita, dan selalu mengharap dia memberikan ganjaran pahala untuk kita.

Tanpa malam, bulan purnama takkan indah. Tanpa lapar, nikmat makanan takkan terasa. Tanpa dahaga sejuknya air takkan memberi banyak makna.

Begitu juga kemenangan atau kemudahan takkan banyak memberi erti tanpa didahului rintangan dan kesusahan. Setelah mendung terbitlah cerah.

Tak ada hidup tanpa masalah, kerana masalah adalah sunnah-Nya. Yang kita perlukan hanya dada yang lapang dalam menghadapinya.

Jika ketabahan yang kita bina, nikmat akan terasa. Jika keluhan yang sentiasa kita bina sengsara akan selalu bertambah.

Permasalahan datang untuk kita hadapi, bukan untuk dicaci atau dimaki. Musibah adalah medium dalam proses pendewasaan. Tanpa permasalahan kita takkan pernah dewasa.

Tanpa kesusahan kita takkan menjadi orang yang luar biasa.

”Jalan yang lurus dan rata takkan pernah menghasilkan pemandu yang hebat. Laut yang tenang takkan pernah menghasilkan pelaut yang cekap. Langit yang cerah takkan pernah menghasilkan juruterbang yang handal.”

Di saat kita mencari solusi dalam suatu permasalahan, di saat itulah sebuah proses pendewasaan hidup akan bermula.

Maka,senyumlah mereka yang memiliki masalah dan mampu mengatasi permasalahan tersebut dengan bijak, iaitu dengan tetap selalu bergantung kepada keputusan Allah yang maha adil setelah tawakal dilakukan.

Mari bersama kita menakluki masalah!

" MELAYU "

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak


Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu,
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu,
Mamak dan Malbari serap ke Melayu,
Malah muallaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)


Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan


Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara


Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba
Berbuahlah pisang tiga kali


Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak


Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh di cari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing


Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturahim hati yang murni
Maaf diungkap sentiasa bersahut
Tangan dihulur sentiasa disambut
Luka pun tidak lagi berparut


Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:

Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran


Bagaimanakah Melayu abad kedua puluh satu
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara merdeka.


