Sunday 5 January 2014

LAMPU ISYARAT DARI TUHAN...


Kemenangan dalam perjuangan tidak di­ukur pada kejayaan meraih kekuatan ekonomi, keupayaan ketenteraan dan kekuasaan politik semata-mata. Apa yang lebih penting ialah sejauh mana dalam usaha tersebut hukum hakam Allah berjaya ditegakkan bersama. Jika kekuatan ekonomi tercapai dengan cemerlang tetapi meminggirkan hukum-hakam Islam dalam urusannya, maka pejuangnya tetap dikira gagal.

Begitu juga perjuangan dalam bidang politik, sejauh mana lima hukum Allah itu dapat ditegakkan sama ada dalam soal dasar, prinsip, pendekatan dan pelaksanaannya? Untuk berjaya tidak boleh lakukan apa sahaja hingga melanggar kehendak Islam hak ini kerana Islam menentang prinsip politik “tujuan menghalalkan cara”. Justeru itu tujuan mahupun cara yang digunakan mesti berpandukan hukum Allah.

Untuk menegakkan yang halal misalnya, mesti melalui cara yang halal! Dan sekiranya, dengan berpegang teguh pada hukum Allah itu, kekuatan ekonomi, ketenteraan atau politik tidak dapat dicapai sepenuhnya, maka pejuang Islam tetap dikira menang walaupun dipandang “gagal” mengikut kaca mata biasa. Tegasnya, hukum Allah adalah matlamat yang tidak boleh digolok-gadai, sedangkan kekuatan ekonomi, ketenteraan dan politik hanyalah alat. Matlamat tidak boleh dikorbankan hanya kerana terlalu ghairah ingin mencapai alat!

Sebenarnya dengan mematuhi hukum-hakam Allah ini akan dapat mengatasi kemunduran, kejatuhan dan kemerosotan ekonomi, ke­tentera­an, politik atau bidang-bidang yang lain. Tetapi kalau berlaku juga kegagalan pasti ada pendekatan yang salah digunakan. Jadi, salah sama sekali kalau kita beranggapan bahawa dengan mematuhi hukum-hakam Islam itu akan menghalang kemajuan dan pembangunan.

Bahkan hakikat sebenarnya adalah sebaliknya. Hukum-hakam inilah nanti yang menjadi penjana dan pemangkin kemajuan dan pembangunan yang bersih daripada sebarang kesan sampingan yang negatif. Bukti telah menunjukkan be­tapa sistem kewangan Islam perbankan, takaful, pajak gadai dan lain-lain telah tumbuh dan berkembang di Malaysia. Malah sambutan orang bukan Islam sangat memberangsangkan. Ini menunjukkan sistem kewangan berteraskan hukum Allah, punya potensi besar untuk cemerlang.

Selain itu perjuangan Islam tidak dituntut setakat persoalan keluarga, tetapi turut dituntut menegakkannya secara berterusan malah lebih meluas. Dengan perjuangan itulah nantinya mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih global kerana hanya dengan pembangunan dan kemajuan yang lebih tinggi sahaja hukum Allah dapat ditegakkan di mata dunia.

Dalam perjuangan kita dituntut memartabatkan Islam selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w: “Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi mengatasinya” justeru, hukum-hakam Islam mesti diletakkan di atas bagi menyelesaikan “halangan” untuk mencapai kemajuan. Islam adalah agama yang dinamik dan hukum-hakam Allah ialah sesuatu yang realistik dan praktik. Jadi, Islam bukan “halangan” tetapi “kawalan” dalam usaha memburu kemajuan dunia.

Hukum Allah bolehlah diibaratkan sebagai lampu isyarat di jalan raya yang fungsinya sebagai kawalan agar per­jalanan kenderaan sentiasa selamat. Maka selama kita mematuhi lampu isyarat itu, selama itulah kita akan bebas bergerak ke mana-mana destinasi dengan selamat. Begitulah hukum Allah yang hakikatnya adalah “lampu isyarat” dari Tuhan untuk mengawal perjalanan hidup kita.

Sumber: SOLUSI (Ustaz Pharol)

No comments:

Post a Comment