Tuesday 28 January 2014

Model Akhlak Al-Quran

Model Akhlak Al-Quran
Akhlak Rasulullah s.a.w. adalah model akhlak-akhlak mulia yang dihurai dan dijelaskan dalam al-Quran. Keterangan jelas mengenai konsep akhlak mulia dalam al-Quran, bukan sahaja untuk difahami, tetapi untuk dilaksanakan. Contoh kepada penghayatan dan kaedah penghayatan itu ialah kehidupan Rasulullah s.a.w

Rasulullah s.a.w. seorang mu'min yang terulung. Seorang yang telah diasuh dan dipelihara akhlaknya oleh Allah S.W.T. untuk dipelihara akhlaknya oleh Allah S.W.T. untuk dijadikan seorang rasul dan contoh insan kamil yang menjadi ikutan dan teladan sepanjang zaman. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

'Dan sesungguhnya engkau memiliki akhlak yang sungguh agung'. (al-Qalam: 4)

Juga firman-Nya yang bermaksud: 'Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik'. (al-Ahzaab; 21)

Rasulullah s.a.w. dan para sahabat yang beriman dengannya, adalah para hamba Allah S.W.T. yang tekun mengerjakan ibadat dan tunduk khusyu' merendah diri kepada Allah S.W.T. takut dan mengharap kepada-Nya, bertawakal serta bersyukur kepada-Nya. Wajah mereka berbekas kesan daripada sujud. Pada waktu siang mereka menjadi pahlawan gagah membela agama Allah S.W.T. Sedangkan pada waktu malam air mata mereka berlinang kerana insaf dan memohon keampunan daripada Allah S.W.T. Al-Quran menggambarkan pengabdian mereka kepada Allah S.W.T. dengan firman-Nya yang bermaksud:

' Nabi Muhammad s.a.w. ialah RasulAllah dan mereka yang bersama dengannya tegas terhadap orang kafir, dan sebaliknya bersikap kasih sayang dan belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Kamu melihat mereka ruku'dan sujud dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredhaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat pada muka mereka dari kesan sujud'. (al-Fath: 29)

Rasulullah s.a.w. paling banyak beribadah dan paling bertaqwa, tanpa melupakan tanggungjawab terhadap kewajipan manusia yang lain. Isteri baginda Aishah hairan kerana baginda begitu tekun beribadah kepada Allah S.W.T. Pada suatu ketika 'Aishah bertanya, mengapa baginda begitu tekun dan kuat beribadah, padahal Allah S.W.T. sedia mengampuni dosa baginda yang terdahulu dan terkemudian. Rasulullah s.a.w. menjawab, yang bermaksud:

'Tidakkah aku ingin dirinya menjadi hamba yang bersyukur.' (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Bersyukur adalah akhlak yang tinggi dan mulia dalam hubungan dengan Allah S.W.T. Bersyukur di atas ni'mat yang dikurniakan Allah S.W.T, kemuncak daripada tujuan beribadah. Membentuk diri menjadi hamba Allah yang bersyukur, mercu kejayaan dalam usaha membentuk insan kamil yang meredhai Allah dan diredhai Allah. Kesyukuran itu, menambahkan lagi kesayangan Allah dan sentiasa mendapat tambahan ni'mat-ni'mat Allah S.W.T. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:

'Demi sesungguhnya, jika kamu bersyukur, nescaya aku akan tambahi ni'matku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah keras'.

(Ibrahim: 7)

Rasulullah s.a.w. adalah contoh manusia yang bersyukur kepada Allah S.W.T. dan kesyukurannya itu dilafazkan menerusi amalan ibadahnya kepada Allah S.W.T. lni ditambahi pula dengan ingatan yang tidak putus-putus terhadap Allah dan menjadikan seluruh kehidupannya dalam suasana beribadah kepada Allah S.W.T. semata-mata.

Beribadah dalam pengertian bersolat, berzikir, berpuasa dan amalan-amalan kerohanian yang lain dilakukan tanpa mengurangkan tanggungjawab dalam hubungan antara sesama manusia, seperti yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. Allah S.W.T menekankan hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia seperti yang dinyatakan-Nya dalam al-Quran yang bermaksud:

'Mereka ditimpakan kehinaan di mana- sahaja mereka berada kecuali dengan adanya sebab dari Allah dan adanya sebab dari manusia'.

(al-'lmraan: 112)

Justeru itu al-Quran menggariskan prinsip-prinsip bagi mewujudkan sistem yang mengatur hubungan dengan Allah S.W.T. menerusi ibadah dan taqwa serta sistem yang mengatur hubungan antara manusia dengan manusia. Sistem ini menjamin jalinan hubungan yang berasaskan akhlak yang dapat membebaskan manusia dari kehinaan dan dapat meningkatkan martabat mereka menuju kemuliaan dan kehormatan.

Pada suatu ketika Rasulullah s.a.w. mendengar perbualan beberapa orang sahabat mengenai ibadat mereka. Seorang berkata, ia bersembahyang sepanjang malam. Sahabat yang lain pula berkata ia berpuasa sepanjang hari sementara seorang lagi berkata ia tidak berkahwin untuk menumpukan kepada ibadat. Rasulullah s.a.w. mendengar perbualan mereka lantas berkata, 'kamukah yang berkata demikian, demikian. Akulah orang'yang paling bertaqwa dari kalangan kamu. Akan tetapi aku sembahyang dan aku tidur, aku berpuasa dan aku berbuka puasa malah aku mengahwini wanita-wanita'.

Tumpuan kepada ibadah khusus dalam menguatkan hubungan dengan Allah tidak seharusnya mengabaikan tanggungjawab dalam hubungan dengan manusia yang juga merupakan ibadah apabila dilakukan untuk keredhaan Allah serta melaksanakan perintah dan arahannya. 

KEBAIKAN MINUM AIR PUTIH -MINERAL-

 KEBAIKAN MINUM AIR PUTIH -MINERAL-

Berikut 8 sebab yang ingin saya kongsikan kepada anda semua tentang kebaikan minum air putih.

1. Menguruskan badan

Khabar gembira buat para wanita yang tengah berdiet. Air putih tidak mengandungi kalori, gula ataupun lemak dan ini ternyata mampu mengurangkan berat badan kita.2. Meningkatkan kesuburan

Air putih dapat menghasilkan hormon testosteron pada kaum Adam serta hormon estrogen pada kaum Hawa.

3. Melancarkan sistem pencernaan

Minum air putih dalam kuantiti lapan gelas setiap hari akan melancarkan sistem pencernaan. Ia dapat menghindarkan dari mendapat sembelit malah pembakaran kalori juga akan berjalan dengan efisien.

4. Melambatkan proses pertumbuhan zat yang menyebabkan kanser

Air putih bukan saja melambatkan pertumbuhan zat penyebab kanser malah ia juga dapat membantu mencegah penyakit hati dan ginjal.

5. Perawatan kecantikan

Kekurangan pengambilan air putih menyebabkan tubuh menghadapi kesulitan untuk menyerap air, sekaligus mengakibatkan kulit kering dan berkerut.

6. Tubuh lebih segar dan sihat

Khasiat air putih bukan sekadar untuk membersihkan tubuh saja tapi juga sebagai zat yang sangat diperlukan tubuh. Kita mungkin dapat bertahan bila tidak makan beberapa hari namun tidak mungkin dapat bertahan jika tidak minum air. Ini kerana air merupakan bahagian terbesar dalam komposisi tubuh manusia.

7. Menyihatkan jantung

Air putih juga diyakini dapat menyembuhkan penyakit jantung. Bahkan pada saat ini juga sudah banyak perubatan altenatif yang memanfaatkan penggunaan air putih.

8. Ubat kepada penyakit strok

Air putih tidak hanya digunakan untuk mengubati berbagai penyakit kulit, namun sangat efektif untuk mengubati penyakit lumpuh. Ini kerana air dapat membantu memperkuatkan kembali otot-otot dan ligamen serta melancarkan sistem peredaran darah dan sistem pernafasan.

AIR kosong PENAWAR pelbagai jenis PENYAKIT

Kajian para sainstis mendapati  amalan minum air sebaik bangun dari tidur setiap pagi mempunyai manfaat. Japanese Medical Society, misalnya berjaya membuktikan dalam kes-kes tertentu. Amalan ini mampu memulihkan penyakit termasuk yang serius.

Diantara penyakit yang termasuk dalam penyelidikan persatuan di Negara matahari terbit ini ialah sakit kepala, sakit-sakit badan, system jantung, arthristis, degupan jantung yang pantas, epilepsy, lemak berlebihan, bronchitis, tibi, meningitis, buah pinggang, dan jangkitan pada air kencing.

Bagaimanapun, amalan minum air  kosong sebaik jaga dari tidur ini perlu menigkatkan beberapa peraturan untuk memastikan keberkesanannya.

1.   Minum empat gelas air (160ml) sebaik jaga dari tidur setiap pagi dan sebelum menggosok gigi.
2.   Berus gigi dan bersihkan mulut tetapi jangan makan dan minum apa-apa selama untuk 45 minit.
3.   Selepas 45 minit anda boleh makan dan minum seperti biasa.
4.   Selepas 15 minit mengambil sarapan , makan tengahari dan makan malam jangan makan atau minum untuk tempoh dua jam.
5.   Bagi pesakit yang lanjut usia dan yang tidak larat minum empat gelas air sekali gus di peringkat permulaan kaedah rawatan ini dengan meminum air secara berperingkat sehingga mampu mencapai empat gelas sehari.
6.   Kaedah rawatan dipercayai mampu merawat pelbagai penyakit dalam tempoh tertentu.
•   Tekanan darah tinggi 30 hari.
•   Gastrik 10 hari
•   Diabetis 30 hari
•   Sembelit 10 hari
•   Kanser 18 hari
•   Tibi 90 hari

7.   Pesakit arthritis hanya perlu mengikut rawatan tersebut untuk tiga hari. Rawatan
Ini tidak mempunyai sebarang kesan sampingan kecuali di peringkat awal pesakit mungkin kerap buang air kecil.

•   Demikian, berusahalah tidur lena. Jangan tidur pada lewat malam.
Sumber:Kem Pembangunan Kekeluargaan Wanita.