- Usman Awang

Warkah Buat Dia

Buat bakal isteriku,
Apa khabar dirimu saat ini,dan apa juga khabar imanmu hari ini?Adakah harimu dimulakan dengan syukur pada Tuhan kerana masih memanjangkan umurmu,masih diberi peluang untuk menatap fananya hidup ini?Apakah masih segar wudhu yang membasahi tubuhmu?Mudah-mudahan ia mampu menyegarkan kembali iman yang mungkin lesu serta membugarkan ingatanmu kepada janji kepada Yang Satu.Amanah agama ini yang berada digenggamanmu.
Bakal isteriku,
Sungguh aku tidak tahu dimanakah kamu saat dan ketika ini.Tetapi aku tahu, walau dimana sahaja kamu berada,kasih dan rahmat Tuhan pasti bersamamu sebagaimana ia mencintaiku saat dan ketika ini.Aku yakin ketika ini Dia sedang melatih kamu untuk menjadi mujahidah agar dapat bersama aku di saff perjuangan ini.Sama seperti mana Dia sedang melatihku kini.Jauh di hujung sana,aku pasti kamu pasti sedang menungguku untuk dijadikan mujahid di sisi agar kau punya rasa bangga tika memilikiku kelak.
Bakal isteriku,
Hanya kesalihan yang aku harapkan daripadamu  dan moga-moga itu juga yang menjadi dambaanmu daripadaku.Kerana jika ketampanan yang kau cari, maka ketahuilah kesia-siaan yang akan kau dapatkan.Aku masih mentah dan baru dalam perjalanan ilmu pengetahuan,tetapi aku mengharapkan dengan ilmuku yang sedikit ini,aku mampu menjadi mujahid setia dalam menggapai redha Tuhan.
Wahai bakal isteriku,
Aku masih dibawah asuhan ibu dan bapaku.Tidaklah aku mengharapkan yang lain selain daripada aku menjadi tabungan keduanya diakhirat kelak.Dan aku tahu begitu juga halnya denganmu wahai bakal isteriku.Cuma aku mengharapkan kamu menjadi isteri yang soleh agar cukup dapat menjadi bidadari pendampingku di syurga kelak,insya Allah.
Buat bakal isteriku,
Aku ini punya cemburu yang kuat.Tetapi jika Allah dan Rasul lebih kau rindui, maka aku redha,dan aku mengharapkan yang sama daripadamu.Meskipun kau bukanlah yang aku harapkan,tetapi ketahuilah bahawa engkaulah yang aku dambakkan.
Bakal isteriku,
Jika kelak Allah mentakdirkan kita mempunyai mujadid-mujahid comel,aku pohon agar engkau dapat bersamaku mendidiknya.Dengan didikan al-Quran untuknya mengenal Tuhan.Bantu aku dalam menanamkan bibit kecintaan kepada Allah dalam diri generasi harapan kita nanti.
Kepada bakal isteriku,
Ketahuilah bunga hanya akan mekar apabila tiba waktunya dan kumbang akan datang menghinggap tika mana bunga sedang berkembang mekar di taman. Maka aku mengharapkan sebelum tibanya masa itu,bunga akan terus dibaja, kumbang terus berterbangan bertasbih memuji kebesaran Tuhan.Aku kini sedang bersiap untuk menjadi lebih baik walaupun bukan yang terbaik, setidak-tidaknya terbaik buat dirimu kelak.
Bakal isteriku,
Inilah harapan yang mampu kuukirkan dalam sekilas kata,walau kata orang tidak semua yang dirasa mampu diluahkan dengan kata-kata.Inilah yang sedang kuhadapi.Moga kelak disaat kita bersama, itulah saat aku belajar memahami dirimu,sama halnya dengan engkau yang belajar memahami diriku.
Moga kita bersabar dalam menanti takdir Tuhan.Walau dimana kini engkau berada,ketahuilah engkau akan sentiasa berada dalam munajatku pada Tuhan. Moga engkau terus bersabar dalam menanti jemputan untuk menjadi bidadariku.Insya Allah
Jumpa nanti ^_^

Sunday 10 May 2015

Bacaan Talkin

Maha Suci Tuhan yang Engkau bersifat dengan Baqa’ dan Qidam
Tuhan yang berkuasa mematikan sekalian yang bernyawa
Maha Suci Tuhan yang menjadikan mat
Dan hidup untuk menguji siapa yang baik dan siapa yang kecewa
Maha Suci Tuhan yang menjadikan lubang kubur sebesar-besar pengajaran
Untuk menjadi iktibar kepada orang yang lalai
Dan sebesar-besar amaran kepada orang yang masih hidup
Ingatlah! Bahawa sekalian mahluk Allah akan jahanam dan binasa
Melainkan zat Allah Taala, Dialah Tuhan yang Maha Besar berkuasa menghukum
Manakala kita sekalian akan kembali menghadap hadhrat Allah Taala

Wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin IBU SAYA, wahai SAYA Bin IBU SAYA
Hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah
Yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini
Sekarang kamu telah menuju masuk ke negeri Akhirat
Kamu telah mengaku bahawa tiada Tuhan yang disembah
Dengan sebenar-benarnya melainkan Allah
Dan bahawasanya Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah
Ingatlah wahai SAYA Bin IBU SAYA,
Apabila datang kepada kamu dua malaikat yang serupa dengan kamu
Iaitu Mungkar dan Nangkir, maka janganlah berasa gentar dan takut
Janganlah kamu berdukacita dan risau
Serta janganlah kamu susah-hati dan terkejut

Ketahuilah wahai SAYA Bin IBU SAYA
Bahawasanya Mungkar dan Nangkir itu hamba Allah Taala,
Sebagaimana kamu juga hamba Allah Taala
Apabila mereka menyuruh kamu duduk,
Mereka juga akan menyoal kamu
Mereka berkata:

Siapakah Tuhan kamu?
Siapakah Nabi kamu?
Apakah agama kamu?
Apakah kiblat kamu?
Siapakah saudara kamu?
Apakah pegangan iktikad kamu?
Dan apakah kalimah yang kamu bawa bersama-sama kamu?

