Wednesday 15 January 2014

Nilai-Nilai Mutlak Dan Relatif

Selain daripada memaparkan konsep dan penghayatan akhlak secara konsepsi dan praktikal dan membezakan antara akhlak orang-orang yang beriman dan orang-orang kafir berasaskan kepada perbezaan aqidah mereka, al-Quran menghuraikan pengertian akhlak Islam yang didokong dan dihayati oleh orang-orang beriman. akhlak Islam dijelaskan berdasarkan kepada model insan kamil yang terdapat dalam diri Rasulullah s.a.w. yang telah merealisasikan pengertian akhlak al-Quran dalam kehidupan yang realistik. Rasulullah s.a.w. dikatakan sebagai al-Quran yang berjalan. Aishah r.a. berkata 'Adapun akhlak baginda ialah al-Quran' ' Kerana itu nilai-nilai asas yang membentuk akhlak Islam ialah nilai-nilai mutlak. Nilai-nilai asas ini, tidak bersifat relatif atau nisbi. Nilai-nilai asas yang membentuk akhlak Islam,

Nilai-nilai yang baik dan buruk diprogramkan ke dalam hukum-hukum yang menentukan sama ada sesuatu perkara itu boleh dilakukan atau tidak boleh dilakukan, yang mesti dilakukan atau mesti ditinggalkan atau dijauhkan. Hukum-hukum itu ialah wajib, sunat, haram dan makruh. Perkara-perkara yang telah diprogramkan ke dalam hukum-hukum ini adalah mutlak sifatnya. Akan tetapi perkara-perkara yang termasuk dalam perkara harus adalah relatif sifatnya.

Nilai-nilai akhlak Islam, berbeza dengan nilai-nilai tamadun Barat yang semata-mata bergantung kepada akal dalam menentukan nilai-nilai baik dan tidak baik. Kerana itu, kebanyakan nilai-nilai dalam tamadun barat bersifat relatif. Pada hari ini ia difikirkan sebagai baik dan di masa yang lain ia ditolak sebagai baik. Begitu juga yang dipandang buruk pada hari ini, tidak lagi dianggap demikian pada masa yang lain. Homoseksual dan Lesbian, dahulu dianggap haram dan tidak baik. Sebaliknya hari ini perbuatan itu dihalalkan dan dibenarkan sebagai legal serta mendapat hak-hak dan perlindungan perundangan. Kenisbian nilai-nilai akhlak ini, menimbulkan huru hara nilai yang mengakibatkan kepincangan akhlak.

Rasulullah s.a.w., adalah contoh seorang hamba Allah yang bersyukur iaitu contoh berakhlak mulia dan tinggi dalam hubungan dengan Allah S.W.T. lni berasaskan kepada peribadahan yang dilakukannya dengan penuh ikhlas mengikut sistem peribadahan yang ditentukan oleh Allah S.W.T. , Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:

'Mereka tidak diperintahkan melainkan untuk beribadah kepada Allah dengan ikhlas serta mempunyai sistem agama'. (al-Bayyinah: 5)

Orang-orang kafir musyrik yang beribadah kepada yang lain daripada Allah S.W.T. adalah manusia yang tidak berakhlak dan berlaku biadab terhadap Allah S.W.T Abu Lahab, Firaun, Namrud dan lain-lain adalah contoh manusia yang tidak berakhlak dan biadab terhadap Allah S.W.T. Mereka takbur, bongkak dan sombong. Mereka melakukan kemungkaran, kezaliman dan kerosakan di bumi akibat daripada kesyirikan mereka terhadap Allah. Nilai-nilai syirik menjadikan mereka manusia yang tidak bermoral dan makhluk perosak yang meluas seperti di kalangan generasi baru masyarakat barat.

No comments:

Post a Comment