Thursday 6 March 2014

CARA MENGAWAL DIRI


 1. Setiap kita ingin menjadi seorang yang baik. Seorang yang menjaga batas-batas agama. Hakikatnya kita sendiri sebenarnya benci akan kelakuan buruk kita, suka akan kelakuan baik kita. Semua tahu yang keji itu dibenci agama, masyarakat dan banyak kesan lainnya. Akhirat ada balasan. Tapi kita sering terjerumus ke lembah keji itu. Kelemahan Iman, faktor keluarga, kawan, masyarakat, kemiskinan, suasana semasa dan banyak lagi faktor lain.


2. Wujud sebab-sebab yang menelanjurkan kita. Gagal bila diuji. Setiap orang diuji dengan cara yang berbeza. Ada manusia yang lepas mampu mengatasi hal ini, dan tewas hal itu. Diuji secara zahir atau batin. Hidup kita tak akan lepas dari ujian, hinggalah dimatikan. Inilah hakikat kehidupan. Kita melihat mereka yang hebat, alim, kerana mereka sudah mampu dan dapat melepasi ujian tersebut. Darjat mereka diangkat, dan mereka terus berhadapan dengan ujian lain pula. Jika berjaya, makin tinggi lagi diangkat. Jika terpedaya, kembali menurun ke tahap lama. 


3. Janganlah seorang dari kita sudah merasa cukup kuat dan hebat. Kita perlu sentiasa pohon, berdoa pada Allah. Diberikan wang banyak dari sumber haram, masaalah rumahtangga, dikurniakan pangkat, wajah yang cantik, cemerlang dalam usaha dan apa-apa lagi kurniaan ujian. Andai Iman mampu mengawal dan mengelak kerana takutkan Allah. Tabah menghadapi segalanya. Menggunakan kurniaan Allah pada jalan yang diredha Allah. Kita akan terselamat dan terus kuat bila berjaya melepasinya. Kemudian kita akan diuji lagi dengan ujian berbentuk lain. Begitulah seterusnya.


4. Kita yang jika mengabaikan solat, sering mendedahkan aurat, bergaul bebas, ketagih web lucah, mencuri, berzina, LGBT dan macam-macam lagi perkara dosa lain. Kita sebenarnya diuji oleh keinginan nafsu kita, yang berlawanan dengan perintah Agama. Itu ujian pada diri kita, tahap keadaan, masa dan zaman kita. Manusia-manusia lain dahulu diuji juga, mereka sudah lepas dan ada yang sudah terlanjur, lalu banyak dan hebat lagi ujian yang perlu dilaluinya. Kita perlu usaha menghindarinya. Apabila kita berusaha, lalu telah berjaya berusaha menjauhinya, jangan sekali-kali kita ingat kita telah berjaya, lepas dan kuat segalanya. Kita akan terus berhadapan dengan ujian-ujian yang lain pula, hinggalah dimatikan. Jika kita terus ingin berada dalam keadaaan berdosa, kejahatan itu, kita sendiri yang menghambat cahaya hidayah itu. Dosa-dosa yang dilakukan, mengekang ketaatan, keikhlasan dan kebaikan lain, bimbanglah suatu amal tak dikhlas. Tapi yang pasti kita memang tak ingin berada dalam lembah dosa itu, kita sendiri tahu bagaimana rasanya. Yang kita fikir hanya ingin tangguh untuk bertaubat. Namun bimbanglah, jika masih lagi ada rasa, ia masih ada lagi setitik iman, namun ia jika dibiarkan makin lama, rasa itu akan hilang, dan bila ia hilang, ia mampu menghijab hidayah Allah, itulah yang kadang kita nampak bagi diri kita, telah jelas berlaku dan dicerita hal kebaikan, kebenaran didepan mata seseorang, namun tiada juga kesan. Sebelum karat dan titik hitam makin banyak marilah kita bersihkannya. Nanti setelah lama, sukar untuk dibersihkan dan sudah pasti banyak kesan lain terjadi. Amat perlu kita sentiasa ingat, matinya kita, tak dijangka waktunya.  “Diuji kerana sayang dan kasihnya Allah swt pada kita. Syukur masih diuji, dan marilah berusaha menerima sedikit keperitan yang sementara ini dalam tika diuji. Silau hidayah itu masih lagi menembusi hati kita”





Firman Allah swt: Yang telah menjadikan mati dan hidup, untuk Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (Al-Mulk 2)

