Monday 6 January 2014

BERMUHASABAH DIRI.....!!! (kredit dari seorang sahabat)

Sementara kematian belum menjelang, sementara tubuh masih sihat, sementara diri masih mampu berdiri tegap dan boleh lagi ke sana ke mari, sementara fikiran masih waras dan boleh mengawal emosi, maka mari kita manfaatkan kesempatan yang ada ini untuk bermuhasabah diri. 

Kematian itu pasti datang ! Saat akhir itu pasti tiba ! Ia tidak mengenal usia dan kedudukan! Sampai ketikanya, ia tetap berlaku ! Tidak dapat ditangguh lagi ! Apa kata, sebelum saat akhir itu tiba, kita bertanya kepada diri, sejauhmana persediaan kita untuk menghadapi hari pengadilan nanti? 

Tak mungkin kita boleh menjawabnya secara pasti. Cukup atau tidak itu di luar jangkauan fikiran dan akal kita. Allah swt sahaja yang tahu ! Namun kita tetap tidak boleh mengambil mudah ! Kita tidak boleh bersikap pasif ! Kita tidak boleh berserah kepada Allah swt semata-mata dan mengharapkan belas kasihanNya ! Kita perlu berusaha dan terus berusaha ! Beramal dan terus beramal ! 


Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At-Termizi dan Ibnu Majah, ada bersabda yang bermaksud: 


”Orang yang paling bijaksana di kalangan kamu ialah orang yang bermuhasabah dirinya dan menyediakan bekalan amal soleh sebelum menghadapi kematian. Manakala orang yang tidak bijaksana ialah orang yang terpedaya dengan pujukan hawa nafsunya dan sentiasa berangan-angan kosong terhadap Allah Taala (mengharapkan ganjaran Allah tanpa berusaha)” 


Saidina Umar al-Khattab pernah berkata; “Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab dan timbanglah amalan kamu sebelum kamu ditimbang kelak pada hari akhirat” 


MUHASABAH DIRI DAN KEPENTINGANNYA 


Secara mudahnya, muhasabah diri ialah proses menilai dan merenung kembali terhadap apa yang sudah berlaku sama ada yang manis atau pahit, detik suka dan duka serta pelbagai lagi peristiwa yang tercatat dalam diari kehidupan setiap insan. 


Apa kepentingannya? 

Menjadi suatu kemestian bagi kita yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah swt. Bermuhasabah untuk menilai sejauh mana peningkatan diri kita khususnya di dalam melaksanakan perintah Allah dan menuruti sunnah Nabi saw. 


Antara kelebihan bermuhasabah diri: 


1. Dengan bermuhabasah diri akan membuatkan individu Muslim sentiasa mempunyai ruang menginsafi diri dan bimbang akan nasib yang akan menimpanya di akhirat kelak. Apakah kita sudah mempunyai bekalan yang mencukupi untuk menghadapi hari pengadilan kelak? 


2. Muhasabah diri akan membuka ruang kepada setiap individu mengenali kelemahan diri serta kekurangan yang ada. Kesedaran terhadap kelemahan diri ini akan melahirkan sifat rendah diri, tawaduk dan sifat-sifat mulia yang lain. Usaha pula akan dijalankan untuk memperbaiki kelemahan yang ada. 


3. Muhasabah diri akan membuka minda kita untuk mengenali betapa besarnya nikmat dan kurniaan Allah swt kepada kita semua. Allah swt menganugerahkan kita nikmat sihat, zuriat, harta benda, pelajaran dan segala macam lagi yang tidak mampu kita hitung. Keinsafan ini akan menjadikan kita sentiasa bersyukur dan tunduk kepada ajaran Allah swt. 


APA YANG KITA HENDAK MUHASABAHKAN ? 


Amalan bermuhasabah ini sewajarnya dijadikan satu amalan seharian yang wajib dalam diari hidup seseorang Muslim. Ia bukan hanya dilakukan pada setiap awal atau akhir tahun. Ini kerana tidak ada pun seorang insan di muka bumi ini yang terlepas daripada melakukan kesilapan. Setiap daripada kita sudah pasti akan melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah, baik yang disengajakan atau sebaliknya, sama ada kesalahan besar mahupun yang kecil. 


