Thursday 17 July 2014

Jaga hidayah, petunjuk Allah..

MANUSIA memang cenderung menjaga sesuatu yang dianggap berharga. Sebaliknya kita akan membuang sesuatu yang dianggap tidak berharga. Semakin bernilai sesuatu semakin bersungguh kita menjaganya.

Sesetengah manusia sangat menjaga hartanya kerana dianggap hartanya sangat berharga. Ada pula sentiasa menjaga dan merawat mukanya supaya kelihatan awet muda kerana cantik adalah segalanya.

Ada juga bermati-matian mempertahankan kedudukan kerana itu dianggap bernilai dan kalaulah begini perilaku kita, rupanya kita masih menganggap material (kebendaan) adalah segala-galanya.

Namun, ada juga yang bermati-matian menjaga hidayah dan petunjuk yang Allah anugerahkan. Orang yang seperti ini berkeyakinan hidup ini tidak akan selamat sampai muara ketenangan di akhirat kecuali hanya dengan bekalan taufik dan hidayah Allah.

Taufik dan hidayah sangat penting di dalam diri manusia. Pernah suatu ketika seorang yang dibutakan matanya dalam permainan diminta supaya berjalan, tiba-tiba menangis.

Dia berasa langkahnya berisiko, mungkin terpelecot, bimbang terhantuk atau jatuh tangga. Begitulah akibatnya sekiranya tidak mendapat panduan.

Orang yang yang berjalan tanpa arah sentiasa berada dalam cemas, takut, bingung. Tidak sedikit orang kaya yang menderita dengan kekayaan. Bagaimana kekayaan yang melimpah semakin membuatnya sengsara.

Pendek kata orang yang jauh daripada petunjuk Allah dan al-Quran, apa pun diberikan Allah kepadanya pasti hanya akan membuatkan dirinya hina.

Harta, pangkat, kedudukan atau penampilan kalau tidak diiringi dengan ketaatan pasti akan menyiksakan.

Kemerdekaan yang kita kecapi sekarang jika tidak diiringi dengan ketaatan kepada Allah membuatkan kita mudah lalai. Negara saja merdeka tetapi jiwa tidak, malah ditawan syaitan.

Sedarlah, syaitan adalah penjajah yang tidak pernah berputus asa. Dalam satu perisytiharan, menurut hadis Rasulullah s.a.w, syaitan pernah berkata: "Demi kebesaran-Mu, aku bersumpah wahai Allah, aku tidak akan berpisah dengan anak Adam selagi nyawanya masih di badan.”

Bayangkan kesungguhan syaitan, isytihar perang dengan manusia. Kalau kita masih main-main, mudah tertipu.

Syaitan ibarat tukang joget atau penari. Dia akan menari ikut muzik. Kalau dondang sayang ada lenggoknya, kalau lagu rock pandailah dia meloncat...maknanya syaitan tahu sasarannya kalau orang alim begini caranya, kalau sesatkan pemuda lain caranya, orang kaya lain pula kaedahnya.

Kita memberikan tumpuan kepada yang nampak di mata, yang besar-besar biasanya menjadi tumpuan, yang kecil tidak berapa dipedulikan. Kita kadang kala lupa sesuatu yang tidak nampak itu sangat berharga.

Iman kecil sahaja, tidak nampak tapi sangat berharga. Jadi dalam hidup ini lihat dan utamakan pandangan Allah.

Wednesday 2 July 2014

Doa Doa Rumi

DOA SEBELUM MAKAN RUMI

"Allahumma baarik lanaa fiimaa razaqtanaa wa qinna'adzaabannar".

Maknanya :Ya Allah, berkatilah rezeki yang Engkau rizqikan kepada kami, dan peliharalah kami dari siksa api neraka



DOA SEBELUM TIDUR RUMI

"Bismika Allaahumma ahyaa wa amuut "

Maknanya : Dengan nama Engkaulah ya Allah aku hidup dan aku mati



DOA BANGUN DARI TIDUR RUMI

"Alhamdulillahil ladzi ahyaana ba’da maa amaatana wa ilaihin nusyur"

Maknanya : Segala puji bagai Allah yang menghidupkan kami setelah dimatikan (yakni tidur) dan kepadaNya kami semua akan kembali.