Di masa itu hendaklah kamu menjawab soalan-soalan mereka
Dengan cermat dan sehabis-habis terang, tepat dan betul
Janganlah berasa gementar, janganlah cuak
Dan janganlah bergopoh-gapah
Biarlah tenang dan berhati-hati, hendaklah kamu jawab begini:

Allah Taala Tuhanku,
Muhammad nabiku,
Islam agamaku,
kitab suci Al-Quran ikutanku,
Baitullah itu kiblatku,
Malahan solah lima waktu,
Puasa di bulan Ramadhan,
Mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji diwajibkan ke atas aku,
Semua orang Islam dan orang yang beriman adalah saudara aku,
Bahkan dari masa hidup hingga aku mati
Aku mengucap: “La ila ha illallah Muhammaddur rasulullah”.

Wahai SAYA Bin IBU SAYA tetapkanlah hatimu
Inilah dia suatu dugaan yang paling besar
Ingatlah bahawa kamu sekarang sedang tinggal di dalam alam Barzakh
Sehingga sampai satu masa kelak,
Kamu akan dibangunkan semula untuk berkumpul di Padang Mahsyar

Insaflah wahai SAYA Bin IBU SAYA,
Bahawasanya mati ini adalah benar
Soalan malaikat Mungkar dan Nangkir di dalam kubur ini adalah benar
Bangun dari kubur kemudian kita dihidupkan semula adalah benar
Berkumpul dan berhimpun di Padang Mahsyar adalah benar
Dihisab dan dikira segala amalan kamu adalah benar
Minum di kolam air nabi adalah benar
Ada syurga dan neraka adalah benar
Bahawasanya hari Kiamat tetap akan adanya
Begitu juga Tuhan yang Maha Berkuasa
Akan membangkitkan semula orang-orang yang di dalam kubur

Di akhirnya kami ucapkan selamat berpisah
Dan selamat tinggal kamu disisi Allah Taala
Semoga Tuhan akan memberi sejahtera kepada kamu
Tuhan jua yang menetapkan hati kamu
Kami sekalian berdoa mudah-mudahan Allah Taala
Menjinakkan hati kamu yang liar
Dan Allah menaruh belas kasihan kepada kamu
Yang berdagang seorang diri di dalam kubur ini
Mudah-mudahan Tuhan akan memberi keampunan
Dan memaafkan kesalahan kamu serta menerima segala amal kebajikan kamu

Ya Allah Ya Tuhan, kami merayu dan bermohon kepada Mu supaya tidak
diseksa mayat ini dengan kemegahan penghulu kami Muhammad SAW.

Subhana rabbika rabbil izati amma ya sifun wassallamu alalmursalinwalhamdulillahi
rabbil alamin.

Setiap yang bernafas, pasti akan mati – “Kullu nafsin za iqatul maut”

Friday 8 May 2015

Tips Dalam Berpasangan..

1. Beriman


Untuk menjadi pasangan yang lebih baik, kunci pertama adalah menguatkan iman anda sendiri. Dengan adanya pasangan yang beriman, maka pasti hubungan cinta antara kedua pasangan akan mencapai titik yang maksimum.


2. Jangan ‘minder’ dan selalu mengenang masa lalu


Janganlah bersikap minder terhadap pasangan anda. Bila anda pernah membuat suatu kesalahan dimasa lalu , jangan selalu dikenang atau diingat. Berfikirlah positif. Bila anda minder, sama saja anda mengatakan bahwa anda tidak sepadan untuk pasangan anda. Bila anda tidak percaya diri, bahwa anda adalah pasangan yang sepadan untuk dia, maka anda akan benar-benar menjadi pasangan yang tidak sepadan.