Elok kita fikir dan tanya diri tentang apa yang telah kita perbuat dalam seharian ini. Tak mungkin dapat disenaraikan segala soalan yang boleh ditanya ! Terlalu luas dan banyak perkara yang boleh disoal diri ini ! Contoh beberapa soalan berikut mungkin boleh digunakan sebagai panduan untuk bertanya kepada diri kita ! 


1. Adakah aku beristigfar dan mengucapkan alhamdulillah hari ni? 


2. Sudahkah aku menunaikan kewajipan solat hari ini? 


3. Sudahkah aku berzikir ingatkan Allah pada pagi hari ini ? 


4. Adakah hari ini aku telah memulai hari ini dengan meminta kepada Allah rezeki yang halal? 


5. Sudahkah pada hari ini aku mohon ampun kepada Allah swt atas segala dosa-dosa yang telah aku lakukan? 


6. Adakah aku melakukan amar ma'ruf nahi munkar hari ini ? 

7. Hari ni aku ada baca Al-Quran tak? 

8. Adakah aku berusaha untuk memahami Al Quran ? 

9. Adakah aku seorang hamba yang bersyukur ? 

10. Bagaimana aku manfaatkan segala nikmat Allah swt ? Adakah ia ke arah menuju kepada keredhaan Allah ataupun sebaliknya? 

11. Bagaimana pergaulan aku, dan hubungan aku sesama manusia ? Dan lagi, dan lagi ………. 

Bentuk-bentuk pertanyaan di atas adalah sebagai pencetus minda untuk memikirkan pertanyaan-pertanyaan seterusnya. Tambah ataupun ketepikan mana yang tidak relevan ! 


SETAKAT BERTANYA PELBAGAI SOALAN KEPADA DIRI TIDAK MENCUKUPI. PEROSES BERMUHASABAH DIRI PERLU DIIKUTI DENGAN PROSES ISLAH (PEMBETULAN DIRI). SETAKAT INSAF TETAPI TIDAK ADA TINDAKAN PERUBAHAN TIDAK MEMBERI MAKNA. PROSES ISLAH MESTI DILAKUKAN. TINDAKAN PEMBETULAN INI HENDAKLAH BERTERUSAN DAN BERSIFAT PENAMBAHBAIKAN. KATA-KATA “HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA HARI KELMARIN, DAN HARI ESOK LEBIH BAIK DARIPADA HARI INI” ADALAH AMAT BERTEPATAN SEKALI. 


SEDIKIT PESANAN APABILA BERMUHASABAH


Apabila kita bermuhasabah, kita akan menghisab atau menghitung segala apa yang telah kita lakukan. Sekiranya kita bermuhasabah sebelum tidur malam, maka kita akan tanya diri banyak mana kebaikan yang telah kita lakukan, dan juga banyak mana pula kejahatan yang telah kita lakukan sepanjang harian tersebut. 

Mungkin ada baiknya kita TIDAK TERLALU memikirkan atau mengingati segala kebaikan yang kita telah lakukan dalam seharian. Dikhuatiri jika kita berbuat demikian, kita akan merasakan diri kita ini sentiasa dalam kebaikan. Dengan itu, mungkin akan timbul pula perasaan bangga diri bahawa kita ini orang yang baik dan berperibadi mulia. Kita akan berasa cukup apa yang telah kita lakukan sebelum ini yang menyebabkan kita akan berkurangan melakukan kebaikan dan malas membuat kebajikan lagi. 


Adalah digalakkan juga untuk kita berfikir dan mencari ruang kebaikan yang kita mahu lakukan buat hari esok dan hari-hari berikutnya. Ruang untuk kita melakukan kebaikan ini boleh berlaku ada secara tidak dijangka dan sudah dijangka. Yang kita jangka adalah seperti selepas solat Subuh kita baca Al Quran, berzikir, berwirid dan lain-lain kebaikan. Yang kita tidak jangka pula seperti peminta sedekah yang meminta sedekah di luar masjid, ada orang buta yang kehilangan peneman jalan dan ada mak cik tua yang tak mampu memikul beban barang yang dibawa. Semua itu adalah anugerah Allah swt buat kita sebagai medan ruang membuat kebaikan. 


KESIMPULAN

Kita bermuhasabah dan terus bermuhasabah. Kita perbaiki dan lakukan penambahbaikan terhadap kelemahan yang ada pada diri kita. Segala-galanya kita niatkan kerana Allah swt.

No comments:

Post a Comment