Kandungan air dalam tubuh yang mencapai 90% berfungsi dalam proses pencernaan, penyerapan, makanan, kitaran, menghasilkan air liur, pemicu nutrisi tubuh, serta menjaga suhu badan.
Apabila otot berasa sakit dan penat, ia menandakan cecair dalam tubuh kita tidak seimbang. Oleh sebab itu, disarankan untuk minum lebih banyak air sebelum dan ketika bersukan bagi menggantikan cecair yang hilang melalui perpeluhan.
Air juga berfungsi dan mampu mengawal kalori, ia dapat mengurangkan pengumpulan lemak berlebihan di dalam badan. Sayur-sayuran, sup, gandum dan kekacang antara makanan yang mengandungi banyak air serta mengalami penyerapan yang perlahan. Ini menyebabkan kita mudah berasa kenyang dan ia mengurangkan pertambahan kalori.
“Sampah” utama dalam tubuh adalah ‘nitrogen urea’ yang larut dalam air, kemudian disaring oleh ginjal dan dibuang melalui air kencing. Ginjal akan bekerja dengan air sekiranya air dalam tubuh seimbang. Tubuh yang cukup air menghasilkan air kencing yang berwarna terang, tidak berbau dan mengalir lancar.
Air juga berfungsi menjaga proses pencernaan. Sekiranya air di dalam tubuh kurang, usus besar akan menyerap kembali cecair dari kotoran. Keadaan ini akan menyebabkan berlakunya sembelit atau sukar buang air besar kerana terlalu kering.
Itulah khasiat dan kebaikan air putih ini atau lebih di kenali air masak atau air kosong. Tapi jangan lupa pula, jika minum air terlalu banyak juga bileh menyebabkan keracunan air dengan cepat. Keracunan air terjadi apabila air mengurangkan tahap ‘sodium’ di dalam saluran darah dan menyebabkan ketidakseimbangan air dalam otak.


SEBAB PERLU MINUM AIR MASAK

Air tidak dinafikan merupakan sebatian kimia yang paling penting di atas muka bumi. Ia merupakan tunjang kepada kehidupan dan tidak keterlaluan jika kita menyebut, “jika tiada air, maka tiadalah kehidupan”. Ia juga merupakan faktor utama mengapa bumi terpilih di antara planet-planet yang lain sebagai kediaman mutlak untuk semua jenis hidupan, memandangkan bumi adalah antara planet yang terlembab dan kaya dengan air. 70.9% permukaan bumi adalah air.

Sejarah juga telah menunjukkan, terbentuknya tamadun-tamadun besar adalah disebabkan oleh air. Wujudnya tamadun Mesapotamia adalah disebabkan wujudnya Sungai Tigris, manakala hidupnya tamadun Mesir kuno adalah disebabkan hidupnya Sungai Nil yang sentiasa mengalir sepanjang tahun tanpa henti. Ia merupakan asas keperluan nombor satu manusia! Kita mungkin boleh hidup selama sebulan tanpa makanan, tetapi tanpa air, kita mungkin akan mati tak sampai seminggu!

Pemilihan air juga adalah penting untuk memastikan kita mendapat 100% manfaat daripadanya. Menyuruh seseorang itu untuk minum air bukan bererti seseorang itu perlu minum teh tarik, kopi tarik, atau segala jenis minuman yang manis-manis. Tetapi seeloknya, dapatkan air yang nampak lebih asli seperti air, nampak rupa fizikalnya seperti air, dan rasanya juga seperti air. Air apakah itu? Tentulah ianya “Air Masak” atau sesetengah memanggilnya “Air Kosong”.

Terdapat beberapa sebab mengapa anda harus minum air kosong dengan secukupnya.

1. 60% badan manusia adalah air
Manusia memerlukan sekurang-kurangnya 3 liter air setiap hari. Air amat penting untuk tubuh kerana tekanan darah akan lebih konsisten sekaligus membuatkan jantung berfungsi dengan lebih konsisten. Air juga berfungsi untuk membawa keluar semua toksin/kekotoran yang terhasil dalam tubuh manusia (dikeluarkan menerusi peluh dan air kencing).

2. Sifar Kalori
Tiada sebab untuk anda tidak mahu minum air masak kerana ia langsung tidak mengandungi sebarang kalori.

3. Sumber Alkaline termurah
Kebanyakkan makanan yang diambil seperti nasi, kentang, manisan, makanan yang berlemak, dan protein adalah bersifat acidic. Kehadiran air masak yang bersifat sedikit alkaline semestinya akan meneutralkan kembali pH makanan yang diambil.

4. Memantapkan metabolisma
Mengambil air masak selepas makan membantu melancarkan lagi sistem penghadaman, sekaligus meningkatkan proses pembebasan tenaga.

5. Pelarut nutrien
Vitamin larut air seperti B kompleks dan Vitamin C memerlukan air sebagai pelarut. Air juga merupakan medium utama yang membawa semua nutrien seperti ini ke seluruh anggota badan yang memerlukan.

6. Mengurangkan risiko penyakit jantung
Satu kajian selama enam tahun pada tahun 2002 oleh American Journal of Epidemiology mendapati mereka yang minum lebih daripada 5 gelas air sehari adalah 41% kurang berisiko meninggal dunia akibat serangan jantung.

7. Mengurangkan risiko kanser
Pengambilan jumlah air yang mencukupi juga telah menunjukkan mampu untuk mengurangkan risiko kanser usus sebanyak 45% dan risiko kanser pundi kencing sebanyak 50%. Ia juga berpotensi untuk mengurangkan risiko kanser payudara.

8. Melembutkan kulit secara semulajadi
Air amat penting dalam membantu sel-sel badan menjadi segah. Ini tidak terkecuali sel kulit manusia yang semestinya memerlukan lemak dan air yang mencukupi untuk kelihatan lembab dan tidak kering.

9. Menyeimbangkan suhu badan
Suhu badan manusia boleh diseimbangkan dengan pengambilan air masak yang mencukupi. Mereka yang kurang minum air terutamanya air masak semestinya kelihatan kurang bermaya dan tubuh badan akan berasa sedikit panas. Anda boleh rasai sendiri gejala-gejala ini pada sebelah petang ketika berpuasa. Ini adalah disebabkan badan anda kekurangan air.

10. Mencegah keletihan dan pening kepala
Sememangnya terdapat banyak sebab mengapa seseorang itu cepat letih atau pening kepala. Namun, jangan anda tak tahu kekurangan air dalam badan juga (dehydration) merupakan faktor utama mengapa seseorang itu pening kepala atau keletihan. Sekiranya anda pening kepala dan berjumpa doktor, soalan pertama yang doktor akan ajukan pada anda ialah, “Hari ini ada minum air masak tak? Berapa kali?”

Saturday 25 January 2014

REMAJA PERLU MENJAGA MARUAH DIRI

 Oleh: Lokman Bin Ismail

Setiap orang sudah pasti mengimpikan kejayaan dalam setiap apa yang dilakukan.  Tetapi untuk berjaya tidak beroleh hanya berpeluk tubuh atau mengharapkan kepada takdir semata-mata. 
Setiap orang yang ingin mencapai kejayaan hidup perlu menghadapi pelbagai rintangan sebelum mencapai kejayaan.   Seperti kata pepatah; jika tidak dipecahkan ruyung masakan akan dapat sagunya.  
Sesungguhnya hanya individu yang cekal, bijak, dan mempunyai cita-cita yang tinggi sahaja mampu melepasi rintangan untuk menuju ke puncak kejayaan. 
Sebenarnya kejayaan dalam bidang apa sekalipun adalah nilai diri atau maruah diri seseorang.  Individu yang berjaya, sentiasa mementingkan harga diri agar seiring dengan kejayaan yang dicapai.   
Sebaliknya, individu yang gagal mempertahankan maruah diri akan berdepan dengan pertentangan nilai hidup antara kejayaan yang dicapai, dan maruah yang tercalar yang secara langsung memberi kesan kepada keseluruhan hidupnya.

Sebab itu kerajaan amat menekankan kepada kecemerlangan yang seimbang dalam semua aspek.  Falsafah Pendidikan Negara menetapkan matlamat untuk melahirkan individu-individu pelajar yang seimbang dari segi jasmani, rohani, intelek, dan emosi.
Ketika melalui usia remaja memang terdapat banyak perubahan yang berlaku dalam diri seseorang, terutama dari segi emosi, seks dan fizikal.  Sebenarnya usia remaja adalah permulaan kepada membentuk personaliti.   
Kehidupan dalam usia remaja banyak dipengaruhi persekitaran; di mana tempat tinggal, dengan siapa berkawan, serta pengaruh media juga tidak kurang hebatnya.  Penguasaan ibu bapa terhadap anak di peringkat usia remaja semakin berkurangan, melainkan jika sejak usia kanak-kanak lagi ibu bapa telah berjaya menerap amalan hidup berkeluarga yang kuat. 
Remaja perlu mempunyai perancangan yang jelas dalam minda untuk meletakkan diri pada landasan yang betul menuju kehidupan dewasa yang berjaya berbekalkan pendidikan yang baik dan budi pekerti yang luhur.  
Perancangan amat penting untuk menentukan kejayaan hidup.  Sesiapa yang tidak menetapkan perancangan seolah berada di sebuah dunia khayalan.  Remaja yang tidak mempunyai perancangan hidup mengisi masa remaja dengan aktiviti yang mereka fikirkan memberi kepuasan, tidak perlu bersusah payah, dan ikut apa sahaja kehendak hati.

Apa yang jelas, ramai remaja yang tidak mementingkan maruah hidup tanpa hal tujuan.  Malah, mereka tidak memahami apa itu maruah.  Bagi mereka maruah hanya dikaitkan dengan hubungan sesama mereka.  Remaja mudah terasa tercabar jika dipermainkan sesama mereka.  Pantang sahaja dicabar akan terus disahutnya.  
Sebaliknya, mereka tidak ambil peduli jika yang menegur itu ibu bapa atau orang dewasa.  Mereka menganggap orang dewasa tidak memahami perasaan atau jiwa remaja. Kononnya, zaman ketika ibu bapa melalui usia remaja dahalu tidak sama dengan zaman apa yang mereka lalui sekarang.   
Fenomena ini menjadi punca mengapa masalah moral remaja semakin meruncing.  Dalam hal ini bukan ibu bapa dan orang dewasa tidak berperanan membentuk moral remaja ke arah kebaikan, tetapi remaja sendiri tidak mahu menerima apa yang difikirkan baik untuk mereka.  
Dalam menilai diri, remaja perlu jujur mengenali diri sendiri.  Kesilapan yang biasa berlaku ialah apabila individu tidak mengenali diri sendiri; yakni kelebihan dan kelemahan diri.  Sebab inilah menjadi punca mengapa remaja tidak merebut peluang yang baik untuk mereka. 
Ahli falasafah Yunani yang terkenal, Aristotle pernah mengatakan bahawa kita menjadi apa yang selaku kita lakukan.  Sekiranya kita ingin mencapai kecemerlangan, maka perlulah selalu melakukan apa yang membolehkan mencapainya.  Sesungguhnya kecemerlangan tidak dapat dicapai dengan menggunakan jalan pintas yang mudah tanpa mengikut peraturan.  