Maka apakah kamu mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? (Al-Mu'minuun 115)

Tiap-tiap jiwa akan merasakan mati. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan. (Al-'Ankabuut 57)

Allah akan menghimpunkan kita bersama (pada hari kiamat), dan kepada-Nyalah tempat kembali semuanya (untuk dihakimi dan diberi balasan). (Asy-Syuura 15)


5. Kita mengharapkan mati dalam ketaatan, dalam iman dan islam. Pengharapan kita ini disertakan kesungguhan kita untuk membina benteng jiwa yang kebal. Kebal bila perintah ditaat, dilaksana, difahami dan dihayati sebaiknya. Nabi saw contoh ikutan, panduan kita.


6. Suasana dapat mendorong kita segalanya. Hakikatnya kita semua memerlukan semangat, dorongan dan sokongan seseorang. Kita mengharap adanya perhatian dalam apa-apa perbuatan dan kerja hidup kita. Seorang sahaja sebenarnya sudah cukup, akan dapat, mampu menguatkan dan membangkitkan keinginan, semangat seseorang. Seorang sahaja sudah juga cukup, mampu menidakkan dan melunturkan kemahuan, hasyrat seseorang. Demikian perlu saling untuk bantu dan memberi harapan, perhatian, semangat pada yang baik, benar. Agar mereka berubah. Dan cegah yang buruk. Peringatkan, jangan suka, meredhai, menyokong, memberi perhatian dan membiarkan keburukan, dosanya. Demikian mereka akan juga berputus asa dan berubah. 


Namun disana ada kelompok manusia yang dipelihara Allah. Hubungannya dengan Allah, dijaga sebaiknya. Difahami, ditunaikan dan diyakini semutlaknya. Jiwanya diserahkan sebulatnya pada Allah. Dilaksana atau ditinggalkan bukan kerana suasana. Keperluan-keperluan diatas bukan sebab untuk merubahnya, sebaliknya dia akan terus mempersalahkan dan memperbaiki diri. 


Firman Allah swt: Dan orang-orang yang Beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang Ma'ruf, mencegah dari yang Munkar. (At-Taubah 71)

Orang-orang Munafik lelaki dan perempuan, sebahagian dengan sebahagian yang lain adalah sama. Mereka menyuruh membuat yang Munkar dan melarang berbuat yang Ma'ruf. (At-Taubah 67)





7. Amalan yang benar, difahami, dilaksana, dihayati, diyakini dan dijaga sebaiknya. Pasti punya kesan. Amalan yang wajib, kita pelihara dan jaga sebaiknya. Dan yang sunat kita usaha dengan bersungguh seolah macam yang wajib juga. Dengan demikian kita akan dapat, mampu kawal, hindar dari mengabaikan yang wajib. Habis kurang, lemah yang sunat sahaja kita tinggal, itupun akan hadir rasa bersalah juga jika sudah difahami dan dibiasai. Perbuatan dosa, kita elak dan jauhi sebolehnya. Yang ada perselisihan, punya amat sikit sahaja unsur-unsur yang mengundang fitnah, mudharatnya, kesannya tak besar mengikut keadaan. Kita tinggal, anggap macam dosa besar juga. Dengan demikian kita akan dapat dan mampu kawal, elak dari terjebak dosa yang besar. Habis kurang, lemah kita terlajak yang masih khilaf, ringan.