DOA MASUK TANDAS RUMI

"Allahumma Inni A'uu zubika minal hubusi wal hobaiz"

Maknanya :Ya Allah, aku berlindung kepadaMu daripada syaitan jantan dan syaitan betina

DOA PENERANG HATI RUMI

"Robbisyrohli sodri wayassirli amri wahlul ukdatam millisani yafkahu kauli"

Maknaya : Wahai Tuhanku! lapangkanlah bagiku dadaku dan mudahkanlah bagiku urusanku dan bukalah simpulan dari lidahku supaya mereka faham ucapanku.

DOA UNTUK ANAK-ANAK  DAN ISTERI RUMI

" Robbana Hablana Min Azwa Jina Wazurriyatina Qurrata A'yun Waja'alna Lil Muttaqina Imaama"


“ Ya ALLAH Ya Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami dari isteri  dan anak cucu kami yang menyenangkan kami dan jadikanlah kami sebagai ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa ”
(Al-FuRqan : 74)

DOA MENAIKI KENDERAAN RUMI

" Subhanallazi Sahharolana Haza Wama Kunnalahu Mukrinin, Wa Inna Ila Rabbana Lamunqolibuun.."

Maksudnya : Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali.

(Az-Zukhruf : 13-14)

KEMULIAAN RAMADHAN AL-MUBARAK

Salam ukhuwwah dan mahabbah fillah…

Sudah beberapa hari kita menyambut kehadiran Ramadhan Al- Mubarak. Tetamu agung datang bertandang setiap tahun. Membawa pelbagai hikmah dan barakah, buat insan yang tidak pernah kenal jemu dan lelah, bagi mencari spirit ruhiyah dan didikan rabbaniyah. Itulan bulan tarbiyah, bulan tazkiyyah, bulan untuk meningkatkan kualiti taqwa sebagai bekal mengharungi bulan-bulan selanjutnya.

Ramadhan seharusnya dekat di hati kita, padanya kita mengambil bekalan dan kekuatan untuk menggilap iman dan taqwa, membugar niat, mentajdid tekad dan mentranformasikan diri dari segala kekangan nafsu kepada kemerdekaan fitrah, membebaskan diri kita dari bertuhankan hawa nafsu kepada membulatkan perhambaan kepada Allah.


Inilah matlamat dan visi agung (maqasid) pensyariatan puasa di bulan Ramadhan. Visi yang meletakkan taqwa sebagai neraca kualiti seorang manusia bahkan kualiti sebagai seorang pendakwah di jalan allah. Kalimah “la ‘allakum tattaqun’ menunjukkan bahawa semangat dari kewajipan puasa ialah melahirkan graduan yang beroleh segulung ijazah taqwa hasil kursus, latihan, dan kem selama 30 hari di universiti Ramadhan ini.

Taqwa dan tazkiyah an-nafs inilah yang menjadi pra-syarat kejayaan dan kemenangan Islam. Banyak ayat-ayat yang memberikan penekanan dan keutamaan taqwa sebagai asas penentu segala kejayaan dan kemenangan. Antaranya :

‘in tattaqullah hayaj ‘allakum furqanaa”

[ jika kamu bertaqwa kepada Allah, allah akan memberikan kamu pembeza antara haq dan batil]

‘ wa maiyattaqillaha yaj’allahu makroja wa yarzukuhu min haisula yahtasib..’

[ barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah, allah pasti akan memberikan jalan keluar dan memberikan rezeki dari jalan yang tidak ketahui ]

‘ wattaqullah wa yu’allimukumullah..’

[ bertaqwalah kepada Allah,pasti Allah akan memberikan ilmu dan pengetahuan..]

Al-Quran mengulang-ulang perkataan taqwa dalam setiap perintah dan suruhannya kepada orang-orang mukmin bagi mengingatkan mereka bahawa persoalan taqwa, persoalan iman, persoalan hati adalah persoalan induk di dalam tarbiyah., persoalan survival dakwah dan kewujudan ummah Islamiah tersebut. Tarbiyyah Imaniyah inilah menjadi pokok dan inti kekuatan Harakah Islamiah dan rahsia keagungan umat dalam membina empayar iman dan keutuhan peradabannya.

