Thursday 21 August 2014

MEMINTA MAAF

Minta Maaf: Seuntai Kata Cukup Bermakna

Minta Maaf | Kata ‘maaf’ sering meniti di bibir setiap insan, ada yang mengatakan“maafkan aku”, “I’m sorry, please forgive me” dan pelbagai versi lagi dalam bahasa lain, akan tetapi makna yang ingin disampaikan masih membawa maksud yang sama. Kebiasaannya, perkataan maaf yang diungkapkan, menjadi lumrah setiap kali kita melakukan kesalahan.

Siapa kata diri ini tidak pernah wujud walau sekelumit kesalahan pun dalam hidupnya. Hatta, apabila kita terlanggar orang lain ketika berlari mengejar bas, kita akan mengucapkannya, “maafkan saya kak, saya tak nampak tadi”, Namun persoalannya, adakah kata maaf itu terkesan di hati kita dan pernahkah kita menyelami hakikat kemaafan yang sebenar dalam kehidupan ini?

Kemaafan Dalam Islam

Islam merupakan agama yang syumul. Allah s.w.t telah mengurniakan manusia dengan akal untuk kita berfikir dalam apa jua hal yang kita lakukan di muka bumi ini dan dengan akal, kita dapat melaksanakan tanggungjawab kita sebagai khalifah di muka bumi ini. Namun begitu, kita hanya  makhluk ciptaan Allah s.w.t dan dalam proses kita menempuh kehidupan sebagai seorang manusia, kita tidak akan terlepas dari melakukan kesilapan.

Adakalanya, kita sedar, bahawa diri ini telah melakukan kesilapan dan sengaja melakukan dosa. Kekhilafan diri, memungkinkan diri kita untuk mengungkapkan, “kita kan manusia, biasa lah..memaafkan itu kan, lebih baik.” Ya, memang benar sebagai manusia kita mempunyai tanggungjawab. Ya, memang benar juga sebagai manusia kita melakukan kesilapan, lalu kata maaf menjadi madah menyulam bicara memohon kemaafan. Begitu pentingnya kemaafan dalam kehidupan kita. Islam menjelaskan, terdapat dua aspek kemaafan. Pertama, kemaafan dari Allah s.w.t dan yang kedua kemaafan dari manusia. Kita perlukan kedua-duanya, kerana kita melakukan silap terhadap Allah s.w.t, begitu jua dalam hubungan kita sesama manusia.

Allah s.w.t Maha Pengampun

Astaghfirullahal‘azim, suatu lafaz yang lazim dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah s.w.t. Lafaz di bibir mengucapkan dan hati tidak henti membisikkan kalimah ini setiap kali memohon keampunan dari Rabb al-‘Azim. Keampunan datang dari rahmat Allah s.w.t. dan sedarlah bahawa, Allah s.w.t tidak pernah melupakan hamba-Nya yang sentiasa mengingatinya. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Dialah yang Maha Pengampun dan lagi Maha Pengasih” (Surah al-Burj 85:14).

Betapa luasnya kemaafan Allah s.w.t kepada hamba-Nya yang sentiasa mengharapkan ampunan dari-Nya. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: Dari Anas r.a dia berkata: saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman:

“ Wahai anak Adam, sesungguhnya Engkau berdoa kepada-Ku dan memohon kepada-Ku, maka akan aku ampuni engkau, Aku tidak peduli (berapapun banyaknya dan besarnya dosamu). Wahai anak Adam seandainya dosa-dosamu (sebanyak) awan di langit kemudian engkau minta ampun kepada-Ku nescaya akan aku ampuni engkau. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang kepada-Ku dengan kesalahan sepenuh bumi kemudian engkau menemuiku dengan tidak menyekutukan-Ku sedikitpun, maka akan Aku temui engkau dengan sepenuh itu pula ampunan.” (Hadith, Riwayat Tirmidhi).

Cermin diri, lihat sejauh mana usaha dan doa yang telah kita lakukan untuk meraih ampunan dari yang Maha Esa. Teladanilah, umat Islam yang terdahulu. Menyingkap kisah Imam Malik, ketika sedang dalam majlis ilmu dengan pelajarnya, tiba-tiba beliau berhenti seketika dan menangis, kemudian menyambung kembali semula pengajarannya. Pelajarnya berasa hairan dengan tindakan guru mereka itu, lalu bertanya pada beliau di akhir majlis ilmu,

“Mengapa engkau menangis sebentar tadi dan kemudian engkau kembali mengajar seperti biasa?”  Imam Malik menjawab, “ Sesungguhnya, aku terputus sebentar hubungan dengan Allah s.w.t ketika sedang mengajar, kerana itulah aku menangis,” Lihatlah Imam Malik, hanya kerana terputus sebentar hubungan dengan Allah, telah membuatkannya menangis. Bagaimana pula dengan kita? Hari-hari dalam kehidupan kita dipalit dengan dosa dan rasa bersalah, jarang sekali kita menangis dan menadah tangan memohon keampunan dari Allah s.w.t .

Memohon maaf dan memaafkan

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang ada kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya disana tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan keatasnya” (Riwayat Bukhari).

Jika kita melakukan kesilapan terhadap orang lain, segeralah memohon kemaafan dari mereka, kerana sesungguhnya perbuatan yang menyakiti hati orang lain, boleh menyebabkan ‘pintu hitam’ terbuka dalam perhubungan kita sesama manusia.Lagi pula, kita tidak tahu bila ajal akan menjelma menjemput kita kelak. Begitu juga sebaliknya, kadang bukan mudah untuk memberikan kemaafan, ada juga yang mengatakan tidak akan memaafkan sampai bila-bila dan ada juga yang memberi maaf tapi masih berdendam. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

Dan segeralah kamu (mengerjakan amalan-amalan yang baik untuk mendapat) keampunan dari tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang- orang yang bertaqwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah) Allah mengasihi orang-orang yang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Surah Ali Imran 3:133-134).

Intinya, sesetengah perkara yang berlaku dalam hidup, ada kalanya perlu untuk kita hadapi. Proses kehidupan tidak menjanjikan kita ‘immune’ terhadap ‘virus-virus’ masalah, namun setiap detik yang kita lalui sangat bermakna dalam kehidupan. Hal ini boleh kita analogikan dengan kemaafan, walaupun susah kita rasakan, maafkanlah dan mohonlah maaf sesama manusia, kerana ia cukup bermakna. Jangan mengharapkan supaya memaafkan kita, kita telah mencuba. Namun letakkanlah kepercayaan dan keyakinan kita pada Allah s.w.t. Jangan pernah putus asa terhadap keampunan Allah s.w.t, Insya’Allah.

Siti Fatimah binti Datu Ali Nafiah

Pelajar Tahun 2 (Universiti Kebangsaan Malaysia)

No comments:

Post a Comment