3. Romantis


Ketika suatu hubungan cinta mulai mengalami keretakan, tanda pertama yang terlihat adalah mulai berpudarnya romantisme antara pasangan. Umumnya pasangan yang akan retak melupakan bagaimana senangnya ketika pertama kali mereka menjalin hungan tersebut. Suatu hubungan cinta adalah sesuatu yang harus terus menerus dibina dan bersikap romantis dalam membina hubungan tersebut adalah mutlak.


4. Jangan membuat sesuatu hanya kerana ingin membahagiakan pasangan anda


Berapa kalikah anda pernah mengerjakan sesuatu untuk pasangan anda yang sebenarnya tidak ingin anda lakukan, tapi tetap anda lakukan kerana ingin membuat pasangan anda bahagia.. Bagaimana perasaan anda ketika mengerjakan hal tersebut? Setiap kali anda membuat kompromi atas sikap anda tersebut, anda memperlebar jurang hubungan cinta anda. Sebaiknya anda secara jujur mengatakan pada pasangan anda bahawa anda kurang senang mengerjakan hal tersebut, dan mencari alternatif lain untuk mengatasinya bersama.


5. Jangan paksa pasangan anda untuk melakukan hal-hal yang dia kurang senangi


Ini adalah kebalikan dari tip diatas. Kalau anda tahu pasangan anda kurang senang melakukan sesuatu hal, mengapa dipaksakan… ..??


6. Jangan merendahkan pasangan anda


Tidak ada manusia yang sempurna didunia ini. Masing2 mempunyai daya fikir, kerja dan daya tahan tersendiri. Bila anda selalu merendahkan pasangan anda dengan menyalahkan apa saja yang dia salah lakukan, bagaimana anda akan berharap dia akan berbuat benar?


7. Jangan memberi janji yang anda tidak mampu penuhi



Kepercayaan adalah hal penting pada suatu hubungan cinta. Kepercayaan harus dibina dan dikembangkan. Bila anda tidak memenuhi janji anda pada pasangan anda, bagaimana pasangan anda akan percaya pada anda pada masa yang akan datang?


8. Usahakan untuk selalu berada disisinya


Pasangan anda merupakan teman anda untuk seumur hidup… .Usahakan untuk berada disisinya baik dalam suka maupun duka… .


9. Komunikasi


Dunia berubah dari hari ke hari. Bila anda tidak terus menerus berkomunikasi dengan pasangan anda, anda akan terkejut apabila pada suatu hari anda baru menyadari bahwa jurang perbezaan antara anda berdua telah semakin lebar.


10. Jangan berlaku kasar dan semena-mena terhadap pasangan anda


Cukup jelas…
Hormatilah pasangan anda sebagaimana anda menghormati manusia lainnya. Jangan sampai anda lebih menghormati teman anda daripada menghormati pasangan anda.


11. Jujurlah selalu


Biasanya suatu hubungan cinta tidak akan berlangsung lama apabila dibangun dan didasari atas kebohongan. Walaupun pasangan anda tidak pernah mengetahui kebohongan yan tersimpan, tetapi fakta bahwa anda mengetahui kebohongan itu, akan mempengaruhi perasaan anda maupun pasangan anda. Dengan itu, hubungan cinta tak akan mencapai titik yang maksimum.

BERHEMAH KETIKA MENEGUR...

Sememangnya dalam kehidupan ini, perbezaan pendapat dan mempunyai pandangan yang berlainan adalah sesuatu perkara yang lumrah justeru apabila ia berlaku jangan sesekali ada di antara kita dengan mudah membuat kesimpulan yang menjurus kepada prasangka kononnya ia bertujuan memburukkan sesiapa.

Allah telah mengingatkan kita dalam surah Yunus ayat 36 dengan menegaskan, ‘‘Prasangka itu tidak mendatangkan kebenaran apa pun.” Oleh itu jika tercetus sesuatu isu antara kita dan terwujudnya perbezaan pendapat atau terbentuk sesuatu teguran ia seharusnya ditangani dengan sebijak-bijaknya.