Untuk menilai diri, terdapat dua unsur yang perlu dikenal pasti mengenai kencenderungan diri iaitu ekstrovert dan introvert.  Nilai-nilai diri ini saling mempengaruhi antara satu sama lain.  
Sikap ekstrovert ialah orang yang berminat terhadap hal yang berlaku sekitarnya, berfikiran terbuka, dan suka bergaul.  Dia menunjukkan sikap ramah, lancar dalam pergaulan, berkeyakinan, mudah mesra, gembira, dan tidak pentingkan diri sendiri. 
Remaja yang tergolong dalam sifat ini memiliki kualiti hidup yang baik dengan sentiasa mengutamakan nilai yang baik dan menghargai diri sendiri.  Di dalam diri terdapat semangat ingin melakukan kebaikan tanpa perlu diingatkan berulang kali oleh individu lain.   
Remaja yang bersikap ekstrovert juga mempunyai pemikiran dan daya imaginasi yang baik.  Dia meletakan matlamat hidup pada kedudukan yang tinggi sebagai satu motivasi untuk berusaha mencapainya.  Cabaran yang dihadapi dianggap sebagai rutin hidup yang menggembirakan.   
Pelajar dalam golongan ini juga mempunyai sifat berdikari.  Dia yakin membawa diri untuk meletakkan dirinya lebih dewasa, dan mampu untuk melaksanakan sebahagian daripada tanggungjawab dalam masyarakat. 

Golongan ini lebih berminat untuk bercampur gaul dengan mereka berusia lebih tua.  Melalui pergaulan itu membolehkan mereka mengutip pengalaman yang berguna.  Hal ini dapat meningkatkan lagi motovasi dan keyakinan diri.     
Dengan sifat ekstrovert memudahkan seseorang itu menikmati hidup dengan penuh makna.  Biarpun ada apa yang diusahakan tidak tercapai, perjuangan tetap diteruskan.  Apa yang penting bagi mereka bukan semestinya sampai di destinasi, tetapi apa yang telah dilakukan sepanjang pengalaman menuju destinasi. 
Manakala orang yang memiliki sifat introvert pula lebih suka memusatkan perhatiannya kepada fikiran dan perasaannya sendiri.  Orang bersifat introvert selalu menunjukkan sifat mementingkan diri sendiri, egois, syok sendiri, terbatas pergaulan, pediam, tiada keyakinan diri, pemarah dan singkat akal. 
Diperhatikan bahawa individu bersifat introvert tidak mementingkan maruah, biarpun mereka mementingkan diri sendiri.  Apa yang dilakukan lebih kepada melayan kehendak sendiri tanpa memikirkan kenyataannya.  Dia lebih mementingkan kebebasan untuk memilih menentukan sendiri apa yang ingin dilakukan.     
Dalam hal ini, pandangan orang lain biasanya tidak lagi diperdulikan.  Hidup yang dilalui hanya terbatas kepada apa yang sedangkan dilakukan, tanpa memikirkan kesan pada masa akan datang.  Nasihat ibu bapa dianggap menyekat kebebasan, dan seperti melayan mereka masih budak kecil.    

Mereka yang bersifat introvert tidak ada perancangan hidup.  Apa yang dilakukan hari ini adalah untuk hari ini.  Sebab itu golongan ini mudah terpengaruh dengan aktiviti bersuka-suka, memuaskan keinginan, membazirkan masa, serta bertindak mengikut kata hati tanpa berfikir kesannya.  
Kadang-kadang golongan ini sedar kesalahan yang dilakukan, tetapi tidak berusaha untuk berubah.  Mereka sentiasa merasa rendah diri dan tidak berkemampuan berbanding orang lain.   
Biasanya mereka menganggap kejayaan hanya menjadi milik orang lain.  Sekiranya diberitahu mereka juga dapat berjaya sepertimana orang lain, hal itu dikatakan satu perkara yang mustahil, sedangkan mereka belum berusaha melakukan apa-apa lagi. 
Oleh itu setiap remaja perlu menilai diri sendiri dan menentukan sama ada berada dalam golongan eksrovert atau introvert.  Binalah maruah diri yang membawa ke arah kehidupan berjaya cemerlang. 

Friday 24 January 2014

ISLAM ITU MUDAH DAN SEDERHANA

Ucapan Syeikh Al-Azhar
Di Institut Agama Islam Negeri Kedah (INSANIAH)
Pada 20 Ogos 1998

Sesungguhnya inilah perjumpaan yang direstui oleh Allah S.W.T. kerana bukanlah tujuan kita berhimpun di sini untuk mendapat kesenangan dan kemewahan yang palsu, tetapi sebaliknya untuk kita memberi khidmat pada agama dan menyumbang untuk kebaikan umat kita. Oleh itu kita seharusnya mengucapkan ungkapan yang pernah diucapkan oleh orang-orang yang soleh di zaman silam, 'Segala puji bagi Allah yang telah memberi petunjuk kepada kami. Kami yakin tanpa petunjuk Allah sudah pasti kami tidak mendapat sebarang petunjuk'.
Saya amat berasa berbahagia dan berbangga apabila saya berada di Institut Agama Islam Kerajaan Negeri yang menyediakan fakulti-fakulti pengajiannya di bidang-bidang perundangan Islam, bahasa Arab dan usuluddin. Sesungguhnya apa yang dapat dikatakan di sini bahawa al-Azhar al-Syarif adalah sebahagian daripada institut ini dan institut ini juga sebahagian daripada universiti al-Azhar al-Syarif.

Kita diikatkan dengan kalimah tauhid, kalimah ikhlas dan kepentingan umum yang ada kaitan dengan agama dan kehidupan kita.
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda dalam hadithnya yang bermaksud:
'Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam kasih sayang, tolong-menolong dan kemesraan sesama mereka adalah umpama satu badan di mana apabila satu anggota sakit, maka anggota lain pun turut mengalami kesusahan berjaga malam'.

Apabila saya berada di institut ini yang diasaskan atas takwa kepada Allah S.W.T. dan ia mewujudkan fakulti-fakulti perundangan Islam, bahasa Arab dan usuluddin maka saya merasa sungguh bahagia dan bertuah. Insya Allah pada masa yang akan datang, pengajian di institusi ini akan berkembang kepada fakulti-fakulti yang lain yang juga akan menyumbang kepada agama, kebenaran dan menerapkan nilai-nilai yang murni di kalangan pelajar-pelajarnya. Apa yang kita harapkan ialah semua fakulti-fakulti pengajian seperti ini tidaklah hanya wujud di negeri Kedah Darul Aman sahaja, malah ianya akan wujud juga di seluruh negeri-negeri yang ada di Negara Malaysia yang tercinta ini. Ini kerana umat yang ingin mencapai tahap umat yang maju seharusnya memiliki semua bidang ilmu pengetahuan yang ada dan berusah

Semua fakulti-fakulti ini iaitu Fakulti Syar’iah yang menitikberatkan soal-soal ilmu feqah, Fakulti Bahasa Arab yang menitikberatkan tentang selok-belok bahasa Arab, Fakulti Usuluddin yang menitikberatkan dari sudut aqidah dan juga fakulti-fakulti yang lain seperti Fakulti Perubatan, Pertanian, Sains, Kejuruteraan dan sebagainya, seandainya tersebar luas di kalangan umat Islam, maka ianya akan menjadi asas yang amat kuat dalam membina tamadun umat ini.

Rasulullah s.a.w. sendiri telah memberikan kepada kita sebaik-baik contoh betapa perlunya umat Islam menguasai ilmu yang berguna. Mereka sepatutnya mengamalkan ilmu tersebut bagi membela agamanya, menyumbang ke arah kebenaran dan menerapkan nilai-nilai murni dalam masyarakat. Dalam kitab Sahih Bukhari ada menyebut, setelah Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah, baginda memerintah Saidina Zaid bin Abi Thabit supaya mempelajari dua bahasa iaitu bahasa Sirianiah dan Ibriah. Saidina Zaid bin Thabit mempelajari kedua-dua bahasa tersebut dalam masa 12 hari sahaja. Kenapa Rasulullah memerintahkan sedemikian?

Ini kerana baginda tidak mahu umat Islam hanya menjadi 'ulama’' yang pandai dan bijak dari segi agama semata-mata. Rasulullah mahu melihat dari kalangan umat Islam cendekiawan-cendekiawan yang dapat menguasai bidang-bidang ilmu yang lain yang menjadi keperluan dalam kehidupan ini. Dan juga supaya umat Islam dapat mengelak dari tertipu dan terpedaya dengan umat-umat lain dengan menguasai bahasa-bahasa mereka. Demikianlah kata-kata hukama’: 'Barangsiapa menguasai bahasa sesuatu kaum itu, maka dia akan terselamat dari tipu daya mereka'.

Mereka yang berada di kalangan para ulama’ dan orang-orang yang mempelajari ilmu, pasti berasa amat gembira kerana golongan seperti ini adalah orang-orang yang baik yang dapat mengangkat martabat umat. Mereka juga akan terhindar dari sebarang penyelewengan dan ekstrim.