Sementara itu, proses berlapar dan menahan diri dari  makan minum serta melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa memberikan isyarat bahawa kita dilatih supaya meletakkan kepentingan allah mengatasi kepentingan perut, nafsu dan diri sendiri. Inilah makna dan inti dari syariat puasa di bulan Ramadhan.

Allah juga telah memberikan keistimewaan Ramadhan ini dengan memuliakannya dengan syariat puasa. Begitu juga kemulian Ramadhan ini dengan penurunan Al-Quran sebagai manual panduan kepada umat Islam. Pakej  Ramadhan yang diisi dengan kefardhuan puasa dan wahyu Al- Quran ini memberikan isyarat betapa umat Islam perlu kembali menjadikan Al-Quran sebagai rujukan terbesar di daalm kehidupan mereka, sumber perundangan dan asas-asas kehidupan mereka.

Betapa saban tahun, kita melihat umat Islam memasuki Ramadhan tanpa  menjadikan al-Quran kitab panduan mereka, KPI bagi kehidupan mereka, bahkan ada yang menyeleweng dari kefahaman al-Quran, berpaling dari mengikuti ajaran-ajaran al-Quran sehingga ada yang mencerca dan menghina Al-Quran. Al-Quran yang sepatutnya menjadi sumber energi kekuatan umat, telah hilang dan lenyap dari hati-hati umat islam. Umat Islam tidak berusaha menggali dan meneroka , mencari spirit dan kekuatan dari al-Quran bagi memajukan diri mereka sama ada dari aspek keilmuan, ekonomi, politik, pendidikan dan kepemimpinan.

Dalam dunia pembangunan sumber manusia hari ini, kita bercakap soal IQ,EQ, SQ dan sebagainya. Asas kepada kecemerlanganIQ, EQ dan SQ berpaksikan kepada kecerdasan al-Quran (QQ). Al-Quran inilah telah melahirkan rijal-rijal umat, membina ummah islamiyah, mengangkat pemerintahan Islam dan membentuk wilayah tamadun Islam.

Al-Quran inilah telah menempa dan merubah hati Umar Al-Khattab sehingga membentuk beliau menjadi pahlawan dan Khalifah Islam yang hebat dan dikenali. Al-Quran inilah yang menukar bangsa Arab dari jahiliyah kepada islam. Al-Quran inilah telah membina masyarakat Islam dan Daulah Islam madinah. Al-Quran inilah telah menjadi asas kepada peluasan wilayah Islam sehingga menebar sebagai kuasa dunia (ustaziyatul alam) dan menjadi satu tamadun besar Islam ( Hadharah Islamiah Kubra)

Marilah kita mengisi Ramadhan  dengan melakukan sebanyak mungkin ibadah, meningkatkan taqarrub kita, memperbaharui bai’ah kita pada Allah dan Rasul, meningkatkan iltizam dan komitmen kita agar kita nanti keluar sebagai Insan Rabbani, Da’ei Muttaqi dan Murabbi Qawiyy.

Salam Ramadhan el-Mubarak..Salam Perubahan

Ramadhan Bulan Tajdid dan Tranformasi… 

Cinta dan Rindu Menurut Islam

TENTANG HATI

Banyak orang bercakap tentang permasalahan cinta tapi tidak sesuai dengan yang sebenarnya. Atau tidak menjelaskan batasan-batasan dan maknanya secara syar’i. Dan seakan-akan yang membahas masalah ini mempunyai pemahaman yang salah bahawa ianya berkaitan dengan akhlaq yang rendah dan perzinaan, satu perkataan yang keji. Dan dikaitkan pula dengan zina hati. Hal ini adalah salah.

Cinta dan rindu adalah sesuatu yang berkaitan dengan manusia yang memotivasi mereka untuk menjaga dan mendorong kehormatan dan kemuliaannya. Aku memandang pembicaraan ini yang terpenting adalah batasannya, penyimpangannya, kebaikannya dan keburukannya. Cinta dan rindu adalah dua kalimat yang ada dalam hati setiap manusia, dan mereka memberi makna tentang kedua-dua hal ini sesuai dengan apa yang mereka rasai.