Janganlah kita terlalu gopoh ke hadapan dengan membuat andaian yang bukan-bukan atau berhujah dengan penuh emosi sehingga terwujud cabar-mencabar. Sebaliknya teguran atau sesuatu pandangan itu perlu diteliti dan dihalusi sertai dikaji kebenarannya. Ini kerana perbuatan menegur orang yang melakukan kesalahan merupakan tindakan yang amat diperintah oleh Allah.

Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 125 bermaksud:
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik.”
Namun begitu sejak kebelakangan ini kita melihat semakin banyak pihak yang tidak boleh ditegur biarpun apa yang dinyatakan oleh seseorang itu mempunyai kebenarannya.

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah mengingatkan bahawa sesuatu kebenaran itu perlu dinyatakan biarpun pahit dan baginda juga menegaskan,
‘‘Siapa sahaja di antara kalian yang melihat kemungkaran, maka tegurlah dengan tangannya (kekuasaannya). Jika tidak mampu, maka tegurlah dengan lisannya. Jika tidak mampu juga, maka tegurlah dengan hati. Namun, ini adalah keimanan paling lemah.”

Islam telah menggariskan dalam membuat teguran, kita haruslah berhati-hati apatah lagi jika kita cuba bertindak sebagai ‘orang perantaraan’ bagi menjelaskan sesuatu perkara.

Tiga faktor yang digariskan oleh Islam boleh menjayakan sesuatu teguran itu ialah, pertama, tidak merendahkan ego orang yang ditegur, kedua mencari waktu yang tepat dan ketiga memahami kedudukan orang yang ditegur.

Hakikatnya, Islam memberi panduan yang jelas dalam kita memberi teguran dan bagaimana sikap kita apabila ditegur. Kita tidak harus melatah apatah lagi terlalu emosional sehingga menyebabkan kita melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya.

Semua itu tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya hanya akan mengeruhkan lagi keadaan, tidak kira sama ada kita pemimpin atau tidak tetapi apa yang kita perkatakan pasti akan dinilai oleh manusia dan diperhitungkan oleh Allah.

Kegagalan untuk mengawal perasaan kita berhujah akan menyebabkan berlaku tuduh-menuduh yang kesudahannya akan mencetus permusuhan antara kita.

Tindakan ini sudah tentulah bertentangan dengan firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 103 yang mengingatkan,
‘‘Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali (agama) Allah dan janganlah kamu bercerai-berai dan ingatkan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan hati kamu lalu jadikan kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang yang bersaudara, pada hal dahulunya kamu telah berada di jurang neraka, maka Dia menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan kepadamu ayat-ayat agar kamu mendapat petunjuk.”

Hakikatnya, Islam tidak hanya mengajar etika menegur umat seagama tetapi Islam juga mengajar kita bagaimana cara menegur yang betul kepada umat daripada agama lain, tidak kita seburuk apa pun kesalahannya.

Ia terkandung dalam al-Quran melalui perintah Allah kepada Nabi Musa dan Nabi Harun untuk berkata lembut kepada Firaun seperti mana firman-Nya dalam surah Thaha ayat 44 yang bermaksud;

‘‘Berbicaralah kalian berdua kepadanya (Firaun) dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut.”

Jika dengan Firaun pun Allah perintahkan para nabi bercakap dengan lemah lembut, apatah lagi kita sesama Islam. Ertinya Allah tidak suka jika kita bercakap atau berhujah mengikut perasaan semata-mata.

Rasulullah s.a.w bersabda,
‘‘Percakapan orang yang berakal muncul dari balik hati nuraninya. Maka ketika hendak berbicara, terlebih dahulu ia kembali pada nuraninya. Apabila ada manfaat baginya, dia harus bercakap dan apabila ia boleh mendatangkan keburukan, maka dia hendaklah tidak melafazkannya. Sesungguhnya hati orang yang bodoh berada di mulut, ia berbicara sesuai apa sahaja yang dia mahukan’’.