Manusia yang bukan Islam menurut kaca mata Islam terbahagi kepada tiga golongan:

Golongan Pertama:


Golongan yang bukan Islam yang tinggal di negara mereka manakala kita yang Islam tingal di negara kita. Mereka dengan aqidah mereka dan kita pula dengan aqidah kita. Dan mereka ini tidak berseteru dengan kita dan tidak menganggu ketenteraman kita. Dalam hal sebegini, kita boleh bertukar-tukar fikiran dan pengalaman dengan mereka ini di dalam skop yang tidak diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Allah menjelaskan hal ini dalam firman-Nya yang bermaksud:
'Maka selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus pula terhadap mereka, sesungguhnya
Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa'.(Surah al-Taubah : 7)
Golongan Kedua:


Golongan yang bukan Islam yang tidak tinggal bersama kita. Mereka tinggal di negara sebelah Selatan, Utara atau di tempat-tempat lain lagi dan mereka ini mengambil tindakan berseteru dengan kita, memburukkan ekonomi kita dan menganggu kestabilan dan kepentingan kita. Islam telah meletakkan peraturan yang jelas berkenaan orang-orang seperti ini sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
'Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu,
dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan), kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh'.(Surah al-Baqarah : 190)
Golongan Ketiga:


Golongan yang bukan Islam yang tinggal bersama kita di sebuah negara dan mempunyai kepentingan bersama. Syariat Islam meletakkan satu peraturan yang perlu dipatuhi sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
'Bagi mereka apa-apa yang ada pada kita dan ke atas mereka apa-apa yang dikenakan ke atas kita'.
Dalam erti kata lain, kepentingan mereka sama dengan kepentingan kita dan hukuman ke atas mereka juga sama dengan hukuman yang dikenakan ke atas kita. Demikianlah kita dapati syariat Islam amat jelas dalam hal ini sebagaimana jelasnya matahari di waktu siang yang tiada sebarang kekaburan.
Syariat Islam amat jelas dari segi aqidah, ibadat, muamalat dan lain-lain lagi. Syariat Islam juga amat jelas dari segi Amar Makruf dan Nahi Mungkar. Contohnya dari sudut aqidah, syariat Islam mengajak manusia menyembah Allah semata-mata dan melarang manusia menyembah makhluk-makhluk yang lain. Terdapat berpuluh-puluh ayat al-Qur’an yang menyeru kita semua supaya memiliki aqidah yang betul dengan disertakan dalil-dalil yang membuktikan kebenarannya.

Sememangnya al-Qur’an apabila menyeru kita kepada sesuatu kebaikan maka ia akan mengemukakan bukti-bukti yang jelas terhadap kesan-kesan baik bagi seruan tersebut. Sebaliknya apabila Islam melarang anda dari melakukan sesuatu perkara, ia akan membuktikan kepada anda tentang implikasi buruk yang akan timbul dari perkara tersebut.
Kita dapati dalam al-Qur’an juga terdapat berpuluh-puluh dalil yang kuat yang membuktikan bahawa seluruh Rasul yang diutuskan adalah membawa ajaran Islam yang sama iaitu mentauhidkan Allah S.W.T. dengan sebenar-benarnya. Bacalah al-Qur’an dan anda akan dapati bahawa semua Rasul-Rasul yang diutuskan telah menyeru kaum mereka dengan seruan yang sama, sebagaimana yang dijelaskan dalam al-Qur’an yang bermaksud:
'Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah, (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya'.(Surah al-A’raf : 59)

Dalam surah al-Syura, Allah menjelaskan bahawa agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. kepada kita ialah agama yang dibawa oleh Nabi pada zaman silam. Firman Allah yang bermaksud:
Allah telah menerangkan kepada kamu - di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya - apa yang telah diperintahkan-Nya kepada Nabi Nuh, dan yang telah Kami (Allah) wahikan kepadamu (wahai Muhammad), dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: 'Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya'.(Surah al-Syura : 13)

Demikianlah syariat Islam dalam ketegasannya berkenaan aqidah supaya insan-insan ini mentauhidkan Allah dan di waktu yang sama, melarang sekeras-kerasnya dari syirik dan pengaruhnya. Firman Allah yang bermaksud:
'Dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah, maka seolah-olah dia jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau dihumbankan oleh angin ke tempat yang jauh (yang membinasakan)'. (Surah al-Hajj : 31)

Begitu juga kita dapati, Islam menerapkan aqidah dalam hati kita dengan cara mengemukakan dalil-dalil yang logik supaya manusia dapat beriman dengan keimanan yang kuat, tidak mudah luntur dan pudar. Al-Qur’an juga tidak menyebut satu dalil sahaja bahkan ia mengemukakan berpuluh-puluh dalil supaya manusia berpuas hati dengan iman mereka. Ini kerana aqidah dan iman bukan sesuatu perkara yang boleh dijual beli. Sebagaimana saya pernah berkata: 'Saya tidak setuju dengan pendapat bahawa aqidah itu sebahagian dari kita, tetapi saya berpendapat bahawa kita adalah sebahagian dari aqidah'. Ini kerana sebab aqidahlah kita hidup dan sebab aqidahlah kita sanggup mati dan kerana akidahlah kita bersahabat dan kerana aqidah jugalah kita berseteru.

Oleh itu, apabila saya ditanya tentang gejala riddah (murtad), saya sendiri amat benci mendengarnya. Saya di pejabat al-Azhar, Mesir didatangi tiap-tiap hari oleh berpuluh-puluh orang untuk memeluk Islam. Sebagaimana yang pernah saya ceritakan betapa seorang perempuan tua yang menjangkau usia 80 tahun dari negara Denmark telah datang ke pejabat saya. Perempuan ini telah membaca al-Qur’an dan juga membaca hadith Nabi serta kitab-kitab agama Islam. Dia berkata, 'Mustahil Islam menganjurkan perseteruan sesama manusia bahkan sebaliknya agama Islam adalah agama yang sebenar'. Dia meninggalkan agama dan aqidahnya kerana dia berpuas hati dengan al-Qur’an yang mengajak manusia pada nilai-nilai yang baik dan tinggi. Akhirnya perempuan ini membawa hartanya dan datang ke pejabat saya lalu mengucap d

Terfikirkah anda bahawa perempuan yang tua ini memeluk Islam kerana kebendaan atau kerana sesuatu kepuasan duniawi? Sekali-kali tidak. Tetapi dia memeluk Islam setelah dia berpuas hati dengan ajaran Islam yang difahaminya melalui pembacaan. Kita mendapati pada setiap hari ramai orang yang bukan Islam datang memeluk Islam, Alhamdulillah. Jika ada manusia
yang dikuasai oleh syaitan dan kehidupannya digadaikan kepada syaitan dan hawa nafsu, lalu dia tidak sembahyang, tidak berpuasa, tidak mengeluarkan zakat, tidak berbangga dengan ajaran Islam dan akhirnya dia bertindak meninggalkan Islam kerana dia tidak beriman dengan mana-mana agama dan tujuan hidupnya adalah semata-mata untuk bersuka ria maka manusia seperti inilah yang dimaksudkan dengan firman Allah:
'Kalaulah mereka keluar bersama kamu, tidaklah mereka menambahkan kamu melainkan kerosakan'. (Surah al-Taubah : 47)

Manusia yang seperti ini sekiranya dia bertindak meninggalkan Islam dan keluar daripada agama Islam, maka sebenarnya Islam ketika itu telahpun selamat dari kejahatannya. Kita wajib mengambil tindakan ke atasnya sekiranya ia memburuk-burukkan Islam ataupun menyebut Islam dengan sesuatu yang bertentangan dengan kesucian Islam. Apabila ia bertindak sedemikian dia berhak dihukum dengan hukuman-hukuman yang sejajar dengan kesalahannya.

Aqidah juga satu perkara yang tidak boleh dipaksa sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
'Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)'. (Surah al-Baqarah : 256)

Sekiranya saya mengurung seorang musyrik dan saya memaksa dia beriman kepada Allah, adakah Islam mendapat sebarang faedah dari orang seperti ini? Pengislaman yang dipaksa tidak akan menghasilkan orang Islam yang benar-benar beriman tetapi sebaliknya ia akan mewujudkan pendusta-pendusta yang munafik. Aqidah sepatutnya menyerap di dalam diri seseorang Muslim sebagaimana darah yang mengalir dalam tubuh badan manusia. Begitu juga apabila Islam meminta anda mengerjakan sesuatu ibadat, maka ia akan menyatakan faedah-faedahnya yang diperolehi daripada ibadat yang dianjurkan itu. Sebagai contoh, apabila al-Qur’an menyuruh kita bersolat maka al-Qur’an akan menyatakan kesan-kesan dan faedah-faedah yang baik dari solat itu sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
'Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar'. (Surah al-Ankabut : 45)

Dan demikianlah juga dengan ibadat-ibadat yang lain. Pendek kata, segala ibadat dalam Islam akan membina nilai-nilai murni dalam diri manusia seperti ikhlas, benar, merendah diri dan sebagainya. Dan dalam waktu yang sama, ibadat juga akan menghindarkan kita dari sifat-sifat keji seperti syirik, takabbur, riak dan seumpamanya.
Dari segi muamalat iaitu perhubungan manusia dengan manusia maka kita juga dapati betapa syariat Islam amat jelas dan terang. Sudah semestinya saya berhajat kepada orang lain dan juga memerlukan kepada sesuatu barang seperti barang makanan, pakaian dan ubat-ubatan. Saya terpaksa sama ada membeli barang-barang itu dari orang lain ataupun berhutang atau sebagainya. Ini bererti bahawa manusia di dunia ini saling perlu memerlukan antara satu sama lain. Dalam al-Qur’an dijelaskan bahawa setiap orang dari kita dijadikan oleh Allah bagi berkhidmat dan membantu orang lain. Misalnya doktor semestinya dijadikan oleh Allah untuk berkhidmat kepada orang yang sakit, guru berkhidmat untuk murid dan begitulah seterusnya di mana kita mempunyai tugas masing-masing yang perlu dilaksanakan dengan cara yang 
'Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik, dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan'. (Surah al-Nahl : 97)

Dalam semua peraturan muamalat Islam, kita dapati ianya bercirikan kemudahan, keadilan, tiada unsur-unsur kezaliman dan penipuan. Semua jenis muamalat adalah diharuskan di dalam
Islam dengan didasarkan kepada keredhaan kedua-dua belah pihak dan tidak terkeluar daripada lingkungan apa yang dihalalkan oleh Allah S.W.T. Oleh sebab itulah maka kita dapati berpuluh-puluh bentuk muamalah Islamiah yang tersebut dalam kitab-kitab fekah mazhab Syafie, Maliki, Hanafi dan Hambali.
Dari sudut akhlak dan nilai-nilai murni pula kita dapati syariat Islam menyeru dan menganjurkan nilai-nilai yang tinggi lagi murni sepertimana yang terdapat dalam al-Qur’an dan hadith-hadith Nabi. Bacalah al-Qur’an dan kita akan dapat berpuluh-puluh ayat yang menyentuh perkara-perkara ini seperti di dalam surah Luqman ketika Luqman berwasiat kepada anaknya. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:
'Hendaklah kamu bercakap benar, kerana bercakap benar akan menjadikan kamu orang yang baik, kebaikan pula akan membawa kamu ke syurga'.