8. Perbuatan, penglihatan dan pendengaran. Saluran-saluran ini yang mengalirkan ke otak, lalu turun terus pada keinginan nafsu dengan bermacam caranya. Kita sebenarnya sudah mampu mengagak apa akan terjadi pada diri kita jika kita buat begini dan begitu. Jika kita lihat, dengar dan buat yang ini, pasti akan menghasilkan perkara itu. Demikian, kita perlu sekat awal-awal lagi permulaan yang menghala kepada perkara itu. Memang payah melaksanakannya, namun ia lebih lagi payah andai sudah sampai keperingkat tengah, kita telah terbuat, terlihat dan terdengar sesuatu itu. Caranya tiada lain, ia berkait rapat soal keimanan, kerohanian kita. Hubungan dengan Allah, ketetapan agama, rutin harian kita, macam mana ibadat dan dosa yang masih diselangi. Memang bukan mudah, dan kita rasa tak mampu, tak cukup kuat melawan nafsu ini. Namun tak dapat tidak ia diperlukan. Syurga akhirat melupakan segalanya. (Jaga, tunai sebaiknya yang wajib, banyakkan yang sunat. Lazimi masjid. Berpuasa. Dampingi, bersama, bersahabat dengan orang alim, soleh. Bermujahadah dengan kurangkan makan, tidur, gelak ketawa, sembang kosong. Lazimi taubat, istighfar, doa, al-Quran. Hadiri majlis ilmu. Hidup bermasyarakat, ramah sesama saudara lain. Sibukkan diri dengan kerja, hobi kesukaan kita yang tak dilarang agama, bermain bola, basikal, blog, menulis, mengedit gambar, memancing, main game dan apa-apalah lagi. Aktif berpesatuan, join ngo-ngo. Jangan jumudkan diri dengan perkara khilaf, nikmatilah yang halal. Biar sedikit amal, asal berterusan, kerana berterusan itu mengekang dari buat dosa. Baca, renungi kisah Nabi dahulu, sahabat, ulama’, mereka dibunuh, digergaji, susah, sakit, dihina, dipenjara dan berbagai lagi, sejarah hidupnya penuh dengan kepahitan jika dinilai. Gembirakan diri dengan perkara yang dihalal agama, banyak kenikmatan, kesukaan yang dapat kita kecap, rasa sebenarnya dengan cara yang halal). Kita perlu usaha kearah itu. Kebaikan yang banyak pasti menenggelamkan kejahatan. Pasti malu untuk melakukan kejahatan. Pasti terus tabah dalam ujian. 


9. Banyak perkara, yang jika kita selalu lihat, dengar dan bacanya, secara sengaja atau tidak. Ia mampu memberi kesan pada diri. Demikian, suasanakan persekitaran hidup kita dengan bahan-bahan nasihat agama. Cubalah buat, dan biarkan berterusan. Pasti ada kesan. Mungkin tak lagi sekarang, namun pasti ada hasil. Letaklah ayat-ayat, gambar-gambar peringatan, ancaman, perkuburan, nasihat, fadhilat, zikir dari al-Quran, hadis-hadis Nabi saw, para sahabat dan ulama’-ulama’. Alunkan ayat-ayat al-Quran, ayat-ayat yang penuh tangisan kedengaran, zikir-zikir keinsafan, atau nasyid-nasyid penyesalan dan apa-apa lagi yang berkaitan. Letak sebagai wallpaper di leptop, hp kita. Kesan dari mata, telinga akan terbit dan mulut akan sentiasa terbaca, hati kadang difikir. Sedikit sebanyak ia menyedarkan dan membangkitkan kesedaran, semangat pada kita untuk menjauhi dosa. 


10. Hakikat seseorang itu, walau dia tahu dan sedar dirinya banyak dosa, buat jahat. Dia tak suka orang lain turut melakukan kejahatan itu. Begitu juga jika dia melakukan kebaikan, dia ingin agar orang lain turut mengerjakannya. Seseorang juga, dia malas untuk mengajak orang lain pada kebaikan, kerana rasa dirinya bukanlah baik sangat, terlalu banyak dosa. Bimbang terbalik, kerana asyik sedap menyuruh orang. Perkara ini perlu difahami sebaiknya. Memang benar, disebut dalam suatu Hadis riwayat yang Sahih, “Pada hari Kiamat seorang dihadapkan dan dilempar ke Neraka. Orang-orang bertanya, "Hai Fulan, mengapa kamu masuk neraka sedang kamu dahulu adalah orang yang menyuruh berbuat baik dan mencegah perbuatan mungkar?" Orang tersebut menjawab, "Ya benar, dahulu aku menyuruh berbuat baik, sedang aku sendiri tidak melakukannya. Aku mencegah orang lain berbuat mungkar sedang aku sendiri melakukannya” (Hr Muslim). Ini hanya pada mereka yang niat memang sekadar ingin sedap bercakap, menyuruh, namun tak ingin dipraktiknya. Namun tidaklah pula terkena, andai seseorang itu memang sentiasa berusaha meninggalkan perkara dosa, berusaha beramal yang disuruh, namun ada juga silap dan banyak lagi tak dilaksanakan. Jika ingin tunggu bersih dari segala-galanya dan sesempurnanya, tak mungkin berlaku. Makin celaru keadaan. Bila nak tersampai? Demikian disarankan, antara cara untuk kita menjadikan diri kita sentiasa ingat, tak lalai dan hanyut, ialah dengan kita juga sentiasa menyedarkan dan mengingatkan orang lain. Menggalakkannya pada kebaikan. Demikian ia akan sentiasa terdetik pada diri kita, kita ingat pesan Hadis Nabi saw itu. Pahala kita pun dapat. 