Seperkara lagi dalam kita berhujah atau mempertahankan sesuatu elakkan daripada memalsukan fakta apatah lagi membuat pujian yang bukan-bukan kepada seseorang ini.

Ia disebabkan pujian yang melampau itu adalah bencana lidah (min afat al lisan) yang sangat berbahaya.
Dalam buku Ihya ‘Ulum al-Din, Imam Ghazali menyatakan enam bahaya (keburukan) yang mungkin timbul daripada budaya memuji tersebut iaitu empat keburukan kembali kepada orang yang memberikan pujian dan dua keburukan lainnya kembali kepada orang yang dipuji.

Bagi pihak yang memuji, keburukan yang akan diperoleh ialah melakukan pujian secara berlebihan sehingga menjerumus ke dalam dusta, dia memuji dengan berpura-pura menunjukkan rasa cinta dan simpati yang tinggi sedangkan dalam hatinya adalah sebaliknya, ia menyatakan sesuatu yang tidak disokong oleh fakta sebaliknya pembohongan semata-mata dan dia telah menggembirakan orang yang dipuji padahal orang itu melakukan kesalahan.

Dua keburukan yang menanti orang yang dipuji pula ialah dia akan merasa sombong (kibr) dan bangga diri (ujub) – kedua-dua adalah penyakit yang boleh ‘mematikan’ hati seseorang dan keburukan kedua, orang yang dipuji akan merasa hebat, tidak perlu bersusah payah dan bekerja kuat.

Kesimpulannya, dalam apa juga yang kita lakukan berkaitan dengan lidah yang melahirkan kata-kata kita harus berhati-hati, tidak kiralah sama ada ia teguran, pujian, kenyataan atau berhujah.Ini kerana setiap apa yang diperkatakan akan diperhitungkan di akhirat kelak apatah lagi jika ia berkaitan dengan soal kebenaran dan kebatilan.

Justeru jadikanlah firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 104 dan 105 sebagai pegangan, maksudnya;

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang mengajak kepada kebajikan dan menyuruh kepada makruf dan mencegah dari kemungkaran dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.

“Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka dan mereka itulah orang-orang yang akan mendapat azab yang berat.”
 Logged
mencari redha ALLAH...jadilah insan berguna kepada orang lain

IBU BAPA MENCORAK ANAK-ANAK

 IBU BAPA MENCORAK ANAK-ANAK

1. Mendidik adalah menjaga atau melatih seseorang. Apabila seseorang itu dilatih bercakap benar, maka setiap perkataan dan pertuturan yang diucapkan sentiasa benar dan tidak dusta. Kebiasaan ini akan menjadi darah daging dalam dirinya dan menjadi adat kebiasaan. Akhirnya, akan terbentuklah sifat dan keperibadian yang luhur dalam diri manusia ini. Keperibadian pula akan melahirkan kemahuan, manakala kemahuan akan mendorong sesaorang melaksanakan sesuatu dengan apa yang dididik. Jika acuan pendidikan itu merupakan pendidikan Islam, nescaya akan lahirlah insan soleh yang memiliki syaksiah Islamiah sebenar yang dapat dilihat dan dalam kehidupan seharian mereka.

2. Dalam mencapai matlamat pendidikan Islam, ibu bapa merupakan agen terpenting selain daripada sekolah dan masyarakat sekitaran. Kanak-kanak membesar bermula di rumah dan di rumahlah merupakan sekolah meraka yang pertama bagi seseorang kanak-kanak. Ibu bapa dan ahli keluarga merupakan guru-guru mereka yang pertama. Manakala, rumahtangga yang aman bahagia di mana di dalamnya terbentuk suasana ke Islaman dan persekitaran yang baik akan mempengaruhi pertumbuhan emosi dan akhlak kanak-kanak tersebut.