Orang-orang yang dapat menerangkan dan menyeru umat manusia kepada nilai-nilai Islam yang tinggi lagi unggul dari segi aqidah, ibadat, muamalat dan akhlak ialah para ulama’ sama ada lelaki mahupun perempuan. Sesebuah negeri atau kampung yang mempunyai ramai cendekiawan-cendekiawan yang berhati mulia lagi diterangi dengan cahaya iman, maka negeri dan kampung tersebut memiliki sebilangan besar orang-orang yang membina dan tidak meruntuh, yang membangun dan tidak meroboh serta yang memperbaiki dan tidak merosakkan di dalam semua aspek kehidupan ini. Oleh itu, semua orang-orang ini pasti bertanggungjawab menjalankan tugas masing-masing dengan cara yang terbaik. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
'Sesungguhnya Allah amat kasih kepada seseorang hamba yang tekun di dalam pekerjaannya'.

Sekiranya ini terdapat di dalam sesebuah negara, maka negara itu akan dapat menambah kemajuan, pembangunan, keselesaan hidup dan seterusnya akan mendapat restu dari Allah S.W.T.
Al-Azhar Syarif berjanji akan menyumbang sedaya upaya kami untuk kemajuan institut ini khususnya dan kepada seluruh umat Islam amnya. Percayalah bahawa negara Malaysia disanjung oleh tiap-tiap orang Mesir kerana kami amat mengenali teman-teman kami di Malaysia ini yang dianugerahkan sifat-sifat ketenangan, ketulusan fikiran yang waras, suka berbuat baik dan lain-lain lagi.

Kerana itulah maka kami semua merasa berbahagia apabila berada di negara ini. Saya secara peribadi amat suka kepada semua warga Malaysia sama ada pemimpin mahupun rakyat jelata. Mudah-mudahan Allah akan memberkati negara Malaysia ini dan juga negara-negara Islam yang lain.
Sekian terima kasih.

Thursday 23 January 2014

KEWAJIPAN MENUTUP AURAT

 Ditulis oleh : Ummu Abdillah

Dewasa ini kita menyaksikan ramai wanita yang telah memakai tudung di tempat-tempat awam samada yang berjubah, berbaju kurung atau berseluar. Ini merupakan satu fenomena yang baik jika dibandingkan dengan zaman datuk nenek kita yang mana sukar untuk kita melihat para wanita memakai tudung. Namun begitu, ada juga sesetengah wanita di zaman ini yang kurang mengerti apakah pengertian sebenar menutup aurat. Sekadar memakai tudung di tempat-tempat awam telah disangkanya menutup aurat, sedangkan menutup aurat dan hanya memakai tudung melitupi kepala adalah dua perkara yang berbeza. Fenomena bertudung ini akan bertambah baik sekiranya para wanita memahami pengertian aurat dan bagaimana menutup aurat dengan sempurna serta mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Artikel ini akan cuba untuk mendefinisikan apakah aurat wanita yang sebenar dan penulis akan membawakan dalil yang menunjukkan kewajipan menutup aurat menurut al-Quran dan Sunnah, syarat-syarat pakaian yang menutup aurat menurut syara’ serta definisi mahram.

Kepentingan menutup aurat

                Mengapa manusia perlu menutup aurat? Dan mengapa urusan berpakaian ini tidak diserahkan kepada manusia? Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah pencipta kita, Dia lebih mengetahui perihal hambaNya lebih daripada hambaNya mengenali dirinya sendiri. Jika urusan pakaian ini diserahkan kepada manusia, nescaya ia boleh membawa kepada kerosakan. Kita lihatlah sendiri, sedangkan hukum pun telah ditetapkan, ramai wanita yang hampir sahaja bertelanjang di luar sana, apatah lagi jika hukum ini diserahkan kepada manusia. Setiap insan, baik lelaki mahupun wanita, perlulah berpegang teguh dengan pakaian syar’ie iaitu cara penutupan aurat yang telah ditetapkan oleh Allah. Tidak semestinya perihal berpakaian ini termasuk urusan keduniaan, maka kita sewenang-wenangnya boleh melanggar perintah ini. Seperti yang kita sedia maklum, Islam merupakan agama yang meliputi urusan akhirat dan dunia. Oleh itu, ketaatan merupakan suatu kewajipan bagi kita terhadap kedua-dua jenis urusan ini, baik ukhrawi mahupun duniawi.

Definisi aurat

Dari segi bahasa, aurat membawa maksud kecacatan atau keaiban pada sesuatu. Ia juga bermaksud apa jua yang ditutupi oleh manusia kerana rasa malu[1]. Manakala secara istilahnya, aurat bermaksud setiap anggota yang wajib ditutup dan haram untuk dilihat[2]. Di sini, penulis akan membincangkan apakah anggota yang wajib ditutup oleh seorang wanita Muslimah yang telah baligh. Apabila kita membincangkan aurat yang wajib ditutup, ia mempunyai cabang yang banyak; aurat di hadapan mahram, aurat di hadapan bukan mahram (ajnabi), aurat di hadapan suami, aurat di hadapan wanita Muslimah atau kafir. Tulisan ini secara khususnya akan membincangkan aurat yang wajib ditutup di hadapan bukan mahram. Definisi mahram dan penerangan lanjut mengenainya akan diterangkan kemudian di dalam penulisan ini.

Dalil wajibnya menutup aurat

                Kewajipan menutup aurat telah disebut oleh Allah Ta’ala di dalam al-Quran di beberapa tempat. Antaranya, Allah Ta’ala berfirman :

وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ

Maksudnya : Katakanlah kepada wanita yang beriman : Hendaklah mereka menahan pandangan mereka   dan memelihara kemaluan mereka, dan janganlah mereka menampakkan perhiasan mereka kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutup kain tudung ke dadanya… (al-Nuur : 31)

Allah Ta’ala juga menyebut di dalam al-Quran :

وَالْقَوَاعِدُ مِنَ النِّسَاءِ اللَّاتِي لَا يَرْجُونَ نِكَاحًا فَلَيْسَ عَلَيْهِنَّ جُنَاحٌ أَنْ يَضَعْنَ ثِيَابَهُنَّ غَيْرَ مُتَبَرِّجَاتٍ بِزِينَةٍ وَأَنْ يَسْتَعْفِفْنَ خَيْرٌ لَهُنَّ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya : Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti (dari haid dan mengandung) yang tidak ingin kahwin (lagi), tiadalah dosa atas mereka menanggalkan pakaian (pakaian luar yang kalau dibuka tidak menampakkan aurat) mereka dengan tidak (bermaksud) menampakkan perhiasan, dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. (al-Nuur : 60)

Seterusnya, Allah Ta’ala juga menyebut :

 يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Maksudnya : Hai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin : “Hendaklah mereka menghulurkan jilbabnya ke seluruh tubuh mereka”. Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (al-Ahzab : 59)

Ini ialah perintah yang turun dari tujuh petala langit kepada para wanita Muslimah supaya memelihara aurat dan kehormatan mereka. Dan hendaklah para wanita bersegera untuk menyahut seruan Allah ini kerana ia merupakan tanda keimanan, kehambaan serta kepatuhan kita kepadaNya. Ayat-ayat suci ini diulas dan diperincikan dengan lebih lanjut oleh hadis-hadis Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam supaya para wanita memahami bagaimanakah untuk menutup aurat seperti yang dikehendaki oleh agama dan bukannya menutup aurat mengikut syariat sendiri ataupun kemahuan sendiri.

Dalam masalah aurat ini, Dr. Abdul Karim Zaidan hafizhahullah mengatakan kaedah yang diguna pakai secara umumnya ialah : “Setiap aurat wanita wajib ditutup dan disembunyikan dari pandangan lelaki yang bukan mahram, dan anggota badan wanita yang bukan aurat boleh dinampakkan dan tidak perlu ditutup dari pandangan lelaki yang bukan mahram melainkan jika ada sebab-sebab tertentu”[3]. Apakah anggota badan wanita yang dikira aurat dan apa pula yang bukan aurat? Majoriti para ulama’ mengatakan bahawa seluruh anggota badan wanita ialah aurat kecuali muka dan kedua tapak tangannya. Ibn ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu menafsirkan ‘kecuali yang (biasa) nampak daripadanya’ dari ayat 31 dalam surah al-Nuur sebagai muka dan tapak tangan[4].  Jadi setiap wanita Muslimah yang telah baligh wajib menutup seluruh anggota badannya dari pandangan lelaki yang bukan mahram kecuali muka dan kedua tapak tangannya.

Dalam sebuah hadis Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha maksudnya : “Asma’ binti Abi Bakr al-Siddiq masuk menemui Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam dan dia memakai pakaian yang nipis, Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berpaling daripadanya dan berkata : ‘Wahai Asma’, sekiranya seorang wanita telah didatangi haid, anggota badannya tidak boleh diperlihatkan kecuali ini dan ini’, Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam mengisyaratkan ke mukanya dan kedua tapak tangannya”[5].

Syarat pakaian wanita Muslimah

Menutup aurat bukanlah juga semata-mata tidak menampakkan anggota badan kecuali muka dan tapak tangan, tetapi syariat Islam telah menetapkan beberapa syarat pada pakaian wanita Muslimah. Setiap syarat ini perlu dipatuhi supaya ianya memenuhi maksud menutup aurat itu sendiri. Jika salah satu syarat ini tidak dilaksanakan oleh seseorang wanita itu, maka ia tidak dikira sebagai menutup aurat.

Pertama; hendaklah pakaian itu melitupi seluruh badan kecuali anggota yang bukan aurat. Syarat ini telah dibahaskan serba-sedikit di atas. Di sini, penulis akan menyebutkan jenis-jenis pakaian wanita yang digunakan untuk menutup aurat.

1)       Khimar (tudung). Perkataan khimar ini ada disebutkan di dalam al-Quran dalam surah al-Nur ayat 31. Allah Ta’ala berfirman : وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ. Khimar bermaksud kain yang digunakan untuk menutup kepala. Disebutkan di dalam tafsir al-Qurtubi bahawa sebab ayat ini turun adalah kerana wanita pada masa itu memakai tudung dengan mengikatnya dan melabuhkannya ke belakang, oleh itu ia menampakkan leher dan telinga. Kemudian Allah memerintahkan supaya tudung tersebut dilabuhkan ke atas tempat potongan leher supaya ia menutup dada mereka[6]. Oleh itu, dari ayat ini serta sebab turunnya ayat ini, jelaslah seorang wanita Muslimah itu mesti memakai tudung dengan sempurna dengan tidak menampakkan leher, telinga dan dada.