11. Peribadi, imej dan gaya kita melambangkan kita. Ia dapat mengawal dan meluluskan kehendak kita. Jika kita berpakaian dengan pakaian yang nampak sosial, pasti orang nampak kita seorang yang bersosial, kita juga rasa ingin bersosial, tiada halangan. Begitulah jika kita pakai sebaliknya. Bagi wanita, yang pakai ketat, sendat, jarang, terbelah dan sebagainya, sudah tentu orang nampak dia seorang yang mudah untuk disentuh, ditegur dan diajak bermacam lagi, demikian wanita itu juga mengingininya. Begitulah juga andai dipakai sebaliknya, niqab, pakaian syara’. Fizikal kita, jika diuruskannya dengan rupa seorang yang beradab, rambut, kopiah, janggut. Pasti orang lihat seorang yang baik dan kita juga rasa segan buat jahat. Begitulah jika sebaliknya. Firman Allah swt: 


Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. (Ar-Ra'd 11)


12. Akhirnya, mudahan sedikit perkongsian ini ada manfaat. Ada kecelaruan dialukan untuk komen. Kita semua sekarang telah berada diakhir zaman, zaman yang penuh dengan fitnah. Yang baik, benar dan salah, jahat telah jelas kelihatan. Kita tahu al-Quran itu benar, apa yang disabdakan Nabi saw telah dan akan benar. Yang disuruh, jelas kesan baiknya. Yang dilarang, jelas kesan buruknya. Pada diri dan masyarakat. Syaitan itu tempatnya neraka, dajjal itu datang menyesatkan. Pilihan segalanya ditangan kita, bagaimana cara dan jalan-jalannya telah dijelaskan pada kita oleh Allah swt, Nabi saw, sahabat, ulama’. Sama-sama kita usaha sedayanya. Kita pohon kekuatan, petunjuk dari Allah. Ianya pasti akan hadir, bila disertai dengan kesungguhan usaha kita untuk berubah dan menghadapi ujian itu. Carilah jalan, perkara yang mampu membawa kita berubah, walau payah, perit, dasyat ujian. Kita perlu paksa diri permulaanya, yakinlah pada Allah. Ada jalan kebahagiaan, kesenangan yang lain akan nampak, akan dibuka. Segalanya hadir, berlaku mengikut tahap keyakinan, kesungguhan kita pada Allah.





Akhirnya, marilah sama-sama kita hayati dan renungi Sabda Nabi saw ini: “Pada Hari Kiamat dibawa seorang penduduk Dunia paling nikmat kehidupannya yang menjadi orang ahli Neraka. Dia dicelup ke dalam neraka satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: “Wahai anak Adam, pernah engkau melihat kesenangan? Pernah engkau mendapat kenikmatan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!”. Lalu dibawa seorang penduduk Dunia yang paling derita kehidupannya yang menjadi ahli Syurga. Dia dicelup ke dalam syurga dengan satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: “Wahai anak Adam, pernahkah engkau melihat penderitaan? Pernahkah engkau mengalami kesusahan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!. Aku tidak pernah melihat penderitaan. Aku tidak pernah mengalami kesusahan”. (Riwayat Muslim)

Doa amat penting, kita pelihara, jaga ketetapan Allah. Ingat pada Allah. Allah akan jaga, pelihara kita. Allah bantu, selamatkan, beri petunjuk pada kita.


“Wahai Yang Membolak-balikkan jantung hati (Allah)! Tetapkan kami atas agama-Mu. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri Petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami Rahmat dari sisi Engkau. Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di Dunia dan kebaikan di Akhirat, dan Peliharalah kami dari azab neraka”



Ditulis pada
09 Rabiulawal 1433 H bersamaan 02 Februari 2012 M
Khamis, 10.15 pm. Terengganu, Malaysia.


Diedit semula
18 Jamadilakhir 1433 H bersamaan 10 Mei 2012 M 
Khamis, 06.30 am. Sana’a, Yaman.

Oleh:
Ahmad Firdaus Bin Azis di 2/02/2012 06:15:00 PG

No comments:

Post a Comment