3. Kanak-kanak merupakan nikmat Allah s.w.t yang diamanahkan kepada dua ibu bapa. Amanah dan nikmat ini hendaklah dijaga dan diuruskan dengan sebaik mungkin, bukan hanya memberi makan minum, pakaian sahaja, tetapi lebih jauh dari itu ialah mendidik dan mengasuh mereka mengikut ketentuan Allah s.w.t dan Rasul-Nya.

4. Kanak-kanak yang dikurniakan Allah s.w.t fitrahnya adalah suci, tercipta di atas dasar tauhid dan agama yang lurus serta beriman kepada Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

Penciptaan Allah yang telah mencipta manusia sesuai dengan agama fitrah, tidak pertukaran bagi makhluk Allah ialah agama lurus, akan tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui.

Kenyataan ini diperjelaskan lagi melalui sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

Maksudnya: “Bahawa setiap anak yang dilahir adalah didalam keadaan fitrah (suci bersih) dan ibubapa yang mencorakkan kehidupan mereka samaada menjadikannya Yahudi, Nasrani ataupun Majusi”.

5. Ibubapa haruslah berusaha menanamkan iman dan aqidah Islam kedalam jiwa kanak-kanak dengan memberi penekanan bersungguh-sungguh, ini kerana jauh didalam lubuk hati seseorang manusia terdapat ruang-ruang kosong yang hanya perlu diisi dengan keimanan. Apabila keimanan menjadi teras kehidupan seseorang muslim, natijahnya akan mempengaruhi seluruh tindakannya. Iman merupakan alat yang teguh untuk melahirkan amal yang baik.

Allah s.w.t menjadikan kehidupan yang baik dan sempurna buat kita yang mempunyai hati yang terisi dengan iman.

FirmanNya bermaksud:

“Barang siapa yang mengerjakan kebaikkan, baik lelaki mahupun perempuan dan ia seseorang yang beriman, maka pastilah kami akan memberinya kehidupan yang baik dan pasti kami memberi balasan dengan pahalanya menurut apa yang telah dikerjakan dengan sebaik-baiknya”.

6. Ibubapa hendaklah sentiasa menjaga kerukunan rumahtangga elakkan daripada sebarang bentuk pergaduhan dan pertengkaran, lebih-lebih lagi di hadapan anak-anak wujudkan suasana yang baik, aman damai sehingga membawa keseronokkan terutama kepada anak-anak untuk mereka lebih suka berada di rumah daripada di luar rumah, dengan sesiapa mereka berkawan dan lain-lain. Janganlah jadikan rumah tempat yang merunsingkan dan timbul serba masalah kepada anak-anak, akhirnya mereka akan mencari orang lain untuk meluahkan perasaan dan mengadu masalah.

7. Akhir sekali, saya rumuskan peranan ibu bapa terhadap anak-anak dalam soal pendidikan terhadap mereka. Antaranya:

a) tugas ibubapa bukan sahaja membesarkan anak dengan memberi makan zahir sahaja, malah ibu bapa bertanggungjawab memberi anak-anak makan dari segi zahir dan rohaninya juga dengan mengajar anak mengenali agama Islam berkaitan dengan aqidah, ibadat dan juga akhlak.

b) menjadi contoh terbaik dan terdekat kepada anak-anak, sehingga mereka benar-benar terkesan dan terbawa-bawa dengan gaya hidup yang baik telah diterapkan oleh kedua ibu bapa mereka sekalipun keduanya tidak tinggal bersama atau meninggal dunia.

c) mengambil berat terhadap pelajaran mereka dan tidak hanya menyerahkan bulat-bulat tugas mendidik kepada guru-guru di sekolah mereka semata-mata. Pendididikan ibu bapa terhadap anaknya amat berkesan sekali, kerana seorang ibu atau bapa apabila membimbing anaknya, biasanya datang dari hati yang ikhlas dan mengharapkan kebaikan keatas anak tersebut. Perbuatan yang ikhlas akan menghasilkan natijah yang diharapkan.