2)       Jilbab. Perkataan jilbab disebut di dalam al-Quran dalam surah al-Ahzab ayat 59. Allah Ta’ala berfirman : يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ذَلِكَ أَدْنَى أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا. Ibn al-‘Arabi rahimahullah berkata mengenai tafsir ayat di atas : ‘Manusia berselisih pendapat mengenai makna ‘jilbab’ dengan lafaz yang saling menghampiri maknanya antara satu sama lain. Secara umumnya, ia adalah baju yang dipakai untuk menutup seluruh anggota badan’[7]. Jilbab atau dalam erti kata lainnya, pakaian yang menutup aurat wanita itu wajib dipakai ketika keluar dari rumah supaya aurat wanita terlindung dari pandangan lelaki ajnabi. Selain itu, ia juga wajib dipakai walaupun di dalam rumah sekiranya ada lelaki yang bukan mahram. Ini adalah satu perkara yang sering disalah fahami oleh wanita zaman sekarang. Mereka beranggapan bahawa menutup aurat itu hanya apabila keluar dari rumah sedangkan aurat itu perlu ditutup dari terlihat oleh lelaki yang bukan mahram, tidak kiralah walau di mana jua pun tempatnya.

Kita telah mengetahui bahawa wanita wajib menutup seluruh anggota badannya kecuali muka dan tapak tangan, adakah ini bermakna panjang kain wanita itu tiada hadnya dan dia boleh melabuhkannya sesuka hati? Kita lihat suatu hadis yang berbunyi : ‘Ummu Salamah radhiyallahu ‘anha isteri Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata kepada Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam ketika Baginda menyebut mengenai kain sarung (larangan melabuhkannya bagi lelaki) : Bagaimana pula dengan wanita wahai Rasulullah? Baginda berkata : Labuhkanlah ia sejengkal. Ummu Salamah berkata : Jadi akan terlihatlah kaki kami. Baginda berkata lagi : Labuhkanlah sehasta dan tidak boleh lebih dari itu’[8]. Maksud hadis ini ialah wanita boleh melabuhkan kainnya dengan kadar sehasta dari paras tengah betis dan tidak boleh lebih dari itu kerana hadis ini telah jelas melarangnya. Pada zaman Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam, para wanita melabuhkan kain untuk menutup kedua kakinya.

Kedua; hendaklah pakaian itu tebal dan tidak nipis. Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : ‘Dua golongan dari ahli neraka yang tidak pernah aku lihat : satu kaum yang mempunyai cemeti seperti ekor lembu, mereka memukul manusia dengannya, dan wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, mereka jauh dari ketaatan kepada Allah serta mengajar yang lain tentang perbuatan mereka (tidak menutup aurat), kepala mereka seperti bonggol unta, mereka ini tidak masuk syurga dan tidak mencium bau syurga sedangkan bau syurga itu dapat dihidu dari jarak ini dan ini’[9].

                Hadis ini menunjukkan bahawa haramnya bagi seorang wanita untuk memakai pakaian yang nipis yang menampakkan warna kulit. Ibn Abd al-Barr berkata : ‘Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam memaksudkan wanita yang memakai pakaian yang nipis yang menyifatkan badan mereka serta tidak menutupinya, mereka ini secara namanya berpakaian tetapi pada hakikatnya bertelanjang’[10].

                Ketiga; hendaklah pakaian itu longgar dan tidak ketat. Pakaian yang ketat dan menampakkan susuk tubuh wanita tidak memenuhi maksud menutup aurat kerana ia boleh membangkitkan syahwat dan mendatangkan fitnah serta kerosakan. Pakaian yang ketat tetap dilarang walaupun ianya tebal dan tidak nipis. Dalam sebuah hadis dari Ibn Usamah bin Zaid dari bapanya, beliau berkata : ‘Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam memakaikan aku qubtiyyah (sejenis pakaian dari Mesir yang nipis berwarna putih)  yang tebal, yang dihadiahkan oleh Dihyah al-Kalbi. Lalu aku memakaikannya pada isteriku. Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata kepadaku : ‘Mengapa kamu tidak memakai qubtiyyah?’ Aku berkata : ‘Wahai Rasulullah, aku telah memakaikannya pada isteriku’. Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : ‘Pergilah kepadanya dan suruhlah dia memakai ghilalah[11] di bawahnya, sesungguhnya aku takut ia akan menampakkan susuk tubuhnya’[12].

                Apakah faedahnya memakai pakaian lain di dalam sedangkan baju tersebut adalah tebal? Ini kerana ada baju yang boleh menampakkan susuk tubuh walaupun ia tebal kerana tekstur baju tersebut yang lembut dan licin. Maka oleh itu, wanita perlulah memakai pakaian lain di dalamnya supaya tidak menampakkan lekuk tubuh. Begitu juga jika pada asalnya baju tersebut memang ternyata ketat dan mengikut bentuk tubuh badan, maka ia juga tidak memenuhi syarat menutup aurat dan seorang wanita Muslimah tidak boleh berpakaian sedemikian rupa.

                Keempat; pakaian tersebut tidak menyerupai pakaian lelaki. Ibn ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu berkata : ‘Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam melaknat lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki’[13]. Apabila dalam suatu hadis menyebut perkataan ‘laknat’, ini membawa maksud bahawa perbuatan itu merupakan suatu dosa yang besar. Terdapat banyak lagi hadis yang melarang lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki. Ibn Hajar rahimahullah menjelaskan bahawa perkara yang dilarang serupa antara lelaki dan wanita ialah pakaian, perhiasan, cara bercakap dan cara berjalan[14].

Definisi mahram

                Adalah amat penting bagi para wanita untuk mengetahui siapakah mahram mereka supaya mereka dapat menjaga aurat dari terlihat oleh orang yang tidak sepatutnya. Mahram ialah lelaki yang haram dikahwini oleh seseorang wanita buat selama-lamanya contohnya bapa kepada si perempuan. ‘Kemahraman’ seseorang itu boleh terjadi sebab nasab (keturunan), penyusuan atau al-mushoharah (disebabkan oleh perkahwinan).

                Mahram dari sebab keturunan disebutkan oleh Allah Ta’ala dalam ayat 31 surah al-Nur.  Mereka ialah :

Bapa; iaitu bapa dan ke atas (datuk, moyang dan seterusnya) kepada si perempuan, samada dari sebelah bapa atau ibunya.
Anak lelaki; iaitu anak kepada si perempuan. Termasuk di dalamnya ialah anak lelaki kepada anak (cucu) dan ke bawah, samada daripada anak lelaki atau perempuan.
Adik-beradik lelaki; samada daripada yang seibu dan sebapa, atau seibu sahaja atau sebapa sahaja.
Anak lelaki kepada adik-beradik lelaki dan ke bawah.
Anak lelaki kepada adik-beradik perempuan dan ke bawah.
Bapa saudara dari sebelah ibu dan bapa; mereka adalah mahram yang disebabkan keturunan walaupun tidak disebutkan dalam ayat 31 surah al-Nur. Ini kerana mereka menduduki tempat ibubapa. Bapa saudara turut dipanggil bapa; ini direkodkan dalam al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 133, apabila anak-anak Nabi Yaakob ‘alayhis-salam berkata : ‘Kami (akan) menyembah Tuhanmu dan Tuhan bapa-bapamu (iaitu) Ibrahim, Isma’il dan Ishaq..’. Nabi Isma’il ‘alayhis-salam adalah bapa saudara kepada anak-anak Nabi Yaakob ‘alayhis-salam.
Manakala mahram yang disebabkan oleh penyusuan pula disebut dalam suatu hadis dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha beliau berkata : Selepas turunnya ayat hijab, Aflah, saudara kepada Abu Qu’ais, meminta izin daripadaku untuk masuk, aku berkata : Aku tidak akan benarkan sehinggalah aku minta izin daripada Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam, ini kerana bukan Abu Qu’ais yang menyusukan aku tetapi isterinya yang telah menyusukan aku. Kemudian Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam masuk kepadaku, lalu aku berkata kepada Baginda : Aflah, saudara Abu Qu’ais meminta izin kepadaku tetapi aku tidak benarkan sehinggalah aku meminta izin darimu. Lalu berkata Nabi shallallahu ‘alayhi wa sallam : ‘Apa yang menghalang engkau untuk membenarkan bapa saudaramu masuk kepadamu?’ Aku berkata : Wahai Rasulullah, sesungguhnya bukan lelaki itu yang menyusukan aku tetapi isteri Abu Qu’ais yang menyusukan aku. Baginda shallallahu ‘alayhi wa sallam berkata : ‘Izinkanlah dia, sesungguhnya dia adalah bapa saudaramu’. Berkata ‘Urwah : Oleh itu, ‘Aisyah mengatakan apa yang haram disebabkan keturunan itu adalah haram juga disebabkan penyusuan[15].

Dan mahram yang disebabkan oleh mushoharah bermaksud mahram yang disebabkan oleh perkahwinan. Contohnya, bapa kepada si suami (bapa mertua) menjadi mahram dan haram berkahwin dengannya selama-lamanya walaupun perempuan tadi telah bercerai dengan suaminya. Begitu juga anak lelaki kepada si suami yang datang daripada isterinya yang lain juga menjadi mahram kepada perempuan tadi. Dan suaminya juga menjadi mahram kepada ibu perempuan.

Inilah serba-sedikit perincian mengenai hukum-hakam dalam menutup aurat. Semoga para wanita Muslimah dapat memahami apakah tuntutan syara’ yang sebenar dalam kewajipan mereka untuk menutup aurat dan semoga setiap butir ilmu ini dijadikan amalan dan praktikal dalam kehidupan seharian. Allahu’alam.

[1] Mu’jam al-Wasith, hlm. 667.
[2] Mustafa al-Bugha dan lain-lain, al-Fiqh al-Manhaji, jil. 1, hlm. 125.

[3] Abdul Karim Zaidan, al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah wa al-Bait al-Muslim, jil. 3,  hlm. 183.

[4] Diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dan al-Baihaqi. Lihat : Al-‘Azhim Abadi, ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, jil. 11, hlm. 98.

[5] Diriwayatkan oleh Abu Daud (hadis no. 4104 & 4106). Hadis ini disahihkan oleh al-Albani.

[6] Al-Qurtubi, Muhammad bin Ahmad, al-Jami’ li Ahkam al-Quran, jil. 12, hlm. 205.

[7] Ibn al-‘Arabi, Tafsir Ibn al-‘Arabi, jil. 3, hlm. 1574.

[8] Diriwayatkan oleh Abu Daud (hadis no. 4117)

[9] Diriwayatkan oleh Muslim (hadis no. 5704).

[10] Lihat : al-Albani, Hijab al-Mar’ah al-Muslimah, hlm. 126.

[11] Pakaian nipis  yang dipakai di dalam.

[12] Diriwayatkan oleh al-Dhiya’ al-Maqdisi, Ahmad, al-Baihaqi dengan sanad yang baik.

[13] Diriwayatkan oleh al-Bukhari (hadis no. 5546) dan Ibn Majah (hadis no. 1904)

[14] Ibn Hajar, Fath al-Bari, jil. 10, hlm. 332.                       

[15] Diriwayatkan oleh al-Bukhari (hadis no. 4518, 4815, 5804); Muslim (hadis no. 3646).



Wednesday 22 January 2014

APA ITU AKIDAH??

 Pengenalan
Akidah dari segi bahasa bererti simpulan iman ataupun pegangan yang kuat atau satu keyakinan yang menjadi pegangan yang kuat.

Akidah dari sudut istilah ialah kepercayaan yang pasti dan keputusan yang muktamat tidak bercampur dengan syak atau keraguan pada seseorang yang berakidah sama ada akidah yang betul atau sebaliknya

Akidah Islam ialah kepercayaan dan keyakinan terhadap Allah sebagai rabb dan Ilah serta beriman dengan nama-namaNya dan segala sifat-sifatNya juga beriman dengan adanya malaikat, kitab-kitab, para Rasul, Hari Akhirat dan beriman dengan taqdir Allah sama ada baik atau buruk termasuk juga segala apa yang datang dari Allah. Seterusnya patuh dan taat pada segala ajaran dan petunjuknya. Oleh itu, akidah Islam ialah keimanan dan keyakinan terhadap Allah dan RasulNya serta apa yang dibawa oleh Rasul dan dilaksanakan dalam kehidupan

Pengertian Akidah
Ilmu yang membicarakan perkara-perkara yang berkaitan keyakinan terhadap Allah swt dan sifat-sifat kesempurnaanNya.
Setiap umat Islam wajib mengetahui, mempelajari dan mendalami ilmu akidah supaya tidak berlaku perkara-perkara yang membawa kepada penyelewengan akidah kepada Allah swt

Akidah sebenar adalah akidah yang berdasarkan pada al-Quran dan As-Sunnah

Ilmu Akidah

Ilmu Tauhid
Ilmu yang menerangkan tentang sifat Allah swt yang wajib diketahui dan dipercayai

Ilmu Usuluddin
Suatu ilmu yang kepercayaan dalam agama Islam, iaitu kepercayaan kepada Allah swt dan pesuruhNya

Ilmu Makrifat
Suatu ilmu yang membahaskan perkara-perkara yang berhubung dengan cara-cara mengenal Allah swt

Ilmu Kalam
Sesuatu ilmu yang membahas tentang akidah dengan dalil-dalil aqliah (ilmiah) sebagai perisai terhadap segala tentangan daripada pihak lawan

Ilmu Akidah
Suatu ilmu yang membahas tentang perkara-perkara yang berhubung dengan keimanan kepada Allah swt

Huraian Rukun Iman
Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, dari Umar Ibni Al-Khattab r.a bahawa di dalam pertemuan malaikat Jibril dengan Rasulullah saw di dalam sebuah majlis yang dihadiri oleh ramai sahabat-sahabat Rasulullah saw maka Jibril telah mengemukakan pertanyaan kepada Rasulullah saw yang bermaksud:-
“Jibril telah berkata kepada Rasulullah, kamu terang kepadaku mengenai iman maka jawab Rasulullah, iman itu ialah bahawa kami beriman kepada Allah, kepada malaikat, kepada kitab-kitab, kepada rasul-rasul, kepada hari kemudian dan kamu beriman bahawa habuan dan peruntukan bagi kamu sama ada baik atau buruk adalah semua daripada Allah swt, maka Jibril pun berkata kamu telah berkata benar.”

Jadi, dari ayat Al-Quran dan hadith dapatlah disimpulkan bahawa iman itu ialah 6 perkara iaitu:
Percaya kepada Allah
Percaya kepada Malaikat
Percaya kepada Kitab
Percaya kepada Rasul
Percaya kepada Hyari Kiamat
Percaya kepada Qada’ dan Qadar
Percaya Kepada Allah Swt

Erti beriman dengan Allah Ta’ala itu ialah mengetahui, percaya dan beriktikad dengan perkara-perkara yang wajib, perkara-perkara mustahil dan perkara yang harus bagi Allah Ta’ala.

Beriman dengan Allah juga bermaksud:
Membenarkan dengan yakin akan adanya Allah

Membenarkan dengan yakin akan keEsaan Allah, baik dalam perbuatanNya menjadikan alam dan makhluk seluruhnya mahupun dalam menerima ibadat setiap makhluk

Membenarkan dengan yakin bahawa Allah bersifat dengan segala sifat kesempurnaan, suci dari segala kekurangan dan suci juga dari menyerupai segala yang baharu

“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu (menjadi orang-orang yang ) bertaqwa –
(Surah Al-Baqarah:21)

Ertinya bahawa Allah itu adalah pencipta setiap benda yang ada di alam ini termasuk bumi langit dan planet-planet yang lain, yang dapat dilihat atau tidak, semuanya adalah kepunyaan Allah swt

Percaya kepada Allah ini adalah pokok kepada kepercayaan atau rukun-rukun iman yang lain kerana dengan adanya Allah maka adanya yang lain-lain itu.

Tauhid Rububiyah dan Uluhiyyah Allah swt

Tauhid Rububiyah bermaksud hanya Allah sahaja sebagai Rabb (pencipta, pemilik, pemerintah, memberi rezeki dan seumpamanya). Tidak boleh dijadikan, dianggap atau dirasakan yang lain sebagai rabb atau bersama-sama Allah menjadi Rabb.

Tauhid Uluhiyyah bermaksud orang Islam yang beriman dengan keimanan yang sebenar, dia hanya mengambil Allah sebagai Ilah. Dia tidak meletakkan Allah bersama-sama yang lain sebagai Ilah. Allah sahaja sebagai pujaan dan sembahannya. Maksud Ilah ialah sesuatu yang dipuja dan disembah.

Mempelajari dan memahami ajaran Allah
Maksud beriman kepada Allah juga sepatutnya kita mempelajari dan memahami segala yang datang daripada Allah melalui RasulNya sama ada dalam al-Quran atau al-Sunnah. Maksud beriman kepada Allah bukan sekadar percaya tentang kewujudan Allah tetapi termasuk juga segala apa yang datang daripada Allah swt

Yakin dan Melaksanakan Petunjuk Allah swt
Antara maksud dan tuntutan iman kepada Allah ialah yakin terhadap apa yang datang daripada Allah. Yakin dengan kebenaran, kesempurnaan Islam sebagai satu Din yang shamil dan kamil serta terbaik

Percaya kepada Malaikat
Ertinya ialah bahawa Allah telah menjadikan sejenis makhluk halus yang keadaan asalnya tidak boleh dilihat, bukan lelaki dan bukan perempuan. Hidup mereka sentiasa taat kepada perintah Allah tanpa sesekali menderhakainya. Malaikat dijadikan oleh Allah daripada cahaya. Sabda Rasulullah saw (terjemahanya):
”Malaikat itu dijadikan daripada cahaya, jin dijadikan daripada api yang tidak berasap & dijadikan nabi Allah Adam sebagaimana yang diterangkan iaitu daripada tanah”–(Hadith riwayat Muslim)

Nama dan Tugas Malaikat
Jibril – Menyampaikan wahyu dan perintah Allah kepada nabi-nabi & rasul-rasulNya untuk disampaikan kepada manusia
Mikail – Mengawal cekerawala termasuk matahari, bulan, bintang-bintang, hujan & panas dan lain mengikut yang dikehendaki oleh Allah
Izrail – Mencabut nyawa seluruh makhluk yang bernyawa apabila sudah sampai waktu yang dikehendaki oleh Allah
Israfil – Meniup sangkakala apabila tiba masanya
Raqib – Mencatit amalan baik yang dilakukan oleh manusia
Atid – Mencatit amalan jahat yang dilakukan oleh manusia
Mungkar – Menyoal manusia di dalam kubur
Nakir – Menyoal manusia di dalam kubur
Ridhwan – Mengawal syurga
Malik – Mengawal neraka

Antara tugas-tugas Malaikat seperti:
Membawa wahyu kepada para Nabi dan Rasul
Bertasbih dan patuh dan sujud pada Allah
Memikul Arsy
Berdoa untuk orang-orang beriman
Peranan Malaikat di Akhirat seperti memberi salam pada ahli syurga, mengazab ahli neraka dan seumpamanya

Hikmat Beriman Kepada Malaikat
1)Seseorang itu menyedari bahawa dia sentiasa diawasi oleh Malaikat maka dia akan sentiasa menjaga tingkah laku yang berkelakuan baik, menjaga tutur kata yang walau dimana dia berada
2)Seseorang akan segera insaf dan tidak mengulangi kesalahan dan kesilapan kerana menyedari setiap tutur kata dan gerak laku yang tidak terlepas daripada catitan Malaikat Raqib & Atid
3)Seseorang muslim akan sentiasa melakukan apa yang disuruh Allah dan menghindar apa yang dilarang Allah supaya selamat di alam kubur kerana dia mengetahui apabila dia mati, dia akan ditanya dan diseksa oleh Malaikat di dalam kubur

Percaya Kepada Kitab
Orang-orang Islam wajib percaya bahawa Allah swt telah menurunkan beberapa buah kitab kepada rasul-rasulNya. Isi pengajaran kitab-kitab itu adalah mengandungi ajaran-ajaran mengenai amal ibadat untuk akhirat dan juga petunjuk-petunjuk untuk memperbaiki kehidupan manusia di dunia

Kitab-kitab yang wajib diketahui ialah:
Zabur : Nabi Daud (dalam bahasa Qibti)
Taurat : Nabi Musa (dalam bahasa Ibrani)
Injil : Nabi Isa (dalam bahasa Suryani)
Al-Quran : Nabi Muhammad saw (dalam bahasa Arab)

Firman Allah swt yang bermaksud:
”Pada mulanya manusia itu adalah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu tetapi akhirnya mereka telah berselisih faham), maka Allah telah mengutuskan nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan syurga), dan pemberi amaran (kepada yang engkar dengan balasan azab neraka), dan Allah menurunkan bersama nabi-nabi itu kitab-kitab suci yang mempunyai keterangan-keterangan benar untuk menjalankan hukuman di antara manusia mengenai apa yang mereka pertikaikan”
(Surah Al-Baqarah: 213)

Al-Quran merupakan kitab terakhir sekali diturunkan oleh Allah & penutup kepada segala kitab-kitab yang terdahulu
Percaya Kepada Rasul
Seseorang Islam diwajibkan beriman bahawa Allah telah mengutuskan beberapa orang rasul yang dipilihNya daripada jenis manusia yang cukup sempurna. Mereka membimbing manusia kepada kehidupan yang membawa kebahagiaan di dunia dan akhirat

Sifat-sifat yang wajib bagi Rasul:
Siddiq – Benar pada segala percakapan, perkhabaran & perbuatan
Amanah – Jujur dan tidak membuat kesalahan
Tabligh – Menyampaikan semua perintah Allah kepada manusia
Fathonah- Bijaksana

Erti Rasul dari segi bahasa : Utusan yang menyampaikan sesuatu perutusan seseorang kepada orang lain

Erti Rasul dari segi istilah: Lelaki utusan Allah yang menerima wahyu Allah untuk dirinya yang wajib disampaikan kepada umat manusia agar mereka dapat melalui jalan yang lurus dan diredhai Allah

Dari segi keaslian : al-Quran tetap asli tidak ada perubahan dan tidak mampu dipinda oleh manusia manakala kitab-kitab lain berubah dan tidak asli

Al-Quran sesuai untuk semua zaman dan tempat, manakala kitab-kitab lain untuk tempoh-tempoh tertentu sahaja

Bahasa Al-Quran adalah bahasa arab yang hidup pemakainnya sepanjang masa, iaitu sentiasa digunakan oleh ramai dan banyak negara di seluruh dunia

Hikmah Beriman Dengan Kitab-kitab
Menunjukkan bahawa agama yang datang daripada Allah adalah satu sahaja iaitu Islam yang terkandung di dalam kitab-kitab yang datAng daripada Allah mendahului. Para Nabi semasa ke semasa sehinggalah kitab al-Quran

Umat manusia di sepanjang zaman sebenarnya memerlukan agama yang satu iaitu Islam, yang berteraskan akidah tauhid. Ini semua terkandung dalam semua kitab-kitab yang datAng daripada Allah

Perbezaan dari segi syariat perkara penting berkaitan pelaksanaan dalam agama boleh berlaku. Yang ditegah secara tegas ialah perbezaan dari segi akidah atau perkara-perkara usul. Ini terbukti dalam syariat-syariat kitab-kitab dari satu nabi dengan nabi yang lain berbeza, tetapi akidah dan perkara pokok yang lain semuanya sama
Semua para Nabi adalah Islam. Tidak ada percanggahan antara al-Quran dan Taurat sebagaimana juga tidak ada pertentangan dengan Injil dan kitab-kitab lain. 

Percaya Kepada Hari Akhirat
Beriman kepada hari Akhirat merupakan masalah yang paling berat dari segala macam akidah dan kepercayaan manusia. Sejak zaman sebelum Islam sampailah sekarang manusia telah memperkatakan masalah ini. Para ahli fakir selalu menempatkan persoalan ini sebagai inti penyelidikan, sebab beriman kepada hari akhirat akan membawa manusia kepada keyakinan adanya satu kehidupan duniawi dan penciptaan manusia. Demikianlah pentingnya masalah ini hingga turunnya ayat-ayat Allah menerangkan kedudukan hari Akhirat.

Lima fasa pola beriman kepada hari Akhirat:
Tahap kehancuran makhluk yang ada di muka bumi. Terjadi gempa bumi, di mana gunung-gunung menjadi debu, air laut mendidih meluap-luap, bintang-bintang berguguran, langit bergulungan, sedang manusia mabuk dan pitam. Kemudian musnahlah segala makhluk sama ada yang bernyawa mahupun tidak, hanya Allah yang tetap kekal

Hari kebangkitan di mana manusia akan dibangkitkan dari kubur dan dikumpulkan dipadang Mahsyar

Diperlihatkan seluruh amal perbuatan di dunia dahulu. Tidak ada yang tersembunyi sama ada yang jahat mahupun yang baik, sekalipun sebesar zarah

Hari menghisab di depan mahkamah keadilan Allah, dimana manusia akan memperolehi keputusan yang paling adil tanpa ada penganiayaan

Hari keputusan di mana manusia akan menerima ganjaran yang setimpal denga n amalannya. Di sini saat yang dijanjikan akan dipenuhi sebagai tujuan penciptaan manusia. Mereka yang banyak amal kebajikan ditempatkan di syurga dan banyak amalan kejahatan akan ditempatkan di neraka

Kepentingan Beriman dengan Hari Akhirat
Memperbaharui kesedaran tentang hakikat adanya alam akhirat yang merupakan tempat manusia menerima balasan dan juga tempat yang kekal abadi untuk semua manusia

Mempertingkatkan keimanan dengan merasai keagongan Allah Rabul-Alamin selaku pemerintah dan penguasa serta tuan punya Alam, pencipta dan pemilikan hari Akhirat dan segala isi kandungannya
Melembutkan hati manusia dengan mengingati mati dan Hari Akhirat
Mengalakkan orang Islam melakukan ma’ruf (kebaikan) dan meninggalkan kejahatan

Beriman Kepada Qada Dan Qadar'
Maksud Takdir
Takdir ataupun ketentuan Allah terhadap makhluknya khususnya manusia dapat dibahagikan kepada dua:
Ketentuan tentang nature yang mengandungi sebab musabab
Takdir atau ketentuan Allah terhadap makhlukNya, khususnya manusia

Sikap Orang Islam Dalam Menerima Takdir Allah
Menerima dan redha terhadap apa yang ditakdirkan oleh Allah, kerana Allah Maha Adir dan tidak mungkin melakukan kezaliman terhadap makhlukNya. Apa yang Allah tentukan kepada manusia di luar dari pilihan manusia adalah kebijaksanaan dan keadilan Allah. Ada sesuatu hikmah di sebalik ketentuan itu. Mungkin apa yang kita rasa baik adalah buruk bagi kita dan demikianlah sebaliknya. Allah Maha Mengetahui apa yang tidak kita ketahui
Mestilah bersabar sekiranya Allah takdirkan sesuatu yang buruk yang berlaku ke atas diri kita. Mungkin di sebalik apa yang berlaku itu ada sesuatu yang baik yang Allah akan anugerahkan kepada kita

Peringkat-Peringkat Iman
Iman Taqlid – Iman ikut-ikutan, hanya semata-mata mengikut pendapat orang lain

Iman Ilmu – Beriman semata-mata kerana berilmu dan berdasarkan pada fikiran tidak terletak di hati

Iman A’yan – Iman yang terletak di dalam hati. Iman ini dimiliki oleh orang-orang soleh

Iman Hak – Iman sebenar yang terlepas dari nafsu syaitan. Iman ini dimiliki oleh golongan muqarabbin, iaitu orang yang hampir dengan Allah

Iman Hakikat – Iman peringkat tertinggi yang boleh dicapai oleh manusia. Iman ini hidup semata-mata untuk Allah dan Rasul serta hari Akhirat seperti para sahabat nabi

Iman Bertambah Dan Iman Berkurang
Iman manusia sentiasa bertambah dan berkurang mengikut amalan. Perkara-perkara yang perlu dilakukan untuk meneguhkan iman:
•Melawan hawa nafsu
•Mengosongkan hati daripada sifat-sifat tercela
•Membiasakan diri dengan sifat-sifat terpuji
•Melahirkan keikhlasan berbakti & berkorban semata-mata kerana Allah
•Memperbanyakkan amalan-amalan sunat
•Bertafakur, iaitu memerhatikan tanda-tanda kebesaran dan kekuasan Allah  

Kepentingan Mempelajari Ilmu Akidah
Antara beberapa kepentingan mempelajari ilmu akidah termasuklah:
»Supaya terhindar daripad ajaran-ajaran sesat yang akan merosakan akidah seseorang terhadap Allah swt
»Meneguhkan keimanan dan keyakinan kepada sifat-sifat kesempurnaanNya
»Memantapkan akidah seseorang supaya tidak terikut dan terpengaruh dengan amalan-amalan yang boleh merosakan akidah
»Audit dan Timbangan Amalan. Antaranya perkara yang akan dialami oleh manusia di akhirat ialah hisab dan timbangan amalan
»Balasan Syurga dan Neraka. Berdasarkan nas-nas al-Quran menunjukkan bahawa orang yang mempunyai amalan baiknya banyak sehingga memberatkan timbangan amalan baik ia akan dimasukan ke dalam syurga, manakala mereka yang sebaliknya akan dimasukan ke dalam neraka
»Dapat mengeluarkan hujah-hujah yang boleh mematahkan hujah daripada pihak lawan yang cuba memesongkan akidah seseorang

Kepentingan Akidah Dalam Kehidupan Manusia
1)Akidah Sebagai Asas

2)Akidah Sebagai Penentu atau Pendorong

Penyelewengan Dan Kerosakan Akidah
1)Melalui Percakapan atau ucapan 

2)Melalui Perbuatan

3)Melalui Iktikad dalam hati

Pembinaan Akidah
1.Memahami konsep Islam yang sebenarnya dan memahami konsep akidah secara khusus
2.Membersihkan hati dengan cara meninggalkan dosa dan melakukan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah
3.Sentiasa berjihad melawan nafsu dan syaitan untuk beriltizam dengan Islam
4.Bersama-sama dengan orang-orang yang soleh atau sentiasa mencari suasana yang baik
5.Sentiasa berdoa memohon pimpinan Allah
6.Bertawakal kepada Allah

Kesimpulan
Secara keseluruhannya, konsep akidah amat mudah dipelajari dan difahami secara umum kepada sesiapa sahaja yang ingin mengamalkan akidah secara istiqamah(berterusan). Secara tidak langsung, masyarakat yang mengamalkan konsep akidah yang betul akan melahirkan sebuah negara yang tinggi ilmu, amal dan akhlaknya.