CINTA (AL-HUBB)

Cinta, iaitu Al-Widaad yakni kecenderungan hati pada yang dicintai. Itu termasuklah amalan hati, bukan amalan anggota badan atau zahir. Pernikahan contohnya, tidak akan bahagia dan berfaedah kecuali jika adanya cinta dan kasih sayang yang lahir dalam hati-hati pasangan suami isteri. Dan kunci kepada tumbuhnya kecintaan adalah melalui pandangan. Oleh disebabkan itulah, Rasulullah SAW menganjurkan pada orang yang meminang untuk melihat pada yang dipinang agar sampai pada kata sepakat dan cinta.

Sungguh telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Nasa’i dari Mughirah bin Su’bah r.a berkata: “Aku telah meminang seorang wanita.” Lalu Rasulullah SAW bertanya kepadaku: “Apakah kamu telah melihatnya?” Aku berkata: “Belum.” Maka beliau bersabda: “Maka lihatlah dia, kerana sesungguhnya hal itu pada akhirnya akan lebih menambah kecocokan dan kasih sayang antara kalian berdua.”

Kebanyakan orang, lebih-lebih pemuda dan pemudi, mereka takut untuk menghadapi cinta kerana tanggapan bahawa cinta yang tumbuh di dalam hati itu adalah dosa dan mereka mengira diri mereka sedang bermaksiat, berzina hati, bahkan salah seorang di antara mereka memandang, bila hatinya condong pada seseorang bererti dia telah berbuat dosa.

Kenyataannya, bahwa di sini banyak sekali keranguan-keranguan dalam pemahaman mereka tentang cinta dan apa-apa yang tumbuh dari cinta itu, di mana mereka beranggapan bahawa cinta itu suatu maksiat, kerana sesungguhnya dia memahami cinta itu dari apa-apa yang dilihatnya dari lelaki-lelaki rosak dan perempuan-perempuan rosak di kalangan mereka, yang mana mereka-meraka itu menegakkan hubungan yang tidak disyariatkan oleh Allah SWT. Mereka saling duduk, bermalam, bergurau mesra, saling menari, dan minum-minum, bahkan sampai mereka berzina di bawah semboyan cinta. Banyak orang mengira bahawa cinta tidak ada lain kecuali yang demikian itu. Padahal sebenarnya tidak begitu, justeru sebaliknya.

Sesungguhnya kecenderungan seorang lelaki pada wanita dan kecenderungan wanita pada lelaki itu merupakan syahwat daripada syahwat-syahwat yang telah Allah SWT hiaskan pada manusia dalam masalah cinta. Ertinya Allah SWT menjadikan di dalam syahwat apa-apa yang menyebabkan hati lelaki itu cenderung pada wanita, sebagaimana firman Allah SWT:

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak…” – Aali-’Imran: 14.

Allah SWT-lah yang menghiasi bagi manusia cinta pada syahwat ini, maka manusia mencintainya dengan cinta yang besar, dan sungguh telah tersebut dalam hadis bahawa Nabi SAW bersabda:

“Diberi rasa cinta padaku dari dunia kalian: wanita dan wangi-wangian dan dijadikan penyejuk mataku dalam solat.” – HR Ahmad, Nasa’i, Hakim dan Baihaqi.

Andaikan tidak ada rasa cinta lelaki pada wanita atau sebaliknya, maka tidak adalah pernikahan, tidak adalah keturunan dan tidak adalah keluarga.

Namun begitu, Allah SWT tidaklah menjadikan lelaki cinta pada wanita atau sebaliknya supaya menumbuhkan di antara keduanya hubungan yang diharamkan, tetapi untuk menegakkan hukum-hukum yang disyari’atkan iaitu pernikahan seperti dalam hadis Ibnu Majah, dari Abdullah bin Abbas r.a berkata: telah bersabda Rasulullah SAW: “Tidak terlihat dua orang yang saling mencintai, seperti pernikahan.”

Dan agar orang-orang Islam menjauhi jalan-jalan yang rosak atau keji, maka Allah SWT telah menyuruh yang pertama sekali agar menundukkan pandangan, kerana ‘pandangan’ itu kunci kepada hati, dan Allah SWT telah haramkan semua sebab-sebab yang membawa pada fitnah, dan kekejian, seperti berduaan dengan orang yang bukan mahramnya, bersalaman, berciuman antara lelaki dan wanita, kerana perkara-perkara ini dapat menyebabkan condongnya hati. Maka bila hati telah condong, dia akan sulit sekali menahan jiwa setelah itu, kecuali yang dirahmati Allah SWT.

Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menyeksa manusia dalam kecenderungan hatinya. Akan tetapi manusia akan diseksa dengan sebab jika kecenderungan itu diikuti dengan amalan-amalan yang diharamkan. Contohnya: apabila lelaki dan wanita saling memandang tanpa batasan atau berduaan-duaan, lalu cenderunglah hati kedua-duanya, sesungguhnya kecenderungan hati ini tidak akan menyebabkan kedua-duanya diseksanya, kerana hal itu berkaitan dengan hati, sedang manusia tidak bisa menguasai hatinya, akan tetapi, kedua-duanya diazab kerana apa yang mereka lakukan, iaitu memandang tanpa batasan dan berdua-duaan. Dan kedua-duanya akan dimintai pertanggungjawaban, dan akan diseksa juga dari setiap perkara haram yang mereka perbuat setelah itu seperti berciuman, bermesraan dan berzina.

Adapun cinta yang tulus ikhlas dan murni, yang dijaga kehormatannya, maka tidak ada dosa padanya, bahkan telah disebutkan oleh sebahagian ulama seperti Imam Suyuthi, bahawa orang yang mencintai seseorang, lalu menjaga kehormatan dirinya dan dia menyembunyikan cintanya maka dia diberi pahala, sebagaimana akan dijelaskan dalam bab ‘Rindu’ di bawah.

Menjaga kehormatan diri itu sungguh sangat sukar. Yang paling selamat adalah menjauhi semua sebab yang menjerumuskan hati dalam persekutuan cinta.

Daripada kedua-dua golongan ini (yang mencintai serta menjaga kehormatan dan yang mengelak daripada cinta), sungguh sangat sedikit mereka yang selamat.

RINDU (AL-’ISYQ)

Rindu itu ialah cinta yang berlebihan. Ada rindu yang disertai dengan menjaga diri dan ada juga yang diikuti dengan kehinaan. Maka rindu tersebut bukanlah hal yang tercela dan keji secara mutlak. Boleh jadi, orang yang rindu itu, rindunya disertai dengan menjaga diri dan kesucian, dan kadang-kadang ada rindu yang disertai kerendahan dan kehinaan.

Sebagaimana telah disebutkan tentang cinta, maka rindu juga seperti itu, termasuk amalan hati, yang manusia tidak mampu menguasainya. Tapi manusia akan dihisab atas sebab-sebab yang diharamkan dan atas hasil-hasilnya yang haram.

Adapun rindu yang disertai dengan menjaga diri padanya dan menyembunyikannya daripada orang-orang, maka padanya pahala, bahkan Ath-Thohawi menukil dalam kitab Haasyi’ah Marakil Falah dari Imam Suyuthi yang mengatakan bahwa termasuk dari golongan syuhada di akhirat ialah orang-orang yang mati dalam kerinduan dengan tetap menjaga kehormatan diri dan disembunyikan daripada orang ramai meskipun kerinduan itu timbul daripada perkara yang haram.

Makna ucapan Suyuthi adalah orang-orang yang memendam kerinduan baik lelaki mahupun perempuan, dengan tetap menjaga kehormatan dan menyembunyikan kerinduannya sebab dia tidak mampu untuk mendapatkan apa yang dirindukannya dan bersabar atasnya sampai mati kerana kerinduan tersebut, maka dia mendapatkan pahala syahid di akhirat. Hal ini tidak aneh jika fahami kesabaran orang ini dalam kerinduan bukan dalam kefajiran yang mengikuti syahwat dan dia bukan orang yang rendah yang melecehkan kehormatan manusia bahkan dia adalah seorang yang sabar, menjaga diri meskipun dalam hatinya ada kekuatan dan ada keterkaitan dengan yang dirindui, dia tahan kekerasan jiwanya, dia ikat anggota badannya sebab ini di bawah kekuasaannya. Adapun tentang hatinya dia tidak bisa menguasai, maka dia bersabar atasnya dengan sikap afaf (menjaga diri) dan menyembunyikan kerinduannya sehingga dengan itu dia mendapat pahala.

Wallahu